Thursday, September 20, 2018

POLEMIK HARI 'ASYURA'

🔴Kita menerima banyak persoalan tentang hari ‘Asyura’, termasuk dikirimkan juga tulisan-tulisan daripada Syiah serta riwayat-riwayat palsu tentang amalan-amalan sempena hari ‘Asyura’.


🔴Tidak berkesempatan menulis dan menjawab panjang, cuma dinasihatkan agar kita semua ingat 5 poin ringkas ini :

📌1.  Puasa hari ‘Asyura’ itu sunnah. 

Ini berdasarkan hadith yang sahih :

صِيَامُ يَوْمِ عَرَفَةَ أَحْتَسِبُ عَلَى اللَّهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهُ وَالسَّنَةَ الَّتِي بَعْدَهُ وَصِيَامُ يَوْمِ عَاشُورَاءَ أَحْتَسِبُ عَلَى اللَّهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهُ

Nabi Muhammad saw bersabda, maksudnya :

"Puasa hari 'Arafah aku harapkan agar Allah ampunkan dosa tahun sebelum dan tahun selepasnya, dan puasa 'Asyurā' aku harapkan agar Allah ampunkan dosa tahun sebelumnya."

(Sahih Muslim, Kitab Puasa, Bab Sunat Berpuasa 3 hari Dalam Sebulan, Puasa Hari Arafah, Hari 'Asyura dan Isnin dan Khamis)

Hari ‘Asyura’ itu maksudnya hari yang ke sepuluh pada bulan Muharram itu.

Sesiapa yang berpuasa sehari sahaja iaitu pada hari 10 Muharram, dia sudah mendapat kelebihan puasa hari tersebut seperti yang dinyatakan dalam hadith di atas. Semoga dosa-dosa kecil setahun yang lalu terampun dengan berpuasa pada 10 Muharram. 

📌2Kronologi Puasa Asyura’ Amalan Nabi Muhammad s.a.w.


Peringkat Pertama :


Nabi Muhammad s.a.w. berpuasa ‘Asyura’ di Mekah tetapi tidak menyuruh umatnya ketika itu agar turut berpuasa.


Peringkat Kedua :


Awal-awal selepas berhijrah ke Madinah, Nabi Muhammad s.a.w. terus berpuasa Hari ‘Asyura’ dan menyuruh umatnya ketika itu agar turut berpuasa Hari ‘Asyura’. Latar belakang dan perintah berpuasa ini disebut dalam hadith berikut :


حَدَّثَنَا أَبُو مَعْمَرٍ ، حَدَّثَنَا عَبْدُ الوَارِثِ ، حَدَّثَنَا أَيُّوبُ ، حَدَّثَنَا عَبْدُ الله بْنُ سَعِيدِ بْنِ جُبَيْرٍ ، عَنْ أَبِيهِ ، عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ الله عَنْهُمَا ، قَالَ : قَدِمَ النَّبِيُّ صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ المَدِينَةَ فَرَأَى اليَهُودَ تَصُومُ يَوْمَ عَاشُورَاءَ ، فَقَالَ : مَا هَذَا ؟ ، قَالُوا : هَذَا يَوْمٌ صَالِحٌ هَذَا يَوْمٌ نَجَّى الله بَنِي إِسْرَائِيلَ مِنْ عَدُوِّهِمْ ، فَصَامَهُ مُوسَى ، قَالَ : فَأَنَا أَحَقُّ بِمُوسَى مِنْكُمْ ، فَصَامَهُ ، وَأَمَرَ بِصِيَامِهِ 


Sahih al-Bukhari, Kitab al-Sawm, Bab Siyam Yawm ‘Asyura’.


Peringkat Ketiga :


Puasa wajib dalam bulan Ramadhan disyariatkan pada tahun ke-2 Hijrah. Dengan kata lain, tahun kedua selepas Nabi Muhammad s.a.w. berhijrah ke Madinah, barulah puasa wajib dalam bulan Ramadhan itu diperintahkan oleh Allah s.w.t.


Pada peringkat ini, Nabi Muhammad tidak mengerjakan puasa Asyura’ dan memberikan pilihan kepada umat Islam ketika itu, sama ada hendak mengerjakannya ataupun tidak. 


Ketiga-tiga peringkat ini dinukilkan secara umum oleh ‘Aisyah r.a. dalam hadith berikut :


"كان يوم عاشوراء تصومه قريش في الجاهلية، وكان رسول الله صلى الله عليه وسلم يصومه، فلما قدم المدينة صامه، وأمر بصيامه، فلما فرض رمضان ترك يوم عاشوراء، فمن شاء صامه، ومن شاء تركه."


Sahih al-Bukhari, Kitab al-Sawm, Bab Siyam Yaum ‘Asyura’.


Peringkat Keempat : 


Pada akhir hayat Nabi Muhammad s.a.w., baginda berazam hendak berpuasa sehari sebelum ‘Asyura’, iaitu hari Tasu’a’, yang bermaksud hari ke-9 pada bulan Muharram itu. 


Tujuannya ialah untuk membezakan puasa umat Islam dengan puasa ahli Kitab ketika itu. 


‘Abdullah bin ‘Abbas meriwayatkan :


حِينَ صَامَ رَسُولُ الله صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمَ عَاشُورَاءَ وَأَمَرَ بِصِيَامِهِ قَالُوا : يَا رَسُولَ الله إِنَّهُ يَوْمٌ تُعَظِّمُهُ الْيَهُودُ وَالنَّصَارَى فَقَالَ رَسُولُ الله صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : فَإِذَا كَانَ الْعَامُ الْمُقْبِلُ إِنْ شَاءَ الله صُمْنَا الْيَوْمَ التَّاسِعَ قَالَ : فَلَمْ يَأْتِ الْعَامُ الْمُقْبِلُ ، حَتَّى تُوُفِّيَ رَسُولُ الله صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.


Sahih Muslim, Kitab al-Siyam, Bab Ayy Yawm Yusamu fi ‘Asyura’.


📌3. ‘Cara’ Puasa 'Asyura' secara ringkas adalah seperti berikut :


a. Boleh berpuasa pada hari ‘Asyura’ sahaja. Mendapat ganjaran penuh fadilat puasa Hari ‘Asyura’. Tidak makruh sebagaimana yang disangka.

b. Lebih baik digandingkan dengan puasa hari 9 Muharram (Tasu’a’) kerana disebut dalam hadith yang sahih, walaupun Nabi Muhammad s.a.w. tidak sempat melakukannya. Gandingan mendatangkan lebih banyak pahala, kerana lebih banyak puasa sunat dalam bulan Muharram.

c. Jika tidak sempat, boleh juga digandingkan dengan hari selepasnya, iaitu 11 Muharram. Para ulama’ mengatakan membezakan puasa ‘Asyura’ dengan orang Yahudi boleh dilakukan dengan puasa sehari sebelum ataupun dengan puasa sehari selepas.

Jika tiada masa lain untuk mendapatkan puasa 3 hari sebulan, eloklah dilakukan ketiga-tiga hari tersebut. Jika ditambah lagi dengan puasa Isnin-Khamis setiap minggu, dan hari-hari putih ‘Ayyam al-Bidh’ pada bulan Muharram itu, lebih banyak amal yang kita usahakan, dan lebih banyak pahala yang kita harapkan daripada Allah. 

Jika banyak urusan, kelelahan untuk berpuasa sunat kerana banyak musafir, masalah kesihatan, baru belajar berpuasa dan sebagainya, sudah cukup besar pahala walaupun hanya sehari sahaja kita berpuasa iaitu Hari ‘Asyura, hari ke-10 Muharram sahaja.

Jangan tinggalkan puasa ‘Asyura’, hari ke-10 Muharram dengan alasan kita tidak sempat berpuasa sebelum dan selepasnya.

 Rebutlah ganjaran yang dijanjikan oleh Allah s.w.t. kepada kita. Diampunkan dosa setahun yang lalu sangat besar ertinya bagi orang yang beriman.


📌4. Hanya puasa amalan sunat yang khusus pada Hari ‘Ayura’ 

Amalan khusus pada bulan Muharram yang disebut dalam hadith sahih hanyalah puasa sunat sahaja. 

Amalan-amalan khusus lain yang viral seperti solat sunat Hari ‘Asyura’ dengan kaifiyyat sekian dan pahala sekian, datang daripada hadith palsu, suatu bentuk pembohongan atas nama Nabi Muhammad s.a.w.

📌5. Terdapat 3 golongan dalam berhadapan dengan hari ‘Asyura’ :

a. Golongan Pertama : Bersedih 

Mereka adalah golongan Syiah.  Mereka bersedih dengan sebab riwayat-riwayat palsu rekaan mereka sendiri. 

Kita boleh saksikan acara-acara pelik seperti memukul diri sendiri sambil menangis dan menampar-nampar pipi atas alasan kononnya bersedih atas kematian Husain ra, walhal Husain ra wafat kerana dibunuh oleh orang-orang mereka sendiri.

Amalan Syiah itu tidak diajar oleh Nabi Muhammad saw dan tidak dilakukan oleh para sahabat dan tabi’in.

b. Golongan Kedua : Bergembira 

Umpamanya bercelak, sapu kepala anak yatim, berbelanja dan beri belanja keluarga lebih daripada biasa, mandi khusus dan sebagainya.

Amalan-amalan ini  menggambarkan perbuatan ‘merayakan’ dan berpunca  daripada  hadith palsu yang panjang. 

c. Golongan Ketiga : Ikut Cara Nabi Muhammad s.a.w.

Sederhana, inilah jalan yang benar, jalan ittiba’ - iaitu mengikut cara Nabi Muhammad saw dengan tidak merayakan, tidak juga bersedih. 

Jalan ini menganjurkan kita berpegang kepada hadith yang thabit, lalu tiada amalan khusus lain yang dilakukan pada hari ‘Asyura’, kecuali puasa sunat yang warid dalam hadith yang sahih.

Selamat Berbuka Puasa

والله أعلم

Khamis
10 Muharram 1440H



0 comments:

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Powerade Coupons