Thursday, March 25, 2010

MENGHARAP KASIH TUHAN DI HUJUNG USIA



"Kakak sembahyang dahulu, ummi tunggu."

 

Kakak Arwa memakai telekung. Saya meletakkan Miqdad.

Hari Sabtu. Waktu Zuhur. Ramai musafir singgah di masjid itu. Sekarang Malaysia mengalami 'musim panas.' Saya mengambil tempat tidak jauh daripada pintu masuk dengan harapan mendapat belaian angin daripada luar. Miqdad tidak banyak kerenah, selesa dibaringkan begitu sahaja. Saya memandang kosong kepada jemaah muslimat yang sibuk dengan aktiviti masing-masing. Sembahyang. Rehat. Lalu lalang.

Tiba-tiba mata terpaku kepada seorang wanita dalam lingkungan 60-an, pada telahan saya. Kain sarung sembahyang masih di pakai, telekung sembahyang sudah dilepaskan, dia bertudung kemas berikat di depan. Dia berjalan menuju ke pintu keluar.


"Kain sembahyang," begitu kira-kiranya kata seorang lelaki dalam lingkungan usia yang sama. Pakcik itu berpakaian kemas, tampak seperti kebiasaan yang dibawa semasa mudanya, berhemah orangnya. Saya menelah lagi, barangkali itu suaminya.

Wanita tadi naik semula ke atas masjid. Dia menuju ke tempat susunan kain sembahyang. Sangka saya, dia hendak menyimpan kain sarung sembahyang yang dipakainya. Rupanya saya silap. Dia mengambil telekung lalu memakainya semula. Lengkap sepasang semula.

"Ada sesuatu yang tidak kena," fikir saya. 

Dia turun sekali lagi. 

"Buka kain sembahyang," kata 'suami'nya yang tenang menanti., dengan suara perlahan. Setenang air di kali. Tiada nada marah mahupun kesal. Wajah tanpa kerutan.

Naik lagi. Dia membuka telekung sembahyang, tetapi kain sarung sembahyangnya tetap dipakai lagi. Dengan kain sarung sembahyang seperti kali pertama tadi, dia hendak turun sekali lagi. Saya menoleh ke arah 'suami'nya yang masih menanti di tangga. 

Tidak tergamak lagi saya hendak berdiam diri. Rasa kasihan melimpah kepada mereka berdua.

Saya mendukung Miqdad, lalu bangun mendekati sang 'isteri'. 

"Puan, kain sembahyang." Saya teragak-agak, barangkali kata seringkas itu sudah boleh difahami.

"Tidak boleh," katanya.

"Kain sembahyang masjid," kata saya.

"Siapa punya?"

"Masjid." Saya cuba senyum kepadanya.

"Oh," katanya sambil melepaskan dan melipat kain itu. "Hendak beri kepada siapa?"

"Tidak mengapa, beri kepada saya," saya menghulurkan tangan. Dia berikan kain itu. Saya cuba melihat cahaya dalam matanya. Mudah-mudahan saya sudah membantunya.

Saya meletakkan kain di tempatnya. Kakak Arwa pun sudah selesai sembahyang. Ketika kami hendak turun, wanita tadi masih mencari-cari selipar.

"Tidak ada. Awak tidak pakai tadi," kata 'suami'nya. Sabarnya dia.

Wanita itu tunduk mencari-cari lagi.

"Tidak ada, ada dalam kereta," ulang 'suami'nya. Tenangnya dia.

"Oh, tidak ada," balas wanita itu. Sang 'suami' beredar melangkah perlahan-lahan, diikuti oleh sang 'isteri' dari belakang, tentunya tanpa alas kaki.

Kami meninggalkan pasangan itu, cepat-cepat melangkah ke kereta kami.

Semasa kereta kami meluncur di jalan raya, saya menceritakan kisah mereka kepada suami.

"Barangkali mereka keluar mencari ketenangan," ujar suami saya.

Tidak sampai setengah jam kuliah kehidupan di masjid pada Sabtu yang panas itu. Tetapi isinya padat dan menginsafkan. 

Erti cinta kerana Tuhan. Erti nikmat yang hilang. Erti sabar dan tenang dalam ujian.

Aduh, seandainya umur kita panjang, bagaimanakah kita di hujung usia nanti?

Rabi' al-Awwal 1431 H.


اللهم اغفرلي وارحمني وعافني وارزقني

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Powerade Coupons