Thursday, June 08, 2023

DAKWAH YANG MANIS DAN BERISI

Dakwah itu manis selagi bertunjangkan keikhlasan dan sukatan perjalanannya menepati ajaran wahyu.


Nabi Nuh as tidak ramai pengikutnya walaupun sangat panjang usia dakwahnya. Namun dirakam al-Quran sejarahnya yang manis. Kisah dakwah terpinggir pada zaman itu dapat pula menyegarkan al-nafs generasi selepasnya, kerana dakwah itu tulus kepada Allah dan kerana Allah, melalui jalan dan cara yang diredai oleh Allah. 


Tuduhan-tuduhan terhadap Nabi Muhammad saw dirakam dalam al-Quran, tentunya pahit ketika di lokasi namun pujukan Allah swt manis dibaca dengan iman. 



Dakwah kita hari ini bukan dakwah para nabi dan rasul, hanya meneruskan baki sahaja. Maka dakwah perlulah mengikut jalan dan sunnah yang dilalui para rasul, khususnya Nabi Muhammad saw. 


Bawa apa yang baginda bawa, bukan selainnya!


Apabila kerja dakwah bercampur dengan keinginan untuk popular, berorientasikan keuntungan, menjaga kepentingan, mempertahankan hadith palsu, meraikan pegangan yang salah, dengki mendengki, memanipulasikan orang lain, ‘twist’ fakta dan keadaan, maka ketika itu, dakwah menjadi tawar dan hambar tiada isi.


Dari satu sudut, umpama peminat Kpop dan yang seumpama dengannya. 


Menjadi pujaan ramai, hingar bingar dan hiruk pikuk online dan offline mempertahankan pujaan. Salahnya jelas namun yang salah itu tetap meraja di jiwa. Jiwa idola pujaan kosong, jiwa-jiwa yang memuja pun kosong. Jalan yang dilalui tidak jelas untuk apa dan tidak tahu hendak ke mana. Berjalan menghabiskan tenaga dan bekalan, tetapi tidak tahu di mana hujungnya dan bila akan sampai.


Menuntut ilmu pada nama tetapi faham yang menjadi inti jauh daripada gapaian. Maka agama menjadi bualan dan pertikaman lidah sahaja. Lancar dihafaz pada lisan, namun lisan yang sama itulah yang berbohong dan menyebarkan pembohongan. Solat tidak sedar apa yang dibaca. Solat tidak terasa hubungan langsung dengan Tuhan. Solat tidak terasa sedang memperhambakan diri kepada Tuhan. Solat tidak menahan perkara munkar pada jiwa dan anggota, kerana solat tidak bermaya, solat cepat-cepat mengejar ‘maqam’, ‘Tiktok’, likes dan followers.


Perkara yang paling Allah tidak suka ialah perbuatan mensyirikkanNya, sama ada secara terang ataupun nyata. 


Para ulama’ memperingatkan bahaya syirik tersembunyi dalam usaha dakwah. Zahirnya tampak berdakwah kepada Allah, batinnya berdakwah kepada diri sendiri. Hal ini mengingatkan kita kepada pentingnya doa yang diajarkan oleh Nabi Muhammad saw :


اللهم ات نفسي تقواها

وزكها أنت خير من زكاها

أنت وليها ومولاها.

Ya Allah! 

Datangkan bagi nafs ku ketaqwaannya.

Bersihkan dia, Engkaulah sebaik-baik yang membersihkannya.

Engkaulah penjaga dan penolongnya.


Dan juga menyedarkan kita mengapa Umar al-Khattab ra berdoa seperti berikut :


اللهم اجعل عملي كله صالحا، 

واجعله لوجهك خالصاً، 

ولا تجعل لأحد فيه شيئا )


Ya Allah!

Jadikan amalanku semuanya amalan soleh.

Jadikan amalanku itu ikhlas kepadaMu semata-mata.

Dan jangan jadikan amalanku itu dibuat kerana orang lain walau sedikitpun. 

0 comments:

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Powerade Coupons