Saturday, September 26, 2020

DOA TERAKHIR SEORANG INSAN : BOLEHKAH KITA BERDOA DENGAN DOA اللهم الرفيق الأعلى

🔴 Soalan :

Dalam hadith disebutkan bahawa ketika Nabi Muhammad s.a.w. hampir meninggal dunia, baginda berdoa dengan menyebut :

اللهم الرفيق الأعلى

📌 Apa makna al-Rafiq al-A’la?

📌 Bolehkah kita berdoa dengan doa ini, ataupun ia khusus bagi Nabi Muhammad s.a.w.? 


🔴 Jawapan :


Pertama : Maksud al-Rafiq al-A’la


Al-Rafiq bermaksud kumpulan rakan baik, kumpulan sahabat baik. Al-A’la pula bermaksud yang tertinggi. 

Kumpulan rakan-rakan baik yang tertinggi ini bermaksud jiwa 4 kumpulan iaitu :

a. para nabi, 

b. orang-orang yang benar, 

c. orang-orang yang mati syahid dan 

d. orang-orang soleh yang sudah meninggal dunia. 

Jiwa mereka ditempatkan di ‘illiyyin, tempat yang baik di sisi Allah.


Maksud al-Rafiq al-A’la yang diterangkan ini adalah berdasarkan ayat al-Quran dan hadith-hadith yang menjelaskan ayat tersebut.


Perhatikan firman Allah s.w.t. dalam ayat 69 Surah al-Nisa’ :

.



Kedua : Lafaz Doa Nabi Muhammad s.a.w. daripada Sahih al-Bukhari

Hal ini dijelaskan lagi dalam tiga hadith yang diriwayatkan oleh ‘Aisyah, isteri Nabi Muhammad saw yang paling banyak meriwayatkan hadith. Di rumah dan di atas ribaan ‘Aisyah lah Nabi Muhammad s.a.w. menghembuskan nafas terakhir.  

Hadith Pertama 

Kata ‘Aisyah r.a. :

سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول :

“ما من نبي يمرض إلا خيّر بين الدنيا والآخرة.”

وكان في شكواه الذي قبض فيه أخذته بُحّة شديدة فسمعته يقول

مَعَ الَّذِينَ أَنْعَمَ الله عَلَيْهِمْ مِنَ النَّبِيِّينَ وَالصِّدِّيقِينَ وَالشُّهَدَاءِ وَالصَّالِحِينَ [ النساء: 69]، فعلمت أنه خُيّر.



Maksudnya : "Saya pernah mendengar Nabi Muhammad s.a.w. bersabda, ‘Setiap nabi yang sakit diperintahkan untuk membuat pilihan sama ada mahu terus hidup di dunia ataupun kembali ke akhirat.’”

Ketika baginda sedang sakit hampir meninggal dunia, nafas baginda tersekat dan suara baginda menjadi garau, saya dengar baginda bersabda, “Bersama orang-orang yang telah dianugerahkan nikmat oleh Allah iaitu para nabi, para siddiqin, orang-orang yang mati syahid dan orang-orang saleh.” (Nabi membaca sebahagian ayat 69 Surah al-Nisa’)

Dengan kata-kata baginda itu, tahulah saya bahawa baginda telahpun disuruh membuat pilihan.”

(Sahih a-l-Bukhari, Kitab al-Tafsir)


Hadith Kedua 
 

عن عَائِشَةَ - رضى الله عنها - قَالَتْسَمِعْتُ النَّبِىَّ -صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَوَهْوَ مُسْتَنِدٌ إِلَىَّ يَقُولُ: «اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِى وَارْحَمْنِى وَأَلْحِقْنِى بِالرَّفِيقِ


Maksudnya : Aisyah meriwayatkan bahawa ketika baginda s.a.w. bersandar pada beliau (semasa hampir meninggal dunia), dia mendengar Nabi Muhammad s.a.w. berdoa : “Ya Allah! Ampunkan saya, kasihanilah saya, dan masukkan saya bersama kumpulan teman rapat (yang tertinggi.)”

(Sahih a-l-Bukhari, Kitab al-Mardha, Bab Tamanni al-Marid al-Mawt)

Hadith Ketiga

عن عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا قَالَتْ :


كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ وَهُوَ صَحِيحٌ :


لَنْ يُقْبَضَ  نَبِيٌّ قَطُّ حَتَّى يَرَى مَقْعَدَهُ مِنْ الْجَنَّةِ ثُمَّ يُخَيَّرُ


فَلَمَّا نَزَلَ بِهِ وَرَأْسُهُ عَلَى فَخِذِي غُشِيَ عَلَيْهِ سَاعَةً ثُمَّ أَفَاقَ فَأَشْخَصَ  بَصَرَهُ إِلَى السَّقْفِ ثُمَّ قَالَ اللَّهُمَّ الرَّفِيقَ الْأَعْلَى قُلْتُ إِذًا لَا يَخْتَارُنَا وَعَلِمْتُ أَنَّهُ الْحَدِيثُ الَّذِي كَانَ يُحَدِّثُنَا وَهُوَ صَحِيحٌ قَالَتْ فَكَانَتْ تِلْكَ آخِرَ كَلِمَةٍ تَكَلَّمَ بِهَا اللَّهُمَّ الرَّفِيقَ الْأَعْلَى


Maksudnya : Aisyah meriwayatkan bahawa ketika Nabi Muhammad s.a.w. masih sihat, baginda berkata, ‘Tidak akan dicabut nyawa seoranng nabi pun, melainkan selepas ditunjukkan tempatnya di dalam syurga, kemudian diberikan pilihan, sama ada mahu terus hidup di dunia ataupun kembali ke akhirat.’

Semasa Nabi Muhammad s.a.w hampir wafat, kepala baginda berada atas ribaku, baginda tidak sedarkan diri beberapa ketika. Setelah itu baginda sedar dan menghalakan pandangan ke bumbung rumah, lalu berkata, ‘Ya Allah! al-Rafiq al-A’la.’

Saya pun berkata, ‘Kalau begitu, baginda s.a.w. tidak memilih kita.’

Saya tahu kata-kata itu bermaksud apa yang pernah baginda s.a.w. beritahu kami dahulu ketika masih sihat. Itulah kata-kata terakhir baginda s.a.w.”

(Sahih al-Bukhari, Kitab Doa-Doa)

Ketiga-tiga hadith riwayat ‘Aisyah r.a. ini memberi isyarat kepada beberapa perkara, antaranya : 

1. Para anbiya’ ketika hampir wafat diperintahkan supaya membuat pilihan sama ada mahu meneruskan hidup di dunia ataupun kembali ke alam baqa’. Demikianlah Nabi Muhammad s.a.w. juga diperintahkan supaya membuat pilihan yang sama.

2. Doa memohon agar dimasukkan bersama al-Rafiq al-‘A’la ini dilafazkan oleh Nabi Muhammad s.a.w. sebagai jawapan kepada perintah supaya membuat pilihan sama ada mahu terus hidup ataupun mahu meninggalkan dunia dan kembali ke alam baqa’. 

3. Nabi Muhammad s.a.w. memilih untuk kembali ke alam baqa’ apabila diberikan pilihan oleh Allah s.w.t. dengan menyebut lafaz akhir ayat 69 Surah al-Nisa’.
 
مَعَ الَّذِينَ أَنْعَمَ الله عَلَيْهِمْ مِنَ النَّبِيِّينَ وَالصِّدِّيقِينَ وَالشُّهَدَاءِ وَالصَّالِحِينَ 

4. Ketiga-tiga hadith ini menjelaskan maksud al-Rafiq al-‘A’la. Lafaz wa alhiqni bi bermakna ‘masukkan saya bersama menyertai’. Lafaz ini sama seperti apa yang disebut dalam ayat 101 Surah Yusuf dan ayat 83 Surah al-Shu’ara’.




5. Imam Bukhari memasukkan hadith kedua di atas ke dalam Kitab Orang-Orang Sakit, di bawah perbincangan Bab Orang Sakit Mengharapkan Kematian. Doa yang dilafazkan oleh Nabi Muhamad s.a.w. dalam hadith tersebut bermaksud ‘memilih dan mengharapkan kematian’ kerana baginda disuruh membuat pilihan.

Ketiga : Bolehkah Beramal Dan Apa Lafaz Terbaik

Para ulama’ mengatakan doa ini boleh diamalkan dengan bersyarat, kerana ia membawa makna meminta kematian, sedangkan kita dilarang meminta mati.

Pertama : Diamalkan hanya ketika menghadapi sakaratul maut, kerana ia bermakna redha dengan ketentuan Allah, bersedia untuk menghadap Allah, dan mengharapkan yang terbaik daripada Allah. Ini berdasarkan hadith :

عن أبي هُرَيْرَةَ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قال : ( لَا يَتَمَنَّى أَحَدُكُمْ الْمَوْتَ وَلَا يَدْعُ بِهِ مِنْ قَبْلِ أَنْ يَأْتِيَهُ ) .


Maksudnya : Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad s.a.w. bersabda,  “Jangan sesiapa di kalangan kalian mengharapkan mati, dan janganlah berdoa untuk mati sebelum tibanya saat kematian.”

Berdasarkan hadith-hadith di atas, lafaz doa terbaik yang boleh diamalkan ketika itu nanti adalah :

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِى وَارْحَمْنِى وَأَلْحِقْنِى بِالرَّفِيقِ الأعلى

“Ya Allah! Ampunkan saya, kasihanilah saya, dan masukkan saya bersama kumpulan teman rapat (yang tertinggi, bersama para nabi, siddiqin, syuhada’ dan salihin.)”


Kedua : Boleh diamalkan sebelum tibanya sakaratul maut dengan syarat orang yang berdoa bermaksud : Apabila tibanya kematian saya, masukkanlah saya bersama menyertai al-Rafiq al-A’la.

Apabila kita berdoa dengan doa ini, berusahalah sedaya upaya memenuhi tuntutan ikhlas, taqwa, sabar, bersifat benar dan telus, tawakkal dan seterusnya. Membersihkan jiwa, mematuhi perintah Allah dan meninggalkan laranganNya dengan cara yang telah ditunjukkan oleh utusanNya.

Jika merasakan tidak tergamak untuk berdoa dengan doa ini sebelum tibanya sakaratul maut, berdoalah :

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِى وَارْحَمْنِى وَأَلْحِقْنِى بِالصالحين

Ya Allah! Ampunkan saya, rahmatilah saya, dan masukkan saya ke dalam golongan orang-orang yang saleh. (Di dunia dan di akhirat)




والله أعلم

Sabtu 
26/9/2020
8 Safar 1442H

Baca lanjut rujukan :
  • Sahih al-Bukhari
  • Sahih Muslim
  • Fath al-Bari
  • Syarh Sahih Muslim
  • Tafsir &Terjemahan al-Quran
  • https://dorar.net/aqadia/2134/المبحث-الرابع:-تخيير-الأنبياء-عند-الموت
  • http://www.al-eman.com/الكتب/فتح%20الباري%20شرح%20صحيح%20البخاري%20**/باب%20تَمَن%D9%90ّي%20الْمَر%D9%90يض%D9%90%20الْمَوْتَ/i9&d20644&c&p1
  • http://www.al-eman.com/الكتب/فتح%20الباري%20شرح%20صحيح%20البخاري%20**/باب%20مَرَض%D9%90%20النَّب%D9%90ي%D9%90ّ%20صَلَّى%20اللَّهُ%20عَلَيْه%D9%90%20وَسَلَّمَ%20وَوَفَات%D9%90ه%D9%90/i9&d19754&c&p1#s1
  • https://islamqa.info/ar/answers/187732/هل-يجوز-لعامة-المسلمين-ان-يدعو-بـ-اللهم-اغفر-لي-وارحمني-والحقني-بالرفيق-الاعلى

0 comments:

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Powerade Coupons