Wednesday, April 05, 2017

ILMU KHADIR AS DAN ILMU LADUNNI

Soalan : 

Adakah para wali diberikan ilmu ladunni, sebagaimana diberikan wahyu kepada para Rasul dan nabi, Khadir, dan juga lebah sehingga pandai membuat sarang yang unik di tempat bersih?

Jawapan :

🔸Ilmu yang Allah kurniakan kepada makhluk umumnya ada dua jenis.


1. Ilmu syar'i
2. Ilmu kauni.

Ilmu Ladunni itu, boleh jadi diberikan dalam bentuk Ilmu Syar'i atau Ilmu Kauni. 

Jika tidak termasuk dalam salah satu daripadanya, maka ia dibimbangi tipuan syaitan yang disangka ilham daripada Allah.

Ilmu syar'i contohnya ialah solat waktu 5 kali sehari semalam dan selawat Ibrahimiyyah. Ia diajar oleh Nabi Muhammad saw yang menerima wahyu.

Jika ada orang mendakwa bermimpi mendapat selawat yang pelbagai, lengkap dengan fadilat tertentu, maka ia bukan ilmu ladunni yang sebenar, sebaliknya tipuan syaitan. Walaupun dinamakan ilham dan bukan wahyu, tetapi ia berpotensi menandingi ajaran wahyu.

Para sahabat nabi saw adalah wali-wali Allah, tetapi mereka tidak pernah berani merekacipta selawat dan solat yang pelbagai, atas nama agama.

Apatah lagi kita dapati, amalan yang diperolehi bersumberkan  mimpi dan guru yang dianggap memiliki ilmu ladunni ini dipegang teguh oleh pengamal-pengamalnya, malah diletakkan jauh lebih tinggi daripada ilmu bersumberkan sunnah Nabi saw.

🔸ILMU SYAR'I

Apa yang diajarkan kepada para Rasul dan para anbiya' ialah ilmu syar'i.

Semua manusia dalam zaman risalah para rasul dan nabi tertentu WAJIB mengikut ilmu syar'i yang dibawa oleh para rasul dan anbiya' itu.

Contohnya :

Nabi Isa as yang akan turun akhir zaman juga akan mengikut syariat Nabi Muhammad saw, bukan syariat Nabi Isa as.

Semua ulama' ahl sunnah waljamaah sangat berdisiplin menjaga ilmu syar'i ini, termasuk Imam Ahmad. 

Ilmu ladunni dalam bentuk ilmu syar'ie dikurniakan kepada para ulama' yang berjihad dalam bidang ilmu dengan disiplin yang benar, hasil daripada keikhlasan dan usaha mereka yang tidak pernah kenal erti lelah, bagi menjaga keaslian agama sebagaimana yang diwahyukan Allah kepada RasulNya. 

Imam Ahmad sangat menentang perbuatan bid'ah, kerana menjaga ajaran sunnah, ajaran asal Nabi Muhammad saw. 

Memahami agama dalam bentuk ajaran asal yang dibawa oleh Nabi Muhammad saw ini adalah ilmu ladunni yang dikurniakankepada para ulama' yang tegas dan ikhlas MENJAGA AGAMA, mempertahankan tauhid dan sunnah Nabi Muhammad saw. d

Para ulama' ini melalui jalan menuntut ilmu dengan disiplin yang betul, mencukupi syarat sebagai ulama' mujtahidin.

BUKAN  MELALUI  JALAN PINTAS, seperti yang dilakukan oleh sebahagian umat Islam, lalu mereka tergelincir daripada memahami Islam yang murni. Lebih-lebih lagi mereka yang inginkan jalan pintas untuk mendapat kedudukan dalam kalangan masyarakat, ingin menjadi guru tanpa perlu bersusah payah melalui jalan menuntut ilmu syar'i tinggalan Nabi Muhammad saw.


🔸ILMU KAUNI

Ilmu yang diajarkan kepada lebah cara membuat sarang misalnya,  bukan dalam kategori ilmu syar'i seperti yang diajarkan kepada para rasul dan nabi.



Begitu juga ilmu yang diajar ataupun diberitahu kepada malaikat dan Khadir, ia adalah ilmu kauni, bukan ilmu syar'i.

Ilmu yang ada pada Khadir jelas berkaitan dengan rahsia kejadian dan ketentuan Allah disebalik peristiwa.

Mata zahir melihat anak kecil meninggal dunia, dan disebalik taqdir itu ada rahsia tersembunyi, iaitu Allah ingin memelihara kedua ibubapanya, kerana Allah Maha Mengetahui apa yang akan berlaku sekiranya anak itu dewasa, sebagaimana jawapan Khadir kepada Nabi Musa as. 


Oleh kerana itu, sebahagian ulama' mengatakan, berdasarkan nas al-Quran dan al-Hadith, Khadir jelas bukan manusia, tetapi malaikat. 

Bacalah kisah Nabi Musa dan Khadir dalam surah al-Kahfi. Dan mulakan bacaan dengan isti'adhah, iaitu membaca :

أعوذ بالله من الشيطان الرجيم

Berhujah dengan ilmu ladunni Khadir as untuk membuat amalan bid'ah yang tidak diajarkan oleh Nabi Muhammad saw adalah hujah yang menyalahi disiplin ilmu. 

Apalagi jika ada guru mendakwa menerima ajaran tertentu yang tiada asal dalam agama, lalu mendakwa ia adalah ilmu ladunni kurniaan langsung daripada Allah kepadanya!

Dakwaan sebeginilah yang disukai syaitan, kerana ia akan menandingi ilmu ladunni SEBENAR yang hanya dikurniakan khusus kepada para rasul dan para nabi. 

Dakwaan sebegini seolah-olah mengatakan guru tersebut masih menerima wahyu untuk menambah syariat yang sedia ada! 

📌Fahami apa ertinya kita mengucap :
وأشهد أن محمدا رسول الله

Jangan rosakkan syahadah kedua kita ini. 

🔸 ILMU WAHYU

Ilmu wahyu, iaitu ilmu daripada al-Quran dan hadith Nabi Muhammad saw mengandungi ilmu syar'i dan juga ilmu kauni. 

(Hadith palsu bukan hadith, kerana ia direka orang lain, bukan datang daripada nabi saw. Oleh itu kandungannya bukan ilmu wahyu.)

Al-Quran kalamullah, memahaminya ilmu syariat mesti dengan panduan hadith, kerana Nabi Muhammad saw ditugaskan mengajar dan menerangkan tuntutan ayat al-Quran. 

Inilah maksud ayat 44 Surah al-Nahl :



Bagi memahami dan memenuhi tuntutan al-Quran, kita perlu merujuk kepada hadith Nabi saw. Memenuhi tuntutan agama Allah tanpa merujuk kepada Utusan Allah adalah menyalahi perintah Allah swt. 

Oleh kerana itu, mendakwa memiliki ilmu ladunni dalam perkara ilmu syariat, dengan mengatakan memperolehi ilham daripada Allah untuk melakukan sesuatu amalan yang tidak pernah diajarkan oleh Rasulullah saw boleh menyebabkan seseorang itu dan pengikutnya tergelincir daripada jalan yang lurus.

Kewajipan menuntut ilmu bagi setiap muslim ialah mempelajari ilmu syariat yang datang daripada ilmu wahyu. Bermula dengan akidah, fiqah dan tazkiyah al-nafs (penyucian jiwa), semuanya datang daripada 2 sumber ilmu wahyu ini dan ia mesti dipelajari dengan disiplin ilmu yang betul mengikut kefahaman para sahabat dan salafussoleh. 

Menuntut ilmu tinggalan Nabi Muhammad saw tidak boleh melalui jalan pintas. Asas agama terletak pada akidah, maka ia mesti difahami dengan benar. Merealisasikan akidah mesti dibuktikan dengan amalan. Penghayatan terhadap akidah, amalan yang diajar oleh Rasulullah saw itulah melorongkan jalan membersihkan jiwa seorang insan. Tahap kefahaman dan penghayatan akan meningkat dari masa ke masa, sesuai dengan meningkatnya ilmu dan amal seseorang. Sampai pada satu tahap, dia akan mencintai amalan yang dilakukannya kerana dia merasakan dia seorang hamba yang perlu patch dan bersyukur kepada Allah, Tuhan yang menciptaNya.


Inilah ilmu syar'i yang wajib dipelajari oleh setiap muslim, bukan ilmu ladunni yang didakwa hanya diketahui oleh golongan yang arif sahaja. Tiada ilmu yang disembunyikan oleh Rasulullah saw, kerana sifat baginda saw adalah menyampaikan dengan sempurna, dan Islam itu pula sifatnya membawa rahmat buat seluruh alam.

Rahmat ada pada ajaran asal dan murni, bukan ajaran tambahan yang didakwa sebagai ilmu ladunni.

Semoga kita menjadi pengikut wali Allah yang tertinggi, iaitu Nabi Muhammad saw. Bukan menjadi pengikut orang yang mengaku wali, tetapi menjauhi sunnah dan shariat Nabi Muhammad saw kerana mendakwa dikurniakan ilmu ladunni.


والله أعلم



0 comments:

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Powerade Coupons