Saturday, June 15, 2019

TINDANAN PUASA GANTI, PUASA 6 SYAWWAL, PUASA ISNIN DAN PUASA HARI PUTIH


Soalan Lanjutan :

Assalamualaikum Ustazah, 

Sekiranya kita mahu berpuasa sunat 6 hari dalam Syawwal, pada hari Isnin ini 17 Jun 2019, yang juga jatuh pada hari Bidh 13 Syawwal 1440 H, bagaimana niat yang perlu kita buat?


Jawapan Ringkas :

Berdasarkan perbincangan yang panjang dalam kuliah yang lalu, yang kita ringkaskan daripada pelbagai sumber dan pandangan, termasuk syarat-syarat tadakhul, maka kesimpulannya :

1. Jika puan ada puasa ganti, puan perlu niat puasa ganti qadha’ Ramadhan SAHAJA, dengan niat dan harapan Allah sudi kurniakan pahala juga untuk kelebihan 3 perkara/hari tersebut, kerana kita tinggalkan puasa dalam bulan Ramadhan kerana mematuhi perintah Allah. 

Amalan yang disukai Allah swt ialah amalan wajib, barulah amalan sunat. Tunaikan kewajipan perlu kita dahulukan berdasarkan awlawiyyat (keutamaan) dalam Islam. Puan boleh baca tulisan terdahulu yang berkaitan di link ini  : http://nabilahasan.blogspot.com/2018/06/puasa-ganti-ramadhan-dan-puasa-6-syawwal.html#more

Puasa ganti Ramadhan yang kita lakukan dalam bulan Syawal tidak boleh kita niatkan sekali dengan puasa sunat 6 hari di dalam Syawwal. Sama seperti tidak boleh kita niat solat sunat Subuh sekali dengan solat fardhu Subuh, kerana kedua-duanya adalah ibadah yang perlu dibuat secara berasingan.

2. Jika puan sudah habis puasa ganti, ataupun tiada puasa ganti, boleh niat puasa sunat 6 hari dalam Syawwal sahaja, dan puan akan mendapat kelebihan berpuasa pada hari Isnin dan puasa hari putih, kerana puan sengaja memilih untuk berpuasa 6 pada hari yang baik itu.

Kita telah bincang sebabnya dalam kuliah sebelum ini, iaitu puasa sunat 6 hari Syawwal adalah puasa المقصود لذاته manakala puasa hari Isnin dan hari putih bukan المقصود لذاته.



والله الموفق

0 comments:

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Powerade Coupons