Sunday, March 28, 2010

HATI-HATI BERDOA KETIKA MARAH

 
أعوذ بالله من الشيطان الرجيم


وَيَدۡعُ ٱلۡإِنسَـٰنُ بِٱلشَّرِّ دُعَآءَهُ ۥ بِٱلۡخَيۡرِ‌ۖ وَكَانَ ٱلۡإِنسَـٰنُ عَجُولاً۬ -١١

Dan manusia berdo’a untuk kejahatan sebagaimana ia berdo’a untuk kebaikan. Dan adalah manusia bersifat tergesa-gesa. 

Ayat 11 Surah al-Isra'.

"Setelah Allah Taala menerangkan sifat-sifat al-Quran yang memberi petunjuk, diterangkan pula perihal manusia yang menerima petunjuk. 

Manusia itu bertabiat terburu-buru. Semasa marah dia tidak keberatan supaya dirinya, atau anak-anaknya, atau harta bendanya ditimpa mala petaka. Dia memohon yang demikian sebagaimana dia berdoa memohon kebaikan. Padahal kalaulah dia bertenang tentulah dia tidak tergamak melakukan perkara yang tidak sepatutnya itu."

Sekian penjelasan yang saya salin daripada Tafsir Pimpinan al-Rahman. 

Marah adalah fitrah manusia. Samalah seperti sayang, benci, sedih dan gembira. Bohonglah sesiapa yang tidak pernah berasa marah.

Menurut konsep EDAT (Estim Diri Aras Tinggi Berdasarkan Hadith Sahih), naik marah itu adalah sifat al-nafs, yang memberi reaksi spontan terhadap apa yang diterimanya. Contohnya, jika kita ditampar orang secara tiba-tiba, tentulah kita akan ‘naik marah.’ Itulah reaksi unsur al-nafs, seperti ‘naik malu’ apabila berada dalam situasi tertentu. Namun marah menjadi amalan yang diusahakab oleh unsur al-nafs, bukan lagi sifat asal al-nafs, apabila kita melayan marah dan tidak berfikir panjang. Inilah jenis marah yang dilarang oleh Nabi Muhammad saw, kerana ia adalah sesuatu perbuatan yang boleh dikawal, bukan reaksi spontan. Sabda baginda saw :

لاَ تَغْضَبْ

Maksudnya : “Saudara jangan marah.”

Sahih Bukhari, Kitab Adab, Bab al-hadhar min al-Ghadab.

Ujian yang menyebabkan kita marah barangkali pernah hadir dalam kehidupan. Kita diajar supaya memohon agar dijauhkan daripada ujian yang tidak tertanggung. 

Dan kita juga diajar oleh Nabi Muhammad s.a.w. supaya jangan mendoakan keburukan buat diri sendiri, anak-anak ataupun harta benda kita.

لاَ تَدْعُوا عَلَى أَنْفُسِكُمْ وَلاَ تَدْعُوا عَلَى أَوْلاَدِكُمْ وَلاَ تَدْعُوا عَلَى أَمْوَالِكُمْ لاَ تُوَافِقُوا مِنَ اللَّهِ سَاعَةً يُسْأَلُ فِيهَا عَطَاءٌ فَيَسْتَجِيبُ لَكُمْ ‏

Nabi Muhammad s.a.w. berkata, maksudnya, "Jangan saudara-saudara doakan keburukan kepada diri sendiri, anak-anak ataupun harta benda saudara, sebab mungkin masa saudara berdoa itu bertepatan dengan masa Allah perkenankan doa, lalu Dia perkenankan doa saudara."

Hadis ini direkodkan oleh Imam Muslim.
 
Marah itu mulia sekiranya bertempat, sekiranya kena pada tempat yang sesuai. Apabila ahli keluarga melanggar syariat, ataupun sahabat handai melanggar perintah Allah dan rasulNya, memang patut kita berasa marah. 

Namun ramai manusia yang selalunya lupa, dan sebagaimana yang Tuhan 'declare' kepada kita, insan itu umumnya bersifat terburu-buru. Marah kita selalunya terburu-buru, bukan pada tempat yang sesuai.

Berhati-hatilah berdoa dalam keadaan marah, lebih-lebih lagi pada saat-saat doa sangat mudah diperkenankan.

Allah-lah yang lebih mengetahui.

اللهم إني أعوذ بك من جهد البلاء
ومن درك الشقاء
ومن سوء القضاء
ومن شماتة الأعداء

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Powerade Coupons