Tuesday, June 20, 2017

BENARKAH MEMILIKI LEBIH 3 BILIK MENGUNDANG SYAITAN

SOALAN :

Assalamualaikum ustazah. 

Adakah benar rumah yang memiliki bilik ke-4 (melebihi 3 bilik) mengundang syaitan ke rumah tersebut?  Adakah hadith yang sahih menyatakannya?


JAWAPAN :

Waalaikumussalam.

Hadith yang dimaksudkan ialah :

 : عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ  أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَهُ 
فِرَاشٌ لِلرَّجُلِ وَفِرَاشٌ لِامْرَأَتِهِ وَالثَّالِثُ لِلضَّيْفِ وَالرَّابِعُ لِلشَّيْطَانِ

Maksudnya :

Jabir bin Abdillah ra. meriwayatkan bahawa Rasululullah saw berkata kepada beliau :

"Tempat tidur pertama untuk tuan rumah, tempat tidur kedua untuk isterinya, ketiga untuk tetamu dan keempat untuk syaitan."

(Sahih Muslim, Kitab Perhiasan Dan Pakaian.)

Para ulama' membahaskan maksud hadith riwayat Jabir as ini. Hadith, walaupun thabit, ada sifat yang tersendiri pula. Ada yang riwayat dengan lafaz, ada riwayat dengan makna. Ada yang ringkas dan ada yang penuh. Ada yang perlu dijelaskan dan disokong oleh hadith-hadith lain bagi memahaminya.

Semuanya ada perbahasan dan kedudukan tersendiri, dan ia menyumbang kepada maksudnya.

Kita ringkaskan penjelasan bagi hadith tersebut seperti berikut :

🔸1. Memiliki lebih 3 bilik kerana keperluan dibenarkan dalam Islam. Begitu juga memiliki lebih katil. Contohnya bagi keperluan untuk anak yang jumlahnya memang ramai, untuk anak yang pulang, tempat tidur untuk digunakan semasa sakit dan sebagainya.

🔸2. Kata Ibn al-Jauzi, maksud tempat tidur keempat untuk syaitan ialah jika bilik ataupun tempat tidur itu menjadi suatu bentuk pembaziran, tidak diperlukan.

🔸3. Kata Imam Nawawi dalam Syarh Sahih Muslim, para ulama' mengatakan maksud hadith ini ialah tempat tidur (ataupun bilik) tambahan yang melebihi keperluan, dibuat dengan tujuan bermegah dan berlumba-lumba mencapai kemuncak perhiasan dunia. Sifat ini sifat tercela, dan ia dinisbahkan kepada syaitan kerana syaitan suka kepada sifat tercela ini.

Berawas jika bilik ataupun tempat tidur lebih daripada keperluan dibina atas dasar ini.

🔸4. Ada juga pandangan yang mengatakan bahawa memang bilik yang tidak dihuni itu akan diambil tempat oleh syaitan. Namun ia bukan kerana semata-mata bilik lebih, tetapi kerana ia seperti rumah kosong yang tiada siapapun berzikir kepada Allah di dalamnya, sama ada dengan solat, membaca al-Quran dan lain-lain.

Jika bilik berpenghuni, tetapi dihuni oleh insan yang tidak mengingati Allah, maka ia juga mengundang syaitan.

🔸5. Oleh itu, semata-mata memiliki bilik ke-4 bilik bukan secara mutlak mengundang syaitan. 

Potensi memiliki bilik berlebihan terbuka apabila anak-anak sudah dewasa, mula belajar jauh ataupun mula membina rumahtangga sendiri. Kebanyakan bilik dalam masyarakat kita dibina atas dasar keperluan, agar lebih terjaga aurat antara adik beradik, anak menantu, menjaga kehormatan tetamu dan lain-lain.

Maksud yang dicela dalam hadith ini ialah pembaziran dan lambang kemewahan serta kemegahan, bukan bilangan bilik semata-mata. 

Hadith-hadith yang sahih memberitahu kita bahawa dalam tandas ada syaitan, syaitan masuk bersama ke dalam rumah apabila ketika masuk kita tidak mengingati Allah, syaitan suka rumah yang ada gambar dan patung, syaitan lari ketika azan dan datang dekat ketika kita hendak solat, dan lain-lain. 

Meskipun sesebuah rumah itu ada hanya satu bilik, ia masih berpotensi besar untuk mengundang syaitan ke dalamnya. 

Azan, iqamah, solat, membaca al-Quran dan melazimi zikir-zikir yang ma'thur, dapat melindungi kita daripada gangguan syaitan di rumah, menghalau syaitan yang ada dan menghalang syaitan masuk ke dalam rumah.

Amalan ini perlu dilakukan dalam semua rumah, berbilik ataupun tidak, termasuk rumah yang ada bilik lebih kerana  ada keperluan, memang tidak digunakan sepanjang masa, sebaliknya menanti masa untuk dihuni apabila tetamu bertandang ataupun anak-anak pulang.

0 comments:

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Powerade Coupons