Saturday, July 29, 2023

BOLEHKAH MENERUSKAN ‘PUASA’ JIKA DIDATANGI HAID SEMASA BERPUASA?

🔴 Soalan


Assalamualaikum.


Saya berpuasa sunat bersama ahli keluarga. Sejam sebelum berbuka saya didatangi haid.


Bolehkah saya tidak mahu makan kerana mahu berbuka bersama keluarga?


🔴Jawapan


Waalaikumussalam.


📌Puasa dari sudut bahasa bermaksud menahan diri daripada melakukan sesuatu.


📌Puasa dari sudut istilah syariat Islam bermaksud :


Memperhambakan diri kepada Allah dengan menahan diri daripada perkara-perkara yang membatalkan puasa, bermula dari terbit fajar sehingga terbenam matahari. 


📌 Orang yang haid dan nifas tidak dibenarkan berpuasa, dalam istilah lain, mereka haram berpuasa. 


Hikmahnya hanya Allah Yang Maha Mengetahui, sampai tidak dibenarkan berpuasa. Barangkali ada perkara yang boleh memudaratkan jika berpuasa dalam keadaan nifas dan haid. Asasnya kita sebagai seorang muslim, kita beriman bahawa dalam perintah dan larangan Allah ada banyak kebaikan kepada kita.


📌 Dari sudut hukum, apabila wanita yang berpuasa didatangi haid, puasanya batal dan dia haram meneruskan niat berpuasa.


📌Jika mereka menahan diri sekalipun, ia tidak membawa sebarang pahala. 


Jika mereka tidak mahu makan sebab ‘sayangkan puasa’, sebenarnya puasa itu sudah tidak ada apa-apa erti lagi.


📌 Perintah dan larangan dalam Islam juga memelihara kelangsungan amalan umatnya. Misalnya, disunatkan segerakan berbuka dan lewatkan sahur bagi yang wajib berpuasa, dengan hikmah yang besar. 


Larangan berpuasa, iaitu larangan menahan diri daripada makan dan minum bagi orang haid dan nifas, tentulah ada hikmah yang besar juga.


📌 Orang haid dilarang berpuasa. Jika dia meneruskan puasa, puasanya tidak diterima Allah.


Orang haid yang tidak mahu makan bukan kerana hendak terus berpuasa tidaklah berdosa. Dia mungkin tidak lapar ataupun tidak berselera. 


Namun apabila didatangi haid semasa berpuasa, ada baiknya diam-diam dia makan sedikit sebagai tanda dia mematuhi larangan Allah, tanda dia tidak berpuasa. Kemudian makanlah lagi bersama keluarga ketika mereka berbuka.


والله الموفق

0 comments:

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Powerade Coupons