Showing posts with label Haji. Show all posts
Showing posts with label Haji. Show all posts

Wednesday, November 02, 2022

HAID DAN NIAT UMRAH DI MIQAT

🔴 SOALAN


Assalamualaikum, ustazah


Erra hendak menunaikan umrah. Erra mengikuti satu pakej dan kami pergi ke Madinah terlebih dahulu.


Sampai di Madinah, Erra didatangi haid. Sehari selepas itu kami bertolak ke Makkah. Kumpulan dalam pakej kami itu dibawa dari Madinah dan sampai ke satu tempat, mereka turun solat sunat dan niat ihram umrah di situ.


Erra tidak turun dan tidak niat ihram kerana Erra didatangi haid.


Kemudian ada orang beritahu bahawa berdosa apabila tidak niat ihram dan wajib bayar dam.


Ada juga yang beritahu, doa orang yang haid terhijab, tidak terus naik kepada Allah.


Apakah yang perlu Erra lakukan?


🔴 Waalaikumussalam.


Kita simpulkan bahawa soalan Erra ialah :


  1. Adakah orang haid boleh niat ihram umrah?
  2. Di manakah patut kita niat ihram umrah?
  3. Jika tidak niat ihram di miqat sebab tidak tahu dan tidak sedar, apakah hukumnya dan apakah yang perlu dilakukan seterusnya?
  4. Apakah perkara yang boleh dilakukan dan tidak boleh dilakukan semasa umrah, oleh orang yang didatangi haid?
  5. Benarkah doa orang haid terhijab?


✳️ Pertama : Orang haid boleh dan wajib niat ihram umrah.


Wanita haid yang mahu mengerjakan umrah boleh melakukan semua perkara rukun dan perkara wajib dalam ibadat umrah, melainkan tawaf.


Oleh yang demikian, puan wajib niat ihram umrah bersama mereka yang tidak haid apabila sampai di miqat yang ditentukan.


✳️ Kedua : Niat ihram umrah wajib dilakukan di miqat, iaitu sempadan tempat yang telah ditentukan bagi niat ihram haji ataupun umrah.


Ihram maksudnya niat permulaan hendak mengerjakan umrah ataupun haji. 


Apabila puan sudah ihram, bermulalah larangan-larangan semasa mengerjakan umrah, sehinggalah puan bertahallul (keluar dari ihram) iaitu dengan bergunting ataupun bercukur.


Ihram umrah wajib dilakukan di miqat. Maksudnya, niat hendak mengerjakan umrah itu mesti dilakukan pada tempat yang telah ditentukan dalam hadith. Jika puan bertolak dari Madinah misalnya, miqat ataupun tempat puan niat ihram umrah itu adalah di Bir Ali/Zulhulaifah.


✳️ Ketiga : Jika tidak niat ihram di miqat sebab tidak tahu dan tidak sedar, ini tindakan yang perlu dilakukan, bergantung kepada keadaan puan :


📌 Jika puan tidak niat ihram umrah di miqat yang ditetapkan, sama ada kerana terlupa, tersilap, ataupun tidak tahu, maka puan boleh kembali semula ke tempat Miqat itu dan niat ihram di sana.


📌 Jika puan sudah niat ihram di tempat lain selepas melepasi miqat, contohnya puan niat ihram setelah sampai di Mekah, puan dikenakan dam (denda) mengorbankan seekor kambing, kerana puan meninggalkan perkara wajib haji, iaitu ihram di miqat. Puan tidak berdosa kerana puan tidak tahu, bukan sengaja. Namun puan tetap diwajibkan membayar dam/denda seperti di atas.



✳️ Keempat : Orang yang didatangi haid boleh niat ihram di miqat, dan  boleh mengerjakan semua amalan rukun dan amalan wajib semasa umrah, melainkan tawaf.


✳️ Kelima : Doa orang haid dan nifas tidak terhijab. 


Orang yang haid boleh mengerjakan semua amalan semasa haji dan umrah, kecuali tawaf.  


Doa adalah ibadah, dan doa perlu diteruskan oleh wanita semasa haid dan nifas. 


Banyakkanlah berdoa kepada Allah, Allah Maha Mendengar setiap doa dan keluhan kita. Walaupun wanita haid tidak boleh solat, mereka tetap boleh berdoa kepada Allah. 




والله الموفق

Rabu

2/11/2022

7 Rabi’ al-Akhir 1443H


-

Tuesday, July 19, 2022

HAJI RUKUN ISLAM KE-5 : CATATAN 4

 Assalamualaikum.


Antara persediaan yang perlu sebelum menunaikan haji ialah persediaan niat yang betul dan ilmu yang sahih.


  1. Haji adalah amalan yang memerlukan pergerakan besar-besaran dari tempat ke tempat, menuntut mujahadah dan berpanas lelah. Segala titik peluh, wang ringgit, sengkang mata dan mengah nafas akan sia-sia seperti debu yang berterbangan sahaja jika niat bukan ikhlas kerana Allah. 
  2. Selawat dan salam yang kita ucapkan kepada Nabi Muhammad saw akan disampaikan terus oleh malaikat, tanpa perlu kita kirimkan kepada orang yang akan menziarahi kubur Nabi Muhammad saw di Madinah.
  3. Salah faham tentang wahabi boleh menjejaskan ibadah. Bagaimana mungkin orang yang menuduh para imam Masjidil Haram sebagai wahabi boleh menunaikan solat dengan khusyu’ dan tenang dalam setiap solat fardhu di Masjidil Haram?
  4. Syaitan tetap wujud di bumi haramain, sebagaimana fahaman salah. Mereka akan sentiasa masuk mengganggu semua insan mengikut pintu kelemahan masing-masing. Maka antara doa yang perlu diulangi ialah memohon perlindungan Allah daripada gangguan syaitan.
  5. Ibadah dalam musim haji itu melibatkan hubungan dengan Allah, hubungan sesama insan dan hubungan dengan makhluk lain. Menjaga hubungan sesama manusia kerana hendak mematuhi perintah Allah boleh menjadi asbab dimudahkan urusan ibadah yang seterusnya. Lapangkan tempat, tunaikan janji, beri salam dan beri bantuan, adalah antara nilai yang disebut secara khusus dalam al-Quran dan al-Hadith.
  6. Pintu-pintu untuk beramal sama seperti pintu rezeki, adakalanya dibuka pada saat-saat yang tidak pernah kita fikirkan. Kuncinya ialah sabar, usaha dan tawakkal penuh kepada Allah.  
  7. Tiada sesiapa boleh menjamin amalannya telah diterima di sisi Allah. Ikutlah resam Nabi Ibrahim as dan Nabi Ismail as yang berdoa selepas melakukan amalan soleh : 


Catatan 4

20 Zulhijjah 1443H

MM 11.27 pagi

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Powerade Coupons