Monday, December 05, 2016

QUNUT DI LUAR SOLAT?


🔴Soalan :

Assalamualaikum.

Ustazah, saya ingin bertanya tentang Qunut Nazilah. Bolehkah kita membacanya di luar solat?

🔴Jawapan :

Waalaikumussalam.

Apabila dibaca di luar solat, ia TIDAK lagi dinamakan Qunut Nazilah. Qunut  Nazilah disyariatkan dibaca dalam solat FARDHU.

Perbahasan tentang qunut ini agak panjang, namun kita cuba ringkaskan dengan menyentuh perkara asas.

📌1. Ilmu Agama Ada Disiplinnya

🔸Setiap ilmu ada disiplinnya, apatah lagi ilmu agama. 

🔸Apabila kita belajar ilmu hadith contohnya, perkara penting yang mesti kita pelajari ialah istilah-istilah dalam ilmu hadith. Kita mesti tahu apa itu hadith sahih, apa makna hadith thabit, apa itu hadith palsu, apa bahaya dan dosa menyebarkan hadith palsu dan ciri-ciri hadith palsu yang bertebaran dalam buku-buku dan ceramah-ceramah agama.

🔸Demikian juga apabila kita belajar ilmu Fiqh. Antara perkara penting yang dititik beratkan dalam pengajian ilmu fiqh ialah ta'rif ataupun definisi. Ia sangat penting sebelum kita pergi lebih jauh. Sesudah kita faham definisi, kita beralih kepada dalil-dalil al-Quran dan hadith nabi saw yang menjadi punca sesuatu hukum, dan seterusnya, sehinggalah kepada khilaf mu'tabar para ulama' daripada dalil tersebut. 



🔸Dalam pengajian apapun, disiplin ilmu sangat penting. Sejarah merakamkan bahawa disiplin merupakan asas yang membezakan antara ceramah para wu'adh dan qussas dengan majlis ilmu para ulama'. Disiplin juga membantu kita mengenal perbezaan di antara khilaf mu'tabar dengan salah faham nas agama. 

📌2. Apa Itu Qunut dan Qunut Nazilah

🔸Ta'rif QUNUT dari segi BAHASA ada banyak, antaranya ialah doa, diam dan berdiri lama.

Ta'rif ini diambil daripada nas al-Quran dan al-Hadith. Namun ta'rif sebenar yang mesti diambil perhatian ialah ta'rif dari segi istilah.

🔸Ta'rif QUNUT dari segi ISTILAH ialah :

اسم للدعاء في الصلاة في محل مخصوص من القيام

Maksudnya : Qunut adalah nama khas bagi doa yang dilakukan pada posisi khusus, semasa berdiri dalam solat. 

🔸Manakala QUNUT NAZILAH pula ialah qunut dalam solat fardhu pada ketika umat Islam sedang menghadapi bencana.(Seperti diserang waba' penyakit, dizalimi musuh dan sebagainya.)

🔸Nabi saw mengamalkan qunut biasa dalam solat Witir sama ada dalam Ramadhan dan juga di luar Ramadhan. 

Nabi saw TIDAK mengamalkan qunut dalam solat sunat lain, selain witir.

🔸Nabi saw juga berqunut ketika umat Islam dalam bahaya, dinamakan sebagai Qunut Nazilah/Nawazil. Apabila keadaan sudah reda, qunut nazilah dihentikan. 

🔸Qunut Nazilah amalan Nabi Muhammad saw dibaca dalam semua solat fardhu iaitu dalam solat Subuh, Zuhur, Asar, Maghrib dan Isya'.

📌3. Qunut Nazilah Dalam Solat Fardhu 

🔸Daripada ta'rif dan hadith-hadith yang menjadi dalil pensyariatan Qunut Nazilah, maka ulama' memutuskan bahawa Qunut Nazilah/Nawazil itu dibaca dalam solat FARDHU, kerana itulah amalan Rasulullah saw yang mesti diikuti.   Qunut Nazilah itu dibaca dalam solat fardhu, pada rakaat terakhir, ketika bangun dari ruku' sebelum sujud. 



🔸Sabda Nabi Muhammad saw :

صلوا كما رأيتموني أصلي
Maksudnya : "Solatlah sebagaimana kalian lihat aku solat."
(Sahih Bukhari, Kitab al-Adhan)

📌4. Kesimpulan 

🔸Menjawab soalan puan, bolehkah membaca Qunut Nazilah di luar solat, maka kita ringkaskan seperti berikut:

Sebagaimana Doa Iftitah adalah doa khusus dibaca dalam solat, begitulah juga Qunut Nazilah, ia doa khusus dibaca dalam semua solat FARDHU pada ketika tertentu.

Apabila kita menuturkan bait-bait Doa Iftitah di luar solat, maka sudah tentu namanya bukan lagi Doa Iftitah, sebaliknya doa biasa.

Begitulah juga jika kita menuturkan bait-bait doa Qunut Nazilah di luar solat, maka ia sudah tidak jadi qunut nazilah, kerana qunut itu sendiri mesti dilakukan dalam solat. 

Apabila kita selesai membaca bait doa Qunut Nazilah di luar solat, kita sebenarnya belum lagi mengamalkan Qunut Nazilah yang diajarkan oleh Nabi Muhammad saw. 

Untuk mendapatkan pahala ittiba', diterima amalan, kesan maksimum dan penghayatan yang sepenuhnya, kita perlu mengikut cara yang diajarkan oleh baginda saw. 

Dalam suasana umat Islam ditekan dan dizalimi, beberapa masjid di Perlis, Kelantan dan lain-lain contohnya, telah mula memperkenalkan bacaan Qunut Nazilah dalam setiap solat fardhu 5 kali sehari semalam. Usaha memperkenalkan cara melaksanakan Qunut Nazilah yang betul adalah penting.

Puan boleh membaca Qunut Nazilah dalam solat fardhu di rumah, sama ada solat fardhu secara berjemaah ataupun solat fardhu bersendirian. Jika puan mengerjakan solat witir, puan baca qunut yang biasa dibaca dalam solat Subuh itu, kerana dalam hadith ia adalah bacaan dalam qunut Witir. Puan baca qunut Nazilah sahaja dalam solat Subuh. Contoh doa Qunut Nazilah adalah seperti berikut :



Jika puan berpeluang mengikuti solat berjemaah di masjid dan menghayati qunut Nazilah di sana dengan memenuhi syarat-syaratnya, itu juga baik.



والله أعلم
📌Kelas Tafaqquh : Fiqh al-Hadith
📌Usrah Fiqh al-Awlawiyyat

0 comments:

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Powerade Coupons