Friday, November 10, 2023

KELEBIHAN SURAH AL-KAHFI DAN MEMBACANYA PADA HARI JUMAAT


Soalan :

  1. Benarkah orang membaca Surah al-Kahf hari Jumaat akan disinari cahaya sehingga Jumaat seterusnya? 
  2. Adakah kelebihan membaca Surah al-Kahf itu diperolehi dengan membacanya pada waktu siang, ataupun malam Jumaat?
  3. Apakah kelebihan menghafaz 10 ayat terawal surah al-Kahfi?
  4. Apakah kelebihan menghafaz 10 ayat terakhir Surah al-Kahfi?


Jawapan :


🔴A. Memahami Tuntutan al-Quran


Al-Quran adalah petunjuk bagi orang yang hendak menjaga dirinya daripada kemurkaan Allah. Al-Quran adalah tazkirah yang terbaik dan juga zikir yang terbaik. Membaca al-Quran sangat besar pahalanya, sehinggakan satu huruf sahaja sudah diganjari 10 pahala. Ganjaran ini tidak akan diperolehi daripada bacaan lain, selain bacaan al-Quran.


Terdapat satu hadith sahih yang perlu menjadi renungan kita tentang al-Quran. Sabda Nabi Muhammad saw :

والقرآن حجة لك أو عليك


Maksudnya : Al-Quran boleh menjadi hujah bagi (membantu) kamu, ataupun boleh menjadi hujah melawan kamu.


Maksudnya, al-Quran boleh menjadi hujah yang membantu kita apabila kita kenal al-Quran, membaca al-Quran, menjaga al-Quran, menghafaz ayat yang perlu dihafaz, memahami kehendak al-Quran, tadabbur ayat al-Quran, melaksanakan perintah al-Quran dan meninggalkan larangan dalam al-Quran. 


JIka kita tidak kenal al-Quran sebagai petunjuk ke jalan yang lurus, tidak kenal al-Quran sebagai kalamullah, tidak membaca al-Quran, ataupun membaca namun meninggalkan perintah al-Quran, membaca namun melakukan sewenangnya apa yang dilarang al-Quran, di akhirat nanti al-Quran akan menjadi hujah melawan kita semula. والعياذ بالله


Berdasarkan ayat-ayat al-Quran, hadith dan sirah Nabi Muhammad saw, kita faham bahawa al-Quran itu diturunkan bukan sekadar untuk dibaca dan dialunkan tetapi mesti dijadikan pegangan dan panduan sepanjang kehidupan sama ada dari sudut akidah, syariat dan juga akhlak dalaman dan akhlak luaran kita.


Al-Quran itu pengubat jiwa, bukan sekadar dihadam akal. Al-Quran mengubah fahaman syirik kepada tauhid, mengubah perbuatan jahat kepada tulus beribadah dan berakhlak baik. Jika seseorang itu membaca dan menghafaz al-Quran seperti sifir, hanya akal sahaja yang terlibat, bukan unsur al-nafs. Tiada ‘feeling’ yang dihasilkan dan bacaan itu tidak mampu memperelokkan cara pemikiran, tidak membimbing keputusan dan tingkahlakunya.


Poin bahagian A ini ialah :


Kita mesti memahami tuntutan al-Quran apabila kita membacanya. Kelebihan membaca ayat al-Quran ataupun surah tertentu, misalnya 3 Qul, tentulah tidak terletak pada bacaan semata-mata kerana ia mesti dihayati dan difahami. 


Tiada makna membaca 3 Qul namun memohon hajat dengan makhluk, sedangkan 3 Qul mengandungi ikrar dan tuntutan mentauhidkan Allah sebagai Rabb dan Ilaah, serta nama dan sifatNya. 


Apa maknanya membaca dan menghafaz 10 ayat awal dan akhir Surah al-Kahfi, dalam keadaan pembacanya menyeru dan memanggil Nabi Muhammad saw ketika dalam kesusahan menggantikan seruan nama Allah? Walhal  ayat pertama dan ayat terakhir Surah al-Kahf menegaskan bahawa Nabi Muhammad saw adalah hamba Allah, manusia biasa seperti kita cuma diturunkan kitab al-Quran kepadanya sebagai utusan Allah, maka segala pujian, seruan, tumpuan, hanyalah milik Allah swt. 


Fokus utama ayat-ayat awal Surah al-Kahf ialah seruan kepada kita supaya menghayati ajaran al-Quran dan menjadikan al-Quran sebagai pedoman, kerana itulah yang akan menyelamatkan kita di dunia dan di akhirat, termasuklah fitnah Dajjal yang memesongkan agama yang membawa kerugian di akhirat.



🔴B. Hadith-hadith Tentang Surah al-Kahf


1. Hadith Palsu Dan Sangat Lemah -Daif Jiddan

Antara ujian kepada orang beriman dan penuntut ilmu ialah wujudnya hadith-hadith palsu dan sangat daif yang ‘bercakap’ tentang hal ehwal agama. Hadith palsu dan sangta daif terselit di antara hadith-hadith sahih yang merupakan wahyu jenis kedua, yang benar-benar datang daripada utusan Allah.


Tidak terkecuali, hadith palsu dan sangat daif wujud dalam bab menyatakan tentang kelebihan surah-surah, termasuklah Surah Yasin, Surah al-Waqi’ah dan Surah al-Kahf.


Antara hadith sangat daif yang tersebar tentang Surah al-Kahf ialah :


(من قرأ سورة الكهف يوم الجمعة، فهو معصوم إلى ثمانية أيام من كل فتنة تكون، فإن خرجالدجال عصم منه

(DAIF JIDDAN-TIDAK MENJADI HUJAH)


2. Hadith Thabit Dan Tidak Thabit Tentang Surah al-Kahf

Hadith-hadith kelebihan membaca Surah al-Kahf pada hari Jumaat secara KHUSUS asalnya daif semuanya, namun kerana banyaknya jalur riwayat, hadith-hadith itu saling menguatkan antara satu sama lain. Dengan kata lain, hadith yang menyatakan kelebihan Surah al-Kahf bukanlah sahih yang tinggi. Bolehlah kita mengamalkannya dengan mengharapkan kelebihannya yang dinyatakan dalam hadith.


Hadith paling sahih tentang surah al-Kahf secara UMUM adalah hadith dalam Sahihal-Bukhari dan Muslim :


Penting untuk kita ketahui bahawa terdapat hadith-hadith sahih tentang membaca Surah al-Kahf :


كانَ رَجُلٌ يَقْرَأُ سُورَةَ الكَهْفِ، وإلى جانِبِهِ حِصانٌ مَرْبُوطٌ بشَطَنَيْنِ، فَتَغَشَّتْهُ سَحابَةٌ، فَجَعَلَتْ تَدْنُووتَدْنُو وجَعَلَ فَرَسُهُ يَنْفِرُ، فَلَمّا أصْبَحَ أتى النبيَّ صلى الله عليه وسلم فَذَكَرَ ذلكَ له، فقالَتِلكَالسَّكِينَةُ تَنَزَّلَتْ بالقُرْآنِ

Maksudnya, “Ada seseorang (sahabat, ada yang mengatakan dia adalah in Usayd bin Hudayr) sedang membaca Surah al-Kahf, di sebelahnya ada kuda yang tertambat dengan dua tali yang panjang. Tiba-tiba dia dilindungi awan, yang semakin mendekat dan mendekat, menyebabkan kudanya meliar mahu melarikan diri. Apabila tiba waktu siang, dia datang berjumpa dengan Nabi Muhammad saw dan menceritakan apa yang berlaku kepadanya. Kata Nabi Muhammad saw : Itulah ketenangan yang turun bersama al-Quran.”

Sahih al-Bukhari, Kitab Fadail al-Quran, Bab Fadl Surah al-Kahf, no Hadith 4724, hlm 1914.


قَرَأَ رَجُلٌ الكَهْفَ وفي الدَّارِ الدَّابَّةُ، فَجَعَلَتْ تَنْفِرُ، فَسَلَّمَ، فَإِذَا ضَبَابَةٌ -أوْ سَحَابَةٌغَشِيَتْهُ، فَذَكَرَهُللنَّبيِّ صَلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ، فَقَالَاقْرَأْ فُلَانُ؛ فإنَّهَا السَّكِينَةُ نَزَلَتْ لِلْقُرْآنِأوْ تَنَزَّلَتْ لِلْقُرْآنِ.

Maksudnya : “Seseorang (sahabat) membaca Surah al-Kahf ketika itu ada haiwan di tempatnya, tiba-tiba haiwan itu meliar mahu lari, lalu dia berdoa memohon keselamatan. Tiba-tiba satu awan datang menegepung/menyelimutinya. Esoknya dia memberitahu Nabi Muhammad saw tentang kejadian itu. Kata Nabi Muhammad saw : Bacalah al-Quran berterusan, (apa yang terjadi itu) adalah ketenangan yang turun untuk al-Quran (dan pembacanya).


Sahih al-Bukhari, Kitab al-Manaqib,  no Hadith 3418, hlm 1323.


Bagi hadith-hadith ini, Imam Bukhari memasukkannya dalam Bab Kelebihan Surah al-Kahf dan Bab Kelebihan-Kelebihan. Manakala Imam Muslim memasukkannya dalam Bab Turunnya Ketenangan Bagi Pembaca al-Quran. Maksudnya, hadith ini difahami sebagai kelebihan pembaca al-Quran, kelebihan al-Quran dan juga kelebihan membaca Surah al-Kahf.


Hadith-hadith tentang kelebihan membaca Surah al-Kahf secara khusus tidak disepakati kedudukannya. Paling tinggi ialah hadith kelebihan membaca Surah al-Kahf pada hari Jumaat :

عن أبي سعيد الخُدْري رضي الله عنه، أنَّ النبي صلى الله عليه وسلم قال: «من قرأ سورةَ الكهفِفي يومِ الجمعةِ، أضاء له من النورِ ما بين الجُمُعتَينِ»؛ 

Maksudnya : Sesiapa membaca Surah al-Kahf pada hari Jumaat,  dia akan disinari cahaya (sepanjang minggu) antara dua hari Jumaat.”


Manakala hadith yang menyebut kelebihan membaca Surah al-Kahf pada malam Jumaat tidak disepakati. Ulama’ yang tidak menerimanya mengatakan hadith tersebut Syadh dan tidak thabit. Oleh itu bagi mereka, membaca pada malam Jumaat tidak menepati saranan asal hadith yang thabit iaitu anjuran membacanya pada hari Jumaat. 


🔴C. Hadith Anjuran Menghafaz Awal Atau Akhir Surah al-Kahf


عن أبي الدرداء رضي الله عنه، أنَّ النبي صلى الله عليه وسلم قال: «مَن حَفِظ عَشْرَ 

آياتٍ مِن أوَّلِ سورةِ الكهفِ عُصِمَ مِنَ الدَّجَّالِ

وفي رواية : ( من آخر سورة الكهف ) رواهما مسلم 

,

“Sesiapa yang menghafaz 10 ayat daripada awal Surah al-Kahf, dia akan terpelihara daripada Dajjal.”

Dalam riwayat lain disebut dengan lafaz yang bermaksud, “…10 ayat daripada akhir Surah al-Kahf.”

Sahih Muslim.


Hadith sahih ini menunjukkan kepentingan menghafaz 10 ayat terawal dan 10 ayat terakhir Surah al-Kahf. Intipati dalam ayat-ayat tersebut ialah tentang asas-asas akidah yang menjadi teras kepada agama Islam yang dapat membentengi seseorang daripada syirik dan kekufuran, serta menjadi penyelamat daripada menjadi pengikut kepada seruan syirik dan kufur.


Menghafaz di sini bukan bermaksud mengingati ayat-ayatnya semata-mata. Menghafaz maksudnya menjaga, menjaga lafaz ayat dan menjaga tuntutan ayat, iaitu mengingati sebutan ayatnya, memahami tuntutannya serta menunaikan kandungan ayat-ayat tersebut.


🔴 D. Masa Paling Tepat Digalakkan Membaca Surah al-Kahf Pada hari Jumaat


Berikut adalah ringkasan yang perlu kita ketahui dalam perbincangan ini :


1. 

Surah al-Kahf adalah salah satu surah dalam al-Quran, yang boleh dan digalakkan dibaca pada bila-bila masa yang kita mahu.


2. 

Surah al-Kahf dinyatakan dalam hadith yang sahih sebagai surah yang istimewa walaupun dibaca pada bila-bila masa. Ini berdasarkan hadith dalam Sahih al-Bukhari yang telah dibincangkan di atas :


كانَ رَجُلٌ يَقْرَأُ سُورَةَ الكَهْفِ، وإلى جانِبِهِ حِصانٌ مَرْبُوطٌ بشَطَنَيْنِ، فَتَغَشَّتْهُ سَحابَةٌ، فَجَعَلَتْ تَدْنُووتَدْنُو وجَعَلَ فَرَسُهُ يَنْفِرُ، فَلَمّا أصْبَحَ أتى النبيَّ صلى الله عليه وسلم فَذَكَرَ ذلكَ له، فقالَتِلكَالسَّكِينَةُ تَنَزَّلَتْ بالقُرْآنِ

Maksudnya, “Ada seseorang (sahabat, ada yang mengatakan dia adalah in Usayd bin Hudayr) sedang membaca Surah al-Kahf, di sebelahnya ada kuda yang tertambat dengan dua tali yang panjang. Tiba-tiba dia dilindungi awan, yang semakin mendekat dan mendekat, menyebabkan kudanya meliar mahu melarikan diri. Apabila tiba waktu siang, dia datang berjumpa dengan Nabi Muhammad saw dan menceritakan apa yang berlaku kepadanya. Kata Nabi Muhammad saw : Itulah ketenangan yang turun bersama al-Quran.”


Sahih al-Bukhari, Kitab Fadail al-Quran, Bab Fadl Surah al-Kahf, no Hadith 4724, hlm 1914.


3. 

Surah al-Kahf berdasarkan hadith yang sahih digalakkan membacanya pada hari Jumaat, dengan kelebihan disinari cahaya sepanjang minggu sehingga Jumaat seterusnya.


4. Ulama’ berbeza pandangan tentang hadith kelebihan membaca Surah al-Kahf pada malam Jumaat. 


Ada yang mengatakannya daif, ada yang mengatakan ia thabit kerana banyaknya jalur riwayat. 


Bagi yang mengatakan hadith tersebut thabit, maka membaca Surah a-Kahf pada malam Jumaat telah mencukupi syarat mendapat kelebihan membaca surah tersebut pada hari Jumaat.


Bagi yang mengatakan hadith tersebut daif, tidak thabit dan tidak boleh dijadikan hujah dalam bab kelebihan membaca Surah al-Kahfi, amalan membaca surah al-Kahfi pada malam Jumaat tidak mendapat apa yang dijanjikan dalam hadith yang sahih, iaitu disinari cahaya sepanjang minggu. 


5. Oleh yang demikian, masa terbaik membaca Surah al-Kahf pada hari Jumaat ialah bermula selepas Subuh hari Jumaat, sehinggalah terbenam matahari petang Jumaat, iaitu sebelum Maghrib. Maka kita boleh memilih mana-mana waktu dalam tempoh tersebut untuk membacanya, mengikut kesesuaian dan kelapangan masa kita. 


Surah al-Kahf tetap boleh dibaca pada malam Jumaat, malah elok dibaca pada bila-bila masa. Cuma bagi mendapatkan kelebihan yang dinyatakan dalam hadith di atas, maka bacalah pada ‘hari Jumaat’ sebagaimana yang disebut oleh baginda saw dalam hadith yang thabit. Sebagaimana yang dimaklumi, ‘hari’ bermula daripada terbit fajar sehingga terbenam matahari. Oleh kerana hadith tersebut menyebut umum sepanjang hari, maka kita tidak berhak untuk mengatakan ia mesti dibaca pada waktu malam sahaja, ataupun pagi sahaja, ataupun selepas Asar sahaja, bagi mendapatkan kelebihan yang dinyatakan tersebut.


وسُئل العلامة ابن عثيمين عمَّن قرأ سورة الكهف في ليلة الجمعة فهل يحصل له فضل قراءة سورةالكهف؟

 

فأجابلا، قراءة سورة الكهف يوم الجمعة، وأحسن ما يكون أن تكون بعد طلوع الشمس، لك منطلوع الشمس إلى غروب الشمس، إذا قرأتها في أيِّ ساعة ما بين الطلوع والغروب فقد أجزأ»؛«فتاوى اللقاء المفتوح، لابن عثيمين».


🔴E. Ilmu Bermanfaat Menghasilkan I’tiqad Yang Benar Dan Amalan Yang Saleh


Al-Quran adalah petunjuk bagi orang bertaqwa, iaitu orang yang mahu memelihara dirinya daripada kemurkaan Allah. Al-Quran tidak menjadi petunjuk bagi mereka yang tidak mengambil pengajaran daripada apa yang dibacanya. 


Setelah mengetahui tingginya nilai al-Quran, tingginya nilai Surah al-Kahf, marilah kita membacanya pada masa yang digalakkan kita membacanya. Hadith tersebut menjadi motivasi kepada kita untuk membaca dan menghayati Surah al-Kahf setiap minggu.


Sementelah tempoh waktu yang diberikan kepada kita itu panjang, iaitu sehari penuh hari Jumaat, kita memilik masa yang panjang untuk tadabbur Surah al-Kahfi. Hari Jumaat tentunya akan menjadi hari yang baik apabila kita mengamalkannya setiap minggu, kerana masa sepanjang hari dipenuhi dengan tadabbur kalamullah.


Membaca sendirian memberi ruang yang banyak kepada kita untuk membahagikan surah yang panjang ini kepada beberapa bahagian jika perlu, dan merenungi terjemahan dan makna ayat-ayatnya. Jika ada persoalan lanjut tentang ayat-ayat yang dibaca, bolehlah kita rujuk kepada mereka yang ahli dalam bidang al-Quran dan al-Hadith yang akan memberikan huraian berdasarkan ilmu wahyu tinggalan Nabi Muhammad saw.


Bacaan yang baik dengan tadabbur dan penghayatan penuh, tentulah akan menyinari kita dengan cahaya iman dan ilmu, menjadi pengubat jiwa dan penyuluh perjalanan kita sepanjang minggu, sehingga kita ketemu lagi Jumaat dan al-Kahf pada minggu yang seterusnya.


Demikianlah kita memahami sabda Nabi Muhammad saw tentang sesiapa yang membaca Surah al-Kahf pada hari Jumaat.


عن أبي سعيد الخُدْري رضي الله عنه، أنَّ النبي صلى الله عليه وسلم قال: “من قرأ سورةَ الكهفِ في يومِ الجمعةِ، أضاء له من النورِ ما بين الجُمُعتَينِ


Maksudnya : “Sesiapa membaca Surah al-Kahf pada hari Jumaat,  dia akan disinari cahaya (sepanjang minggu) antara dua hari Jumaat.”



10/11/23

Khamis

25 Rabi’al-Akhir 1445H


0 comments:

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Powerade Coupons