Monday, January 23, 2023

BERIMAN DENGAN QADAR DALAM ZIKIR SELEPAS SOLAT

 



🔴 Mu’awiyah ra. menulis (surat) kepada al-Mughirah bin Syu’bah ra :

“Tuliskan kepada saya apa yang saudara dengar Nabi Muhammad saw ucapkan selepas solat.”

Lalu al-Mughirah pun mengarahkan saya (Warrad) supaya menulis (kepada Muawiyah) :

“Saya dengar Nabi Muhammad saw ucapkan begini selepas solat :

لَا إلٰهَ إلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ ، 
Tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Allah, satu-satuNya, tiada sekutu bagiNya.
لَهُ المُلْكُ وَلَهُ الحَمْدُ وَهُوَ عَلى كُلّ شَيءٍ قَديرٌ .
BagiNya segala kerajaan, dan bagiNya segala pujian, dan Dia Maha Berkuasa atas setiap sesuatu.

اللَّهُمَّ لَا مَانِعَ لِما أَعْطَيْتَ وَلَا مُعْطِيَ لِمَا مَنَعْتَ
Ya Allah! Tiada siapa dapat menahan apa yang Engkau beri, dan tiada siapa yang dapat memberikan apa yang Engkau tahan. 
وَلَا يَنْفَعُ ذَا الجَدِّ مِنْكَ الجَدُّ.
Dan tiada manfaat pemilik kemuliaan dan kekayaan (kerana) daripada Engkaulah kemuliaan dan kekayaan itu. (Yang bermanfaat hanyalah amalan soleh yang dilakukan keraanMu).

Kata Ibn Juraij, ‘Abdah memberitahu bahawa Warrad yang memberitahunya tentang perkara ini, “Saya dihantar kepada Mu’awiyah (dengan membawa surat tersebut). Kemudian saya dengar Muawiyah (semasa dia berkhutbah) memerintahkan orang ramai supaya membaca lafaz zikir selepas solat itu.”


(Sahih Bukhari, Kitab Ketentuan Allah, Bab Tiada Siapa Pun Boleh Menahan Apa Yang Allah Beri, dan Kitab Sifat Solat Nabi saw, Bab Zikir Selepas Solat.) 


📌Keterangan :

1. Urusan surat menyurat ini berlaku semasa Muawiyah menjadi khalifah, manakala al-Mughirah bin Syu’bah menjadi gabenornya di Kufah.


2. Muawiyyah dan al-Mughirah kedua-duanya adalah sahabat Nabi Muhammad saw. Muawiyah adalah adik ipar Nabi Muhammad saw, kerana kakaknya Ummu Habibah binti Abi Sufyan adalah isteri Nabi Muhammad saw. 


3. Para sahabat saling merujuk di antara satu sama lain untuk mendapatkan ilmu tinggalan Nabi Muhammad saw dan juga untuk mengesahkan sesuatu hadith.


4. Warrad adalah jurutulis/kerani bagi al-Mughirah bin Syu’bah.


5. Beginilah sifat sahabat Nabi Muhammad saw yang sangat sayang kepada nabi dan sangat tekun hendak beramal dengan amalan yang diajarkan oleh Nabi Muhammad saw. Mereka tidak mencipta sendiri zikir selepas solat.


6. Sifat kepimpinan dan tawadu’ Muawiyah terserlah dalam bab menuntut ilmu dan mengarahkan rakyatnya agar mengikut sunnah Nabi Muhammad saw. 


7. Nilai iman kepada qadar sangat tinggi dalam doa/zikir selepas solat ini. Menghayati maknanya boleh meningkatkan iman, serta meningkatkan estim diri, khususnya apabila kita sedang dirundung masalah.



8. Doa dan zikir ini mengandungi pengiktirafan dan iman yang lengkap kepada Allah sebagai Rabb, Ilaah dan juga nama dan sifat Allah swt yang terkandung di dalamnya.


9. Kita adalah hamba Allah yang terpaksa menerima semua ketentuanNya. Berdoalah bersungguh-sungguh agar kita sentiasa mendapat petunjuk dalam kehidupan kita, dan agar kita tidak diputuskan menerima ketentuan-ketentuan buruk di dunia dan di akhirat.





Berusahalah sedaya upaya mengikut jalan lurus yang terbentang, dekati sahabat-sahabat dan ahli keluarga yang boleh mengingatkan, semoga kita bersama dengan mereka yang diberi nikmat iaitu para nabi, penerima kebenaran, orang-orang mati syahid dan orang-orang saleh. Gerunnya jika ditentukan berada pada jalan orang yang dimurkai Allah, iaitu golongan yang tahu tetapi tidak mahu. Gerunnya jika ditentukan berada pada jalan orang-orang yang sesat, tidak menjumpai jalan kebenaran…lalu terus berada pada jalan-jalan lain yang bersimpang siur sepanjang kehidupan.
 
Tiada kurniaan paling besar melebihi kurniaan Allah berada pada jalan yang lurus, kerana jalan itulah yang akan membawa kita kepada kebahagian hidup yang kekal.

 

🔴 وأنه هو أضحك وأبكى

1 Rejab 1444 H

Isnin 

23 Januari 2023.






 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Powerade Coupons