Monday, July 07, 2014

MEMANFAATKAN PELUANG RAMADAN DENGAN TADABBUR AL-QURAN

Assalamualaikum.

Soalan :

Bagaimana sepatutnya saya membaca al-Quran dalam bulan Ramadan? Saya kurang lancar membacanya, serta sibuk pula. Hampir mustahil saya dapat khatam dalam Ramadan ini. Dalam majlis khatam al-Quran yang pernah saya ikuti, kami pun hanya membaca sedikit sahaja setiap seorang, mengikut kumpulan. Saya berasa iri hati kepada mereka yang lancar membaca, apatah lagi yang dapat faham maknanya. Betulkah apa yang saya rasa?





Jawapan :

Tahniah, kerana hasrat mulia itu menandakan kita selangkah lagi mendekati al-Quran. Walaupun puan ada keterbatasan dari segi keupayaan membaca dengan lancar dan juga dari segi keluangan masa, puan masih ada hasrat untuk membaca al-Quran dengan sebaiknya dalam Ramadan.

1. Iri hati yang baik

Iri hati yang puan rasakan itu adalah iri hati yang dibenarkan dalam Islam. Iri hati yang dibenarkan ini dalam istilah lain disebut sebagai 'ghibtah', bukan 'hasad.'

Ghibtah ialah kita mengharapkan mendapat kebaikan dan kelebihan pahala yang ada pada seseorang, dan kelebihan itu biarlah tetap ada pada orang tersebut. Manakala hasad ialah mengharapkan kelebihan pada seseorang itu beralih pada kita, dan biar kelebihan itu lenyap terus daripada dirinya. Semoga Allah melindungi kita daripada perasaan hasad, dan mengurniakan kita irihati yang baik.

Iri hati dalam ilmu al-Quran akan menyebabkan kita bermotivasi dan berusaha supaya dapat membaca dan memahami dengan lebih baik.

Sabda Nabi Muhammad saw :

عن عَبْد اللَّهِ بْنَ مَسْعُودٍ، قَالَ قَالَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم ‏:"‏ لاَ حَسَدَ إِلاَّ فِي اثْنَتَيْنِ رَجُلٌ آتَاهُ اللَّهُ مَالاً فَسُلِّطَ عَلَى هَلَكَتِهِ فِي الْحَقِّ، وَرَجُلٌ آتَاهُ اللَّهُ الْحِكْمَةَ، فَهْوَ يَقْضِي بِهَا وَيُعَلِّمُهَا ‏"‏‏.‏

Maksudnya :

"Tidak boleh iri hati kecuali kepada dua jenis orang. Pertama ialah seseorang yang Allah kurniakan kepadanya harta, lalu dia membelanjakannya sampai habis pada jalan kebenaran. Kedua ialah seseorang yang Allah kurniakan kepadanya ilmu yang tinggi. Dia membuat keputusan berdasarkan ilmu itu, di samping mengajarkannya juga kepada orang lain."

-Sahih Bukhari, Kitab Ilmu, Bab Iri Hati Dalam Ilmu Dan Hikmah.-

Islam adalah agama ilmu dan agama yang 'aktif', bukan pasif. Untuk menjadi orang berilmu dalam Islam tidak ada jalan pintas dan mudah, perlu melalui jalan dan disiplin yang betul, jalannya juga penuh  liku. Itulah yang ditunjukkan oleh para ulama' kita yang mendalami al-Quran dan hadith nabi saw, dan segala cabang ilmunya.



Begitu juga untuk menjadi orang yang berharta dalam Islam, perlu ada disiplin, garis panduan hukum dan kerja 'smart' yang perlu diikuti.

Iri hati kepada kedua-dua golongan ini menuntut kita berusaha dan sentiasa memperbaiki diri, agar kelak dapat membuat pahala seperti mereka.

2. Gagap atau kurang lancar bukan penghalang

Semua orang bermula dengan gagap, apatah lagi orang Melayu seperti kita, yang tidak berlidah Arab. Saya semasa kecil dahulu, sangat iri hati mendengar ayahanda saya membaca al-Quran dengan lancar, sedangkan saya sendiri tergagap-gagap. Tetapi tiada cara lain mengatasi gagap, tiada cara lain untuk melancarkan bacaan, melainkan sentiasa membacanya walaupun gagap pada mulanya.

Tiada cara untuk menjadi pandai, kecuali dengan belajar. Proses belajar memakan masa dan menuntut kesabaran yang tinggi. Sambil berusaha, kita berdoa agar Allah mempermudahkan. Sebab itu, nabi saw menyebut bahawa belajar adalah satu jalan menuju ke syurga.

Nabi saw tahu akan kepelbagaian umatnya. Nabi saw sayang kepada kita umatnya. Lihat bagaimana baginda memberi motivasi kepada kita agar terus membaca al-Quran, sama ada yang peringkat paling tinggi seperti para ulama, hafal dan faham pula makna al-Quran, serta menguasai cabang2 ilmu al-Quran, mahupun yang baru di peringkat permulaan, masih gagap dan lambat membacanya.

Sabda Nabi saw :

عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ  : الْمَاهِرُ بِالْقُرْآنِ مَعَ السَّفَرَةِ الْكِرَامِ الْبَرَرَةِ وَالَّذِي يَقْرَأُ الْقُرْآنَ وَيَتَتَعْتَعُ فِيهِ وَهُوَ عَلَيْهِ شَاقٌّ لَهُ أَجْرَانِ

Maksudnya :

"Orang yang mahir baca al-Quran (yang baik sebutan dan tajwidnya, hafaz dan faham maknanya) dapat bersama para malaikat yg mulia. Manakala orang yang tergagap-gagap dan bersusah payah membacanya dapat 2 pahala. "

-Sahih Muslim-

Kata Imam Nawawi, dua pahala yg nabi maksudkan dalam hadith beliau ialah :

Satu pahala untuk baca.

Satu pahala sebab gagap, iaitu sanggup sabar bersusah payah demi utk baca al-Quran.

Gagap akan hilang dengan sendirinya apabila kita sentiasa membaca. Sebaiknya di hadapan guru al-Quran, agar dia dapat membetulkan kesilapan kita, sekiranya ada.

3. Cara baca mengikut kemampuan

Ramai orang beranggapan yang penting dalam Ramadan ialah mengejar 'tamatnya' ataupun 'khatamnya' al-Quran.

Ia benar bagi orang yang memang lancar membaca dan memahami makna ayat-ayat al-Quran.

Namun bagi orang yang kurang lancar membaca, ataupun orang yang tidak faham bahasa al-Quran, Ramadan lebih patut menjadi bulan untuk tadabbur ayat-ayat al-Quran.

Bacalah berdikit-dikit, jangan baca ayat sahaja, tetapi baca juga terjemahan ayat itu.

Buatlah jadual puan sendiri bagi Ramadan yang masih berbaki.

Contohnya, target puan bagi Ramadan tahun ini ialah sebanyak 3 juz.

Beradasarkan pengalaman, saya menyarankan agar puan memulakan dengan juz 30 dahulu, agar kita dapat menghayati ayat-ayat lazim ataupun surah-surah pendek yang selalu kita amalkan ataupun dengar semenjak kecil.

Bahagikan 3 juz itu kepada hari-hari Ramadan yang masih berbaki. Bacalah setiap hari dengan menghayati terjemahannya. Ayat demi ayat.

Berapa ramai orang bukan Islam mendapat hidayah selepas membaca terjemahan al-Quran walhal mereka belum kenal satu pun huruf al-Quran. Oleh itu puan tidak perlu bimbang tersalah faham atau sebagainya. Jika ada persoalan lanjut, puan boleh kemukakan. Jika ada kelas tafsir al-Quran yang dikendalikan oleh mereka yang ahli dalam disiplin bidangnya, kelas begitu sangat elok untuk puan ikuti.



Cara ini sebenarnya lebih menepati saranan al-Quran sendiri. Fungsi UTAMA Al-Quran diturunkan kepada manusia ialah untuk memberikan petunjuk dan menerangkan perkara yang benar dan yang salah, agar kita ikut kebenaran dan tinggalkan kebatilan. Bagaimana mungkin kita akan dapat petunjuk, jika kita tidak  berusaha memahami makna ayat al-Quran?

Firman Allah swt :

1

 أَفَلَا يَتَدَبَّرُونَ الْقُرْآنَ وَلَوْ كَانَ مِنْ عِنْدِ غَيْرِ اللَّهِ لَوَجَدُوا فِيهِ اخْتِلَافًا كَثِيرًا
Surah al-Nisa' ayat 82.

Maksudnya :
"Patutkah mereka (bersikap demikian), tidak mahu memikirkan isi al-Quran? Kalaulah al-Quran itu (datangnya) bukan dari sisi Allah, mereka akan dapati perselisihan yang banyak di dalamnya."

2

أَفَلَا يَتَدَبَّرُونَ الْقُرْآنَ أَمْ عَلَى قُلُوبٍ أَقْفَالُهَا

Surah Muhammad ayat 24.

Maksudnya :
"(Setelah diterangkan yang demikian) maka adakah mereka sengaja tidak berusaha memahami serta memikirkan isi al-Quran? Atau telah ada di atas hati mereka kunci penutup (yang menghalangnya daripada menerima ajaran al-Quran)?"

3

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ

Surah al-Baqarah ayat 185.

Maksudnya :
"(Masa yang kamu diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk sekelian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk, serta (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah..."

Puan boleh menggunakan pelbagai jenis Apps yang sesuai dengan gajet puan. Sangat disarankan agar puan menggunakan Quran Explorer untuk memudahkan.

Semoga kita semua menjadi hambaNya yang mendapat limpahan kebaikan dan petunjuk daripada al-Quran yang diturunkan pada bulan Ramadan.


والله الموفق

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Powerade Coupons