Tuesday, April 29, 2014

IBU, APA MAKNA 'ALLAHYARHAM?'

Sesekali, anak kita tentu akan bertanya tentang kematian.


Pixomar : FreeDigitalPhotos.net



Kematian, meskipun ingin sekali kita jauhi, ia tetap berlaku di sekeliling kita, dan dapat dijangkau pula oleh anak-anak kita. 

Jika tidak kelmarin, barangkali hari ini. 

Jika tidak hari ini, mungkin esok. 

Itulah yang selalu Allah sebut dalam al-Quran, antaranya dalam ayat 26 dan 27 Surah al-Rahman.





Saya mengucapkan terima kasih kepada ibu-ibu yang sudi berkongsi dialog dan soalan anak-anak. Adakalanya lucu. Banyak pula yang mengesankan jauh ke dalam hati, malah membuka minda kita sebagai ibu dan bapa.

Kerana anak-anak itu bersih, dan mereka bertanya kerana benar-benar ingin tahu.


Pixtawan : FreeDigitalPhotos.net

Soalan-soalan anak tetap perlu diusahakan agar dijawab dengan betul dan tepat, jika ia berkait dengan ajaran agama. Mungkin tidak boleh terlalu kompleks seperti jawapan kita kepada orang dewasa, tetapi sekurang-kurangnya mereka dapat memahaminya, sedikit demi sedikit, seiring dengan pertambahan usia dan kematangan mereka.


Kisah Ziyad Dan Aiman

Ziyad seorang pelajar tahun 3. Dia tinggal tidak jauh daripada rumah sepupunya, Aiman. Aiman belajar dalam tingkatan 1. Ziyad menganggap Aiman seperti abangnya sendiri. Setiap hari mereka saling menziarahi antara satu sama lain. Hari ini Ziyad pergi ke rumah Aiman. Hari esok Aiman pula berbasikal ke rumah Ziyad.

Pada suatu hari, Ziyad membaca akhbar harian. Pada mukasurat hadapan ada berita kemalangan jalan raya. Berita itu melaporkan bahawa orang yang terlibat dalam kemalangan itu meninggal dunia. Tiba-tiba Ziyad  terbaca perkataan 'Allahyarham'. Orang yang meninggal dunia dalam kemalangan itu di tulis sebagai 'Allahyarham.'

Ziyad bertanya kepada Aiman, " Abang Aiman, apa makna Allahyarham?"

Aiman pun menjawab sambil mengusik, "Oh, begini. Allahyarham itu panggilan bagi orang mati. Kalau Ziyad mati nanti, orang akan sebut 'Allahyarham Ziyad'."

"Oh, begitu," balas Ziyad. Dia terus membelek halaman lain pula.

Hari berganti hari, bulan disambut bulan. Masa tetap berlalu.

Pada suatu hari, Aiman terjatuh daripada basikal semasa pulang ke rumah. Seorang lelaki yang lalu di tempat itu melihatnya. Lelaki itu menyangka Aiman terjatuh sebab tayar basikalnya tersandung batu ataupun kayu. Tetapi selepas terjatuh, Aiman terus terbaring di atas jalan. Tidak bangun-bangun lagi selepas jatuhnya. Lelaki itu berasa hairan.

Ada sesuatu yang tidak kena, katanya. Dia cepat-cepat mengangkat Aiman dan membawanya segera ke hospital.

Rupa-rupanya Allah sudah tentukan, Aiman akan mati dengan sebab sesuatu penyakit, walaupun usianya masih muda. Doktor memberitahu bahawa penyakitnya tidak dapat dirawat lagi.

Aiman sudah meninggal dunia.

Ziyad berasa sangat sedih apabila mendapat tahu berita kematian Aiman. Dia pergi melawat Aiman. Ketika dia sampai, orang-orang dewasa sedang membalut Aiman dengan kain kafan berwarna putih bersih.

Tiba-tiba dia teringat perbualannya dengan Aiman dahulu tentang perkataan 'Allahyarham.'

Ziyad pun berbisik kepada ibunya, "Ibu, dulu abang Aiman kata kalau Ziyad mati, orang akan panggil 'Allahyarham Ziyad'. Tetapi sekarang abang Aiman yang mati. Jadi kita mesti panggil dia 'Allahyarham Aiman', begitu ya, ibu?"

Ibunya memandang Ziyad, sayu, lalu menjawab perlahan, "Ya, begitulah."

Ziyad mengangguk faham sambil mengesat air matanya.

Apabila jenazah siap diuruskan, ayah Ziyad menarik tangan Ziyad supaya ikut bersamanya solat jenazah.

"Solat jenazah ini penting buat kita dan juga Abang Aiman. Kita mohon kepada Allah, agar Allah ampunkan dosa Abang Aiman, dan limpahkan kasih sayangNya buat Abang Aiman," ujar ayah Ziyad, sejurus sebelum mereka solat jenazah.

Ziyad pun solat bersama ayahnya dan orang-orang dewasa yang lain. Orang lelaki di barisan-barisan hadapan dan orang perempuan pula di barisan-barisan belakang. Solat hanya dengan 4 takbir, tanpa ruku', tanpa sujud.


Makna 'Allahyarham'

Sebenarnya, kita sebut 'Allahyarham' itu sebagai doa kita kepada orang yang sudah meninggal dunia. Seperti dalam kisah Ziyad dan Aiman tadi, apabila Aiman meninggal dunia, Ziyad dan ahli keluarganya menyebut 'Allahyarham Aiman' apabila hendak bercakap-cakap tentang Aiman.

'Allahyarham' itu sebenarnya terdiri daripada dua perkataan dalam Bahasa Arab. 'Allah' dan 'yarham."

'Allah' kita sudah tahu maknanya, iaitu Allah Tuhan kita, Yang Maha Pengasih, Yang Maha Penyayang. 'Yarham' pula bermaksud mengasihani.

Jadi, 'Allahyarham' maknanya 'Allah mengasihani'. 'Allahyarham Aiman' ertinya 'Allah mengasihani Aiman'.

Oleh sebab itu, apabila kita sebut 'Allahyarham Aiman', kita sebenarnya sedang berdoa dan mengharap, moga-moga Allah mengasihi Aiman yang sudah meninggal dunia itu. Mudah-mudahan Allah lapangkan kuburnya dan dapat menjawab soalan malaikat Munkar dan Nakir dengan baik. Mudah-mudahan dia tenang dan gembira berada di alam kuburnya itu.

Lelaki ataupun perempuan, kita sebut 'Allahyarham' juga. Kalau orang yang meninggal dunia itu bernama Arif, kita sebut sebagai 'Allahyarham Arif.' Maknanya, semoga Allah mengasihani Arif.

Kalau orang yang meninggal dunia itu bernama Aisyah, kita sebut 'Allahyarham Aisyah.' Maknanya, mudah-mudahan Allah mengasihani Aisyah.


Sebutan Yang Lebih Tepat




Sebutan yang lebih tepat dari segi bahasa Arab, sebenarnya, ialah kita sebut 'al-marhum' (المرحوم) kepada si mati lelaki, dan 'al-marhumah' (المرحومة) kepada si mati perempuan. 

Al-marhum untuk orang lelaki, al-marhumah pula untuk orang perempuan. Walaupun agak berbeza sebutannya, kedua-duanya bermaksud sama iaitu mudah-mudahan dia dikasihani Allah.'

Contohnya, jikalau Aiman sudah meninggal dunia, kita sebut al-marhum Aiman. Maksudnya, kita doakan Aiman dengan menyebut Aiman yang dikasihani Allah.

Begitu juga jika Nurul Hidayah sudah meninggal dunia, maka kita sebut al-marhumah Nurul Hidayah.

Kita doakan orang yang sudah meninggal dunia itu agar mereka dikasihani Allah, sebab kita sendiri tidak tahu akan nasib mereka yang sebenar selepas mereka meninggal dunia.

Kita benar-benar berdoa dan mengharapkepada Allah agar memaafkan kesilapan mereka, dan menerima semua amalan saleh yang telah mereka lakukan semasa hidup.



********

Begitulah apabila tiba giliran kita. 

Mengharapkan keampunan dan kasihan belas Allah.