Sunday, February 12, 2023

BENARKAH SOLAT SUNAT SELEPAS ‘ISYA’ 4 RAKAAT SATU SALAM SEPERTI SOLAT MALAM QADAR?

🔴 Soalan 


Assalamualaikum, ustazah.


Adakah solat sunat sepas Isya’ 4 rakaat satu salam itu pahalanya seperti solat 4 rakaat pada malam qadar?


🔴 Jawapan Ringkas 


Waalaikumussalam.


📌 Sangat Lemah


Kelebihan tersebut berasal daripada hadith yang sangat lemah, tidak boleh dijadikan sebagai hujah.


Maka tidak boleh kita sandarkan kelebihan solat 4 rakaat dengan satu salam selepas Isya’ menyamai pahala solat malam qadar berdasarkan hadith tersebut.


Maklum bahawa malam qadar adalah malam istimewa yang tiada pada malam-malam lain.


📌 AFDAL SOLAT SUNAT 2-2 RAKAAT


Cara solat sunat malam paling afdal ialah 2-2 rakaat, sebagaimana sabda Nabi Muhammad saw :


صلاة الليل مثنى مثنى

“Solat sunat malam itu dua dua rakaat.” 


Sahih Bukhari.


📌 SOLAT SUNAT MUAKKADAH


Maklum bahawa solat sunat muakkadah selepas Isya’ dalam adalah 2 rakaat berdasarkan hadith  riwayat Ummu Habibah ra.


عن أم حبيبة قالت سمعت  رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، يَقُولُ :   مَنْ صَلَّى اثْنَتَيْ عَشْرَةَ رَكْعَةً فِي يَوْمٍ وَلَيْلَةٍ ،  بُنِيَ لَهُ بِهِنَّ بَيْتٌ فِي الْجَنَّةِ  .


Maksudnya : Ummu Habibah melaporkan bahawa Rasulullah saw bersabda, “Sesiapa yang solat (sunat rawātib) sehari semalam sebanyak 12 rakaat, dibina untuknya rumah di dalam syurga, iaitu 4 rakaat sebelum Zuhur, 2 rakaat selepas Zuhur, 2 rakaat selepas Maghrib, 2 rakaat selepas ‘Isya’ dan 2 rakaat sebelum Subuh.’


Kata Ummu Habibah, ‘Saya tidak pernah tinggalkan solat rawatib itu sejak saya mendengarnya daripada Rasulullah saw. “


Sahih Muslim.


📌 NABI S.A.W. PERNAH SOLAT SUNAT SELEPAS ISYA’ 4 RAKAAT 


عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ رضي الله عنهما قَالَ :

بِتُّ فِي بَيْتِ خَالَتِي مَيْمُونَةَ بِنْتِ الحَارِثِ زَوْجِ النَّبِيِّ صلّى الله عليه وسلم ، وَكَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُعَلَيْهِ وَسَلَّمَ عِنْدَهَا فِي لَيْلَتِهَا ، فَصَلَّى النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ العِشَاءَ ، ثُمَّ جَاءَ إِلَى مَنْزِلِهِ ،فَصَلَّى أَرْبَعَ رَكَعَاتٍ ، ثُمَّ نَامَ ، ثُمَّ قَامَ ، ثُمَّ قَالَ : ( نَامَ الغُلَيِّمُ )، أَوْ كَلِمَةً تُشْبِهُهَا ، ثُمَّ قَامَ ، فَقُمْتُ عَنْيَسَارِهِ ، فَجَعَلَنِي عَنْ يَمِينِهِ ، فَصَلَّى خَمْسَ رَكَعَاتٍ ، ثُمَّ صَلَّى رَكْعَتَيْنِ ، ثُمَّ نَامَ ، حَتَّى سَمِعْتُ غَطِيطَهُ أَوْ خَطِيطَهُ ، ثُمَّ خَرَجَ إِلَى الصَّلاَةِ " رواه البخاري 


Hadith yang sahih di atas menunjukkan bahawa Nabi Muhammad saw pernah solat sunat selepas Isya’ 4 rakaat (2-2 rakaat) di rumah beliau, setelah pulang dari masjid. Namun tiada kelebihan khusus dinyatakan.


📌 KESIMPULAN RINGKAS


Antara sunat rawatib muakkadah yang tidak wajar ditinggalkan ialah 2 rakaat selepas solat Isya’. Kelebihan amalan ini datang daripada hadith yang sahih seperti dalam riwayat Ummu Habibah di atas. 


Solat sunat selepas Isya’ boleh ditambah lagi 2 rakaat sebagai membanyakkan qiyamullail ataupun solat malam* berdasarkan hadith Ibn Abbas yang menceritakan pengalaman beliau semasa bermalam di rumah ibu saudaranya Maimunah binti al-Harith, isteri Nabi Muhammad saw. 


Walau bagaimanapun, tiada hadith yang sahih menunjukkan kelebihannya secara khusus. Ada riwayat mawquf menyebutnya, namun sebahagian ulama menerima, dan sebahagian yang lain tidak menjadikannya sebagai hujah kelebihan solat tersebut.


* (Bukan tahajud-kita sudah bincangkan beza qiyamullail dengan tahajjud) 


والله الموفق


 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Powerade Coupons