Friday, July 13, 2018

APAKAH STATUS HADITH MAYAT BERTUKAR KHINZIR?

🔴SOALAN 

Assalamualaikum. 


Mohon penjelasan ustazah, adakah hadith kisah mayat bertukar menjadi babi kerana meninggalkan solat itu hadith yang sahih?

Terima kasih.


🔴 JAWAPAN

Waalaikumussalam.

🔹Hadith ini adalah HADITH PALSU. 

Dilarang menyebarkannya, melainkan atas tujuan untuk menyatakan kepalsuannya.

🔹Adalah mendukacitakan apabila didapati bahawa HADITH PALSU tentang kisah mayat bertukar ini  masih banyak tersebar di laman-laman web dan kelas-kelas agama.

Berdasarkan pengamatan kita, punca utama penyebaran ialah kerana HADITH PALSU ini terdapat di dalam kitab Durrah al-Nasihin/Durratun Nasihin, yang masih menjadi rujukan dan bacaan sesetengah orang.



🔹Para ulama' telah lama mengingatkan bahawa kitab Durratun Nasihin mengandungi banyak hadith palsu dan daif. 

Juga kisah-kisah yang bercampur baur akan kebenaran dan kebatilannya, tidak boleh dijadikan asas dalam agama.

🔹Kita mengharapkan agar guru-guru agama memilih teks lain untuk dibawa kepada masyarakat. 

Jika tidak, dibimbangi penyampai mempunyai saham dalam menyebarkan hadith-hadith palsu. Menyebarkan hadith palsu bermakna menyebarkan pembohongan atas nama Nabi Muhammad saw, yang merupakan dosa besar dan diancam dengan kedudukan dalam neraka.

🔹Meninggalkan solat memang dosa besar, malah sangat besar kerana solat adalah tiang agama. Amalan yang mula-mula sekali dihisab kelak ialah solat.

Ayat al-Quran dan hadith-hadith yang sahih dan thabit tentang ancaman orang yang meninggalkan solat sudah ada, memadai untuk dijadikan dalil yang menunjukkan besarnya dosa dan bahaya meninggalkan solat. 

Antaranya hadith sahih berikut :
قال رسول الله (ص) :
بَينَ العَبدِ وَبَينَ الكُفرِ تَركُ الصَّلاةِ 

Maksudnya : Sabda Nabi Muhammad saw : 
"Yang membezakan antara seorang hamba dengan kufur/kafir ialah meninggalkan solat."
(Sahih Muslim, Kitab al-Iman)

🔹Ataupun peringatan jelas daripada al-Quran, antaranya Surah al-Muddaththir ayat 42-43 :

 مَا سَلَكَكُمْ فِيْ سَقَرَ (41) 
قَالُوْا لَمْ نَكُ مِنَ المُصَلِّينَ (  42)
Maksudnya :
“(Setelah melihat keadaan orang-orang yang bersalah itu, mereka berkata : ) Apakah yang menyebabkan kamu masuk (neraka) Saqar?
Mereka menjawab : Kami dahulu bukan dari kalangan orang-orang yang mengerjakan solat.”

والله الموفق




0 comments:

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Powerade Coupons