Friday, May 22, 2020

HADITH PALSU! TIADA SOLAT QADHA’ FARDHU PADA JUMAAT TERAKHIR RAMADHAN

🔴Soalan :

Assalamualaikum.

Benarkah wujud anjuran solat qadha' 5 waktu pada hari Jumaat terakhir dalam bulan Ramadhan?

Saya tidak pernah mendengarnya sebelum ini.

🔴Jawapan :

Waalaikumussalam. 

1. Tidak benar.

2. Anjuran ini sebenarnya berasal dari RIWAYAT PALSU, yang disandarkan atas nama Rasulullah saw.

3. Amalan ini biasa dilakukan oleh golongan Syiah.

4. Jika seseorang itu meningalkan solat tanpa disengajakan, sepatutnya dia qadha' sebaik sahaja dia teringat. 

Jika seseorang itu pernah meninggalkan solat dengan sengaja, lebih-lebih lagilah dia perlu segera taubat nasuha, tidak boleh menunggu Jumaat terakhir Ramadhan, malah tidak memadai jika dia hanya qadha' tanpa bertaubat dengan bersungguh-sungguh.

5. Ada tiga perkara kesalahan besar dalam anjuran ini. 

Pertama, kerana menggunakan riwayat palsu yang tidak diketahui rekaan siapa. Sekaligus berdusta atas nama nabi saw. (Dan para sahabat)

Kedua, menggalakkan orang melakukan perkara bid'ah dalam agama. 

Ketiga, menimbulkan salah faham terhadap konsep menunaikan solat, seolah-olah ringan sehingga boleh digantikan yang berlalu itu dengan 'sekali harung sahaja.'

Sedangkan solat sebenarnya mesti dibuat dengan sedaya upaya dan DALAM WAKTUNYA, sehinggakan sakit terbaring tidak boleh bergerak sekalipun kita masih wajib menunaikan solat, mesti hanya dengan isyarat mata sekalipun.

Solat asalnya tidak boleh dilakukan, kecuali apabila ada dalil yang thabit daripada nabi saw. Justeru, umat Islam tidak boleh mereka-reka solat itu dan solat ini pada waktu sekian-sekian, kerana ia mengancam syariat Islam yang telah sempurna disampaikan oleh Nabi Muhammad saw. 
والله الموفق 
Dijawab pada Jumaat
10 Julai 2015
23 Ramadhan 

Diterbitkan semula pada Jumaat
22 Mei 2020 
29 Ramadhan
1441H

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Powerade Coupons