Tuesday, April 11, 2023

NUZUL AL-QURAN MALAM QADAR

Nuzul al-Quran Pada Malam Qadar


🔴 Al-Quran Petunjuk


Al-Quran adalah kitab rujukan kita, kitab pegangan kita, kitab yang memberi peringatan kepada seluruh alam. Alangkah ruginya jika seseorang hanya membaca, tetapi tidak mengambil petunjuk daripadanya.


Al-Quran mengajar kita akidah, iaitu perkara-perkara ghaib yang wajib kita yakini dan perkara yang tidak boleh kita percayai. 


Al-Quran mengajar kita syariah, iaitu perkara-perkara yang perlu kita buat dan perkara yang perlu kita tinggalkan dalam kehidupan.


Al-Quran mengajar kita akhlak yang baik dan melarang kita daripada akhlak yang buruk. Bagaimana akhlak dengan Allah dan rasul-Nya, bagaimana akhlak sesama insan dan bagaimana akhlak dengan alam.


Al-Quran, permulaannya diturunkan dalam bulan Ramadhan, menjadi petunjuk bagi orang yang hendak mencegah dirinya daripada kemurkaan Allah. 


Berpegang kepada al-Quran dengan penjelasan oleh al-sunnah, dijamin baginda saw tidak akan tersesat, kerana al-Quran yang difahami dengan disiplin yang benar adalah pembeza antara perkara benar dengan perkara yang salah.


🔴 Nuzul al-Quran


Maksud Nuzul al-Quran ialah turunnya permulaan al-Quran, wahyu pertama. 


Wahyu pertama sangat besar dan penting dalam agama Islam.  


Menurut kajian falak, tarikh wahyu pertama turun kepada Nabi Muhammad saw jatuh kepada 21 Ramadhan pada tahun tersebut. Maksudnya, malam qadar jatuh pada 21 haribulan Ramadhan pada tahun turunnya awal Surah al-‘Alaq. (Lihat al-Rahiq al-Makhtum).


Penemuan para ulama’ ini mengingatkan kita kepada ayat pertama surah al-Qadr  yang selalu kita baca :


إِنَّا أَنزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ


“Sesungguhnya Kami menurunkannya (al-Quran) pada malam qadr.”


Nabi Muhammad saw. menggesa umatnya supaya mencari malam qadar, malam mulia dan malam ketentuan itu pada 10 malam terakhir. Hadith-sahih menjelaskan bahawa malam qadar jatuh kepada mana-mana 10 malam terakhir Ramadhan pada setiap tahun, termasuklah tahun pertama wahyu diturunkan. 


Siri 3 Puasa 1444H

20 Ramadhan

PQHDNH

0 comments:

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Powerade Coupons