Saturday, September 15, 2018

FIQH AL-WAQI’ (1)

Assalamualaikum.


🔴Fiqh al-Waqi’ sebenarnya tidak boleh difahami selagi mana kita tidak memahami fiqh-fiqh asas seperti Fiqh al-Ibadat, Fiqh Perbandingan, Fiqh al-Kitab wa al-Sunnah dan juga Fiqh al-Awlawiyyat. 

Tidak mungkin seseorang boleh ‘membaca realiti’ masyarakat dengan perspektif yang baik dan benar, sedangkan dia belum memahami perkara yang asas. 


‘Membaca realiti’ bergantung kepada kualiti lensa yang digunakan dan juga kadar pencahayaan yang mencukupi. Lebih dahulu daripada itu, seperti dalam memahami apa-apa fiqh sekalipun, ia memerlukan niat yang ikhlas. 

🔴Memahami bab poligami mesti kembali kepada asas ayat al-Quran (Al-Nisa’ ayat 3) iaitu jika tidak mampu berlaku adil, ataupun takut tidak berlaku adil, hendaklah berkahwin seorang sahaja. 


Demikian juga perlu direnungi amalan Nabi Muhammad saw yang mengandungi hikmah yang besar, mengapa baginda tidak pernah berkahwin lain, selama Khadijah ra. masih hidup.

🔴Fiqh al-Waqi’ dalam soal ibadat tidak boleh dijadikan sebagai alasan untuk menambah dan mengurangkan ibadah yang ditunjukkan oleh Rasulullah saw, kerana ibadah berada dalam kerangka disiplin tersendiri. 

Ancaman kepada pelaku bid’ah dalam ibadah jelas dalam hadith-hadith yang sahih. Oleh yang demikian, fiqh ibadat tidak boleh dibincangkan dalam kerangka ‘Fiqh al-Waqi’ semata-mata, tetapi hendaklah dibincangkan dalam kerangka Fiqh al-Sunan wa al-Bida’, kerana ancaman terhadap amalan bid’ah ini nyata dalam nas yang terang. 

Fiqh ibadah juga tidak boleh lari daripada perbincangan rajih dan marjuh, selagi mana ada dalil yang jelas. 

Banyak amalan bid’ah terhasil akibat salah faham dan salah guna nas, menenggelamkan ajaran asal Nabi Muhammad saw, maka ia perlu dibincangkan dengan halus dan teliti dengan penghayatan ‘ittiba’, bukan sekadar menyatakan bahawa sebahagian umat Islam menggunakan dalil umum dan sebahagian lagi menggunakan dalil khusus.

🔴Fiqh al-Waqi’ TIDAK membenarkan kita menyesuaikan nas mengikut realiti yang ada, kerana Nabi Muhammad saw membawa realiti umat pada zaman baginda s.a.w. kepada penghayatan nas dengan bimbingan baginda s.a.w.

Memahami Fiqh al-Waqi’ ataupun masalah realiti persekitaran yang ada tujuannya ialah untuk mencari penyelesaian berdasarkan dalil dan rukhsah yang ada, sehingga hilang masalah itu. 

Pada kita, ibarat ringkas kepentingan fiqh ini ialah, seumpama seorang perawat perlu mengetahui tahap penyakit pesakit dan jenis serta perkembangan waba’ yang sedang melanda kawasan tempat tinggalnya bagi memberikan rawatan yang sesuai dan berkesan dalam jangkamasa yang panjang.

Jangan sampai perawat sendiri tenggelam dalam kekalutan ‘berusaha memahami dan mengkaji’ sehingga lupa ataupun takut memberikan rawatan yang diperlukan, yang mengakibatkan waba’ terus menular. 

🔴Fiqh al-Waqi’, dimaklumi akan kepentingannya.   Realiti kekeliruan umat terhadap barangan yang didakwa barangan Nabi Muhammad saw sedangkan siapapun tidak memastikan kesahihannya, mestilah diambil kira sebelum memberi permit kepada penaja pameran barangan tersebut. Apatah lagi realiti menunjukkan bahawa penaja dan peminat sebenarnya tidak pula cakna kepada tinggalan sunnah Nabi Muhammad saw yang sebenar.

Namun seperti yang dikomentari oleh Syeikh Nasir al-Din al-Albani, Fiqh al-Waqi' mesti dibincangkan dalam kerangka disiplin yang kemas, kerana seringkali juga Fiqh al-Waqi’ disalah fahami dan disalah gunakan, sehingga mengenepikan Fiqh al-Kitab wa al-Sunnah.



Perkara yang tidak ditetapkan secara qat'i dalam nas boleh kita raikan realiti setempat ataupun sesuatu keadaan. Ada banyak perkara yang masih luas dalam hal ini, malah soal besar seperti persoalan hukum anjing sebagai najis. Ini dimaklumi oleh sesiapa yang mendalami Fiqh al-Kitab wa al-Sunnah dan Fiqh Perbandingan.

Perkara yang sudah ditentukan dengan jelas dalam nas, tidak boleh kita nafikan dengan alasan tidak sesuai dengan realiti. Bagi perkara yang jelas dalam nas, namun realiti tidak memungkinkan ia direalisasi dalam masa terdekat, perlulah dijalankan penerangan dengan cara yang baik secara berterusan. Adalah tidak tepat penerangan itu digantikan dengan ruang tuduh menuduh dalam bab 'memahami realiti umat.'


Memahami fiqh asal yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w., yang terselit dalam perbincangan Fiqh Perbandingan, Fiqh al-Awlawiyyat dan sebagainya adalah suatu jihad dalam medan ilmu, sehingga kita dapat melihat dan merasakan keindahan Islam di dalamnya, dan kita dapat ketengahkan dalam realiti semasa, sedikit demi sedikit.

Bukan menyembunyikannya.


Isnin
7 Muharram 1440H
17/9/2018


0 comments:

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Powerade Coupons