SOALAN :
Assalamualaikum ustazah,
Kami anak beranak mahu melaksanakan korban, berkongsi beberapa bahagian pada seekor lembu. Namun kami tidak sepakat dalam pembahagian daging korban kami itu. Ada yang mahu bahagikan daging mentah, ada yang mahu bahagikan daging yang sudah dimasak.
Mana yang lebih baik sebenarnya?
Adakah ia sama dengan pembahagian daging aqiqah, iaitu sudah dimasak?
JAWAPAN RINGKAS :
🔴 A. ASAS IBADAH KORBAN DAN AQIQAH
Korban dan aqiqah adalah ibadah yang dilakukan kerana memenuhi perintah Allah. Keduanya sunnah yang sangat dituntut untuk kita laksanakan, iaitu sunnah muakladah.
Bezanya hanya pada sebab dan waktu sahaja, berdasarkan takrif masing-masing.
Takrif Ibadah Korban
Ibadah korban ialah sembelihan binatang an’am iaitu haiwan ternakan berkaki empat (haiwan yang terlibat dengan pengeluaran zakat, iaitu unta, lembu, kambing dan biri-biri), pada Hari Raya Korban dan juga hari-hari Tasyriq, iaitu 10 hingga 13 Zulhijjah, dengan niat hendak mendekatkan diri kepada Allah.
Takrif Ibadah Aqiqah
Ibadah aqiqah pula ialah sembelihan yang dibuat sempena kelahiran bayi, sebaiknya pada hari ke-7.
🔴 B. CARA ASAS PEMBAHAGIAN
Ikhlas dan taqwa dalam melaksanakan ibadah korban dan aqiqah sampai kepada Allah.
Manakala daging korban dan daging aqiqah itu sendiri pula adalah kurniaan Allah untuk dinikmati oleh manusia.
Dari sudut kewajipan membahagikan :
a. Daging aqiqah jika dimakan semua sekali oleh orang yang melaksanakan aqiqah, aqiqahnya sah, walaupun lebih baik membahagikannya.
b. Daging korban tidak boleh dimakan semua sekali, maksudnya, wajib disedekahkan sebahagiannya. Perintah sedekahkan daging korban jelas dalam ayat al-Quran dan hadith2 Nabi Muhammad saw.
Firman Allah swt :
( فَكُلُواْ مِنْهَا وَأَطْعِمُواْ الْبَآئِسَ الْفَقِيرَ )
Maksudnya : Dan makanlah sebahagian daripadanya dan (sebahagian lagi) berilah makan orang yang sengsara lagi faqir.
Surah al-Hajj : 28
( فَكُلُواْ مِنْهَا وَأَطْعِمُواْ الْقَانِعَ وَالْمُعْتَرَّ كَذلِكَ سَخَّرْنَاهَا لَكُمْ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ )
Maksudnya : Dan makanlah sebahagian daripadanya dan (sebahagian lagi) berilah makan orang yang tidak meminta dan orang yang meminta. Demikian Kami mudahkannya (haiwan korban itu) supaya kamu bersyukur.
Surah al-Hajj : 36
Sabda Nabi Muhammad saw :
: عن عائشة رضي الله عنها أن النبي صلى الله عليه وسلّم قال
" كلوا وادخروا وتصدقوا "
رواه مسلم
Maksudnya :
“Makanlah (daging korban), simpanlah dan bersedekahlah.”
Direkodkan oleh Imam Muslim.
Dari sudut jumlah bahagian
Tiada ketetapan jelas jumlah bahagian dalam hadith-hadith Nabi Muhammad saw. Pandangan terbaik sebagaimana yang disebut para salafussoleh : Makan satu pertiga, hadiahkah satu pertiga dan sedekahkan satu pertiga.
Jika keadaan memerlukan, boleh mengambilkira pandangan yang mengatakan daging korban boleh dibahagikan kepada satu perdua, sebahagian dimakan, sebahgain lagi disedekahkan. Jika tidak memerlukan, boleh sahaja disedekahkan semua sekali, seperti orang yang berpenyakit kronik yang tidak boleh makan daging.
Sebaiknya makanlah daging korban kerana hukumnya sunat, berdasarkan ayat -Quran dan hadith di atas.
Dari sudut cara pembahagian.
Daging korban ataupun daging aqiqah, kedua-duanya :
a. boleh dimakan oleh orang yang melakukan ibadah itu, (bahagian ini boleh disimpan lama untuk kegunaan akan datang, berdasarkan hadith :
كلوا وادخروا وتصدقوا
b. boleh diberikan kepada faqir miskin,
c. boleh dijamu kepada orang kaya,
d. boleh diberikan mentah
e. dan boleh diberikan dalam bentuk yang sudah dimasak.
🔴 C. DIMASAK ATAUPUN MENTAH : MANA YANG LEBIH BAIK ?
FIQH AL-WAQI’
Apabila tiada ketetapan jitu daripada Nabi Muhammad saw, apakah perlu diberi mentah ataupun yang sudah dimasak, para ulama’ sedikit sebanyak berbeza pandangan dan pendekatan dalam menjelaskan bagaimana daging korban dan aqiqah itu perlu diagihkan.
Panduan yang mereka berikan bergantung kepada situasi semasa, masalah yang berlaku, salah faham yang tersebar dan juga salah amalan di sesuatu tempat.
Berdasarkan perbahasan para ulama’, (perbahasan detail akan dimasukkan), ringkasnya kita jelaskan begini :
Daging Aqiqah Boleh Diberi Mentah, Walaupun Lebih Baik Dimasak
Dalam kata lain, daging aqiqah boleh diberi dalam bentuk daging mentah, tetapi beri yang sudah dimasak lebih baik.
Ibadah aqiqah pula tidak dilaksanakan bermusim. Sepanjang tahun sentiasa ada yang menunaikan ibadah aqiqah. Mengagihkan daging aqiqah yang sudah dimasak sangat sesuai kerana lebih ramai yang boleh menikmati, sementelah dagingnya pun tidaklah banyak dalam sesuatu masa. Namun jika orang yang melaksanakan ibadah aqiqah itu sibuk ataupun terhad kewangannya, membahagikan daging mentah kepada keluarga dan jiran terdekat sudah memadai. Oleh yang demikian, wang yang terhad tidak menghalangnya untuk tetap laksanakan ibadah aqiqah yang dituntut dalam agama.
Salah faham dalam masyarakat sehingga ‘mewajibkan’ aqiqah diberi dalam bentuk dimasak dan dijamu dalam majlis mungkin menyukarkan sesetengah orang, sehingga mereka menangguh-nangguhkan ibadah aqiqah.
Daging Korban Lebih Baik Diberi Mentah, Walaupun Boleh Diberi Dalam Bentuk Dimasak
Dalam kata lain, daging korban boleh diberi dalam bentuk yang sudah dimasak, tetapi beri yang mentah lebih baik.
Umumnya, daging korban lebih baik diberikan mentah kerana penerima boleh menyimpannya terlebih dahulu. Dimaklumi bahawa musim korban daging banyak dalam satu masa yang singkat. Bolehlah kita bayangkan jika semua orang yang melakukan ibadah korban mengambil keputusan hendak beri daging yang sudah dimasak kepada semua penerima. Mungkin penerima lebih gembira, ceria dan bersyukur menerima yang belum dimasak. Namun begitu, jika kita tahu penerima sudah uzur, tidak mampu memasak, tentulah lebih baik kita beri daging yang sudah dimasak.
Kesimpulan :
Menjawab soalan puan, pelbagaikan bentuk pemberian daging korban itu dibenarkan. Malah jika elok perancangan dan muafakat, daging mentah dapat diberi kepada orang yang sesuai dan daging dimasak pun dapat diagihkan kepada orang yang memerlukan. Membahagikan daging yang dimasak tidak semestinya membuat majlis jamuan, memadai jika diagihkan kepada penerima seperti daging mentah. Seperti daging mentah, dijemput ambil sendiri pun boleh, dibahagikan ke tempat penerima pun boleh.
Semoga Allah swt menerima ibadah korban kita semua pada tahun ini.
Jumaat
3.00 petang
9 Zulhijjah 1446H
6.6.25