Thursday, April 06, 2023

IKHLAS MEMAKMURKAN MASJID

🕌 Ikhlas Memakmurkan Masjid


🔴 Masjidul Haram dan Masjid Nabawi hidup dengan meriah dengan cara yang diajarkan oleh Rasulullah saw. Setiap ruang masjid tetap menjadi rebutan umat Islam di seluruh dunia. Sesekali mendapat kurma, roti dan buah-buahan, itu adalah bonus rezeki daripada Allah, bukan menjadi tujuan kehadiran.

Masjid al-Haram dan Masjid Nabawi tidak perlu ikon anak muda, tiada chicken chop, tiada zikir kuat didengari selepas solat, tiada juga selawat antara tarawih seperti di tempat kita. Tiada hadiah al-Fatihah kepada orang yang meninggal dunia. Tiada juga isu parti-parti politik yang terlibat.


Jika anda pernah menjejaki 2 tanah haram, tidakkah anda rindu kepada tanahnya? Pada ruang, atap dan tiang masjidnya? Pada panas dan dinginnya? Tidakkah anda rindu kepada azan dan bacaan imamnya, serta kepada seruan hampir setiap selepas solat fardhu :

الصلاة على الأموات ….. رحمكم الله!


Ada tempat yang Allah berkati, menjadi kiblah dan tumpuan umat Islam. Pengunjung perindu menghabiskan ribuan ringgit setiap tahun, dengan rela hati, walaupun ada yang membuat tuduhan jahat bahawa tempat suci itu sebagai tempat wahabi.


Hanya Allah yang memberikan taufiq kepada insan agar menghidupkan masjid-masjid Alllah. Hanya Dia yang membalas baik keikhlasan jiwa mereka memakmurkannya. 


🔴 Dan Dia berhak pula tidak menerima jika amalan yang dilakukan tidak ikhlas kepadaNya.


Di tempat lain ada masjid dikerumuni kerana ada kubur di bawahnya, sedangkan membina masjid di atas kubur menjadi larangan Nabi Muhammad saw. 


Ada juga masjid dihadiri ramai kerana penceramah jemputan sedap didengari tetapi mendakwa Allah dan nabi itu satu, wahdatul wujud…dakwaan dasyat yang mensyirikkan Allah dalam rumahNya.


Ada pula masjid dihadiri ramai kerana ada upacara zikir bising dalam gelap, dengan lafaz-lafaz yang tidak diajarkan oleh Nabi Muhammad saw. 


Ada masjid menjadi tempat mencaci maki, menyebarkan hadith palsu, sumpah seranah dan menuduh tanpa bukti. 


Qawl al-zur yang menjadi larangan kepada orang berpuasa dalam Ramadhan, hendaklah menjadi peringatan untuk dijauhi sepanjang bulan-bulan akan datang.


🔴 Insan yang bertanggungjawab mengelola masjid perlu menyemarakkan ilmu yang benar, pengajian al-Quran dengan disiplin yang betul, penceramah yang berdisiplin dan amanah dengan ilmu, hidupkan pengajian hadith-hadith yang sahih, jauhi hadith-hadith palsu yang memang bertebaran dalam ceramah dan buku-buku. Apatah lagi menggunakan hadith palsu itu sebagai rujukan dalam akidah, syariat dan etika, ia akan mencelarukan agama yang sedia lengkap diajarkan oleh Nabi Muhammad saw.


🔴 Masjid adalah tempat membina dan menzahirkan akidah sahih, syariat murni, dan akhlak mulia. Akhlak mulia terzahir pada masjid nabi pada zaman baginda saw, hatta kepada tawanan perang yang diikat di tiang masjid ketika itu.


Akhlak dengan Allah dan rasul ialah mengatakan yang benar tentang agama sebagaimana yang diwahyukan kepada kita.


Menepati ajaran wahyu…itulah punca kekuatan umat Ilslam sebenarnya.


❤️ Masjid adalah rumah Allah. Orang tua, dewasa dan anak muda ramai memakmurkannya kerana jiwa mereka tergantung-gantung padanya. 


Yang menggantung itu tentulah bukan dunia, tetapi akhirat.


Di sana ada ketenangan, bukan perbalahan. 

Di sana ada al-Quran dan sabda nabi, bukan pendustaan. 

Di sana ada kebenaran, bukan kepalsuan.

Di sana ada haruman pada saf-sufuf yang rapat dan lurus, lambang kesatuan. 

Di sana ada kekhusyukan dan kehambaan.


Memakmurkan masjid dengan ikhlas adalah amalan ‘mahal’ apatah lagi jika yang melakukannya adalah anak muda.


Salah satu golongan yang mendapat naungan Allah pada hari kiamat, pada masa orang lain berpanas terik membahang ialah orang-orang yang jiwanya tergantung-gantung di masjid, kerana ikhlas ingin beribadah di dalamnya. Satu lagi golongan khusus yang disebut hadith ialah anak muda yang dewasa dalam ketaatan beribadah kepadaNya.


Berdoa dengan doa penting ini dan ajarkan kepada ahli keluarga, lafazkan dengan penuh penghayatan dalam doa terakhir tasyahhud sebelum salam. Semoga dimudahkan beribadah dengan ikhlas, termasuklah memakmurkan masjid, dengan cara yang diajarkan oleh baginda saw :

اللهم أعني على ذكرك وشكرك 

وحسن عبادتك.


Siri 2 Puasa 1444H

15 Ramadhan

PQHDNH

0 comments:

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Powerade Coupons