Monday, September 07, 2009

TUHAN YANG MENCIPTA AIR BUAT KITA





قُلۡ أَرَءَيۡتُمۡ إِنۡ أَصۡبَحَ مَآؤُكُمۡ غَوۡرً۬ا فَمَن يَأۡتِيكُم بِمَآءٍ۬ مَّعِينِۭ  سورة الملك- ٣٠

Bulan puasa kita selalu rindukan air. Apatah lagi jika yang berpuasa itu ibu yang mengandung, ataupun ibu yang menyusukan anak. Satu kilogram berat badan akan berkurangan dalam bulan puasa kerana kita kekurangan air.

Sepanjang kita bertadarus al-Quran dalam bulan Ramadan, ataupun menghayati bacaan imam semasa sembahyang tarawih, kita akan selalu 'berjumpa' dengan unsur air yang Tuhan sebut dalam al-Quran. Paling banyak kita ketemu janji Tuhan tentang syurga dan sungai yang mengalir, antaranya dalam ayat 25 surah al-Baqarah, "Dan sampaikanlah berita gembira kepada mereka yang beriman dan berbuat baik, bahawa bagi mereka disediakan syurga-syurga yang mengalir sungai-sungai di dalamnya."

Begitu juga dengan surah al-Kautsar. Hanya 3 ayat yang ringkas, tetapi mendalam maknanya. Di dunia kita minum tetapi akan dahaga kembali. Tetapi sekali minum di sungai ataupun telaga kautsar, kita tidak akan dahaga sampai bila-bila.

Mudah-mudahan Tuhan terima puasa kita yang seadanya ini. Mudah-mudahan Nabi Muhammad sudi izinkan kita minum di telaga al-Kautsar itu. Maha suci Tuhan yang jadikan air buat kita, di dunia dan di akhirat.


Katakanlah : Bagaimana fikiran kamu, sekiranya air kamu hilang lenyap (di telan bumi), maka siapakah (selain Allah) yang dapat mendatangkan kepada kamu air yang sentiasa terpancar mengalir?



Surah al-Mulk ayat 30.


Hm. Kalau semua air di dunia ini kering kontang, sungai, laut, pili, tangki, jug, gelas dan tiada hujan, barulah kita akan terasa besarnya nikmat Tuhan, betapa agungnya Tuhan.

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Powerade Coupons