Thursday, January 25, 2024

Tersilap Bersahur Selepas Subuh Bagi Puasa Ganti

Tersilap Bersahur Selepas Subuh Bagi Puasa Ganti 

Soalan :

Saya niat puasa ganti pada sebelah malam. Apabila terkejut pada waktu pagi, saya terus minum air bagi tujuan sahur. Selepas itu baru saya melihat jam dinding, ternyata sudah masuk waktu Subuh. Adakah saya boleh meneruskan puasa ganti saya?

Jawapan Ringkas :

 

🔴 A.

Puasa ada disiplin yang mesti dipatuhi, khususnya dari sudut masa imsak, iaitu mula menahan diri daripada perkara yang membatalkan puasa.


🔴 B.

Bagi kes ini, tindakan terbaik A setelah bangun pagi ialah melihat jam terlebih dahulu, kerana A tahu bahawa makan setelah waktu Subuh membatalkan puasa. Apatah lagi waktu Subuh di tempat A sangat mudah disemak melalui hujung jari.


Sama seperti solat Subuh, apabila bangun pagi A tidak boleh terus solat Subuh terlebih dahulu, sebaliknya perlu lihat jam terlebih dahulu, kerana Subuh mesti dikerjakan dalam waktunya. Salah satu syarat sah solat ialah masuk waktu. Jika A solat dahulu kemudian baru melihat jam, dan ternyata Subuh belum masuk, dan A wajib ulangi solat tersebut dalam waktunya.


🔴 C.

Keadaan berbeza jika A baru sampai di luar negara,  tidak pasti waktu Subuh di sana. A bangun pagi dan minum dalam keadaan tidak pasti Subuh sudah masuk ataupun tidak, kerana A belum biasa di tempat baru.


Bangun pagi A terus minum air dengan anggapan mungkin belum masuk waktu Subuh. Setelah minum baru ternyata keadaan adalah sebaliknya. 


🔴 D.  Dalam hal ini, ulama’ berbeza pandangan. 


Golongan pertama mengatakan A boleh meneruskan puasanya, sah dan tidak perlu menggantikan puasanya. 


Golongan kedua mengatakan A sudah batal puasanya kerana dia makan setelah waktu Subuh, dan dia perlu gantikan puasanya pada hari lain.


Berdasarkan latar belakang dan keadaan kita simpulkan begini :


Pandangan  golongan ulama’ pertama yang mengatakan sah dan boleh teruskan puasa adalah sesuai bagi A ketika berada dalam keadaan C (tersilap kerana sukar pastikan waktu Subuh di luar negara). 


Manakala pandangan golongan ulama kedua yang mengatakan tidak sah dan puasa itu perlu diganti pada hari lain adalah sesuai bagi A ketika berada dalam keadaan B (Sepatutnya lihat jam terlebih dahulu dan kerana dia mudah menyemak waktu Subuh di hujung jari sebelum minum air).


🔴 E. Oleh itu bagi kes puan, kita nasihatkan puan agar ambil pandangan kedua, kerana ia lebih selamat dan berhati-hati, serta sesuai dengan kondisi yang dibayangkan dalam persoalan.


Mudah-mudahan puan mendapat pahala di atas usaha yang telah dilakukan untuk berpuasa ganti, dan mudah-mudahan dipermudahkan menggantikan puasa tersebut pada hari-hari berikutnya. 


Semoga Allah menerima amalan kita semua, setelah sedaya upaya kita tunaikan dengan sebaik-baiknya.




13 Rajab 1445H

Khamis 

25/2/2024






0 comments:

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Powerade Coupons