Tuesday, November 03, 2015

HUKUM SAPU ATAS BALUTAN

MUZAKARAH : BOLEHKAH KITA MENGGUNAKAN PENDAPAT MAZHAB SELAIN AL-SYAFI?




SOALAN :


1. Bolehkah kita menggunakan pandangan lain selain daripada Mazhab Syafi'i, padahal kita belajar selama ini Fiqh Mazhab al-Syafi'i.

2. Dalam masalah sapu atas jabirah misalnya, apabila kaki disimen, ketika ingin berwudu' adakah :

a. Perlu berwudu' dan sapu atas balutan apabila sampai ke anggota yang berbalut, diikuti dengan tayammum bagi menggantikan tempat berbalut yang disapu itu

b. Ataupun cukup sekadar berwudu' seperti biasa, kemudian sapu sahaja atas balutan tanpa tayammum? 

Bolehkah kita menggunakan pandangan kedua, sedangkan pandangan kedua bukan pandangan dalam mazhab al-Syafi'i?
  

JAWAPAN :

PERBINCANGAN SATU : FIQH

1. Fiqh Perbandingan Dalam Dunia Ilmu Islam




Al-Mufassal fi Ahkam al-Mar'ah wa al-Bait al-Muslim adalah salah satu buku ringkas (11 jilid) yang menjadi rujukan penuntut ilmu dari kalangan ahl al-sunnah wal jamaah dari seluruh dunia.

Pengarangnya, Dr Abdul Karim Zaidan, dalam setiap topik yang dibincangkan, beliau akan membawa pandangan para fuqaha' dari mazhab-mazhab fiqh yang mu'tabar, termasuk Ibn Hazm.

Di akhir perbincangan, biasanya pengarang akan kemukakan pandangan yang paling rajih bagi beliau.

Sebelum kitab ini dikarang, sudah ada banyak kitab-kitab fiqh perbandingan yang lain.

Hakikatnya dalam dunia ilmu, sentiasa ada  perbandingan dalam fiqh, dan tarjih pandangan yang lebih tepat berasaskan dalil al-Quran dan al-Sunnah.

Di kalangan para ilmuwan, perbincangan penuh beradab dan berdisiplin, menepati kaedah yang betul, dan semuanya ingin kembali kepada pandangan yang paling tepat berdasarkan wahyu.

Oleh yang demikian, bila kita baca kitab-kitab para ulama' mu'tabar mutaakhir, tidak akan ada seorang ulama' yang berpegang kepada satu mazhab sahaja, malah ia adalah sesuatu yang sangat ganjil dalam disiplin dunia ilmu Islam.

Apatah lagi dalam konteks kenegaraan, memang sangat perlu kepada keluasan fiqh.



2. Bid'ah Bukan Persoalan Khilaf Dalam Fiqh


Selalunya apabila ada persoalan tentang khilaf dalam fiqh, kita terpaksa rangkumkan sekali dengan persoalan bid'ah. Sebelum ini kita agak keberatan untuk menyebut perkataan bid'ah, kerana sesetengah orang sangat sensitif dengan perkataan tersebut. Namun, akhirnya kita bincangkan secara terbuka setelah diminta penjelasan, lebih-lebih lagi setelah :

- Menyedari bahawa perkataan bid'ah itu disebut sendiri oleh Rasulullah saw dalam hadith yang penting, di mana beliau melarang perbuatan bid'ah

- Mendapati ramai yang menganggap perkara bid'ah sebagai perkara cabang yang tidak perlu dibincangkan,

- Mendapati bahawa ada golongan yang berhujjah bahawa semua perkara bid'ah yang mereka lakukan adalah bid'ah hasanah, termasuk bertawassul di kubur,

- Mendapati bahawa ada yang mendakwa perbuatan mereka adalah perkara khilaf di kalangan ulama' sedangkan ia sebenarnya tiada asas pun dalam syariat, bukan khilaf.

Dr Yusuf al-Qaradawi dalam Fiqh al-Jihad mengatakan, ada 4 medan jihad yang perlu dilaksanakan, iaitu dalam mengatasi :

1. Kezaliman
2. Keruntuhan akhlak
3. Kecelaruan pemikiran dan bid'ah 
4. Gerakan murtad

Bolehlah dibayangkan kecelaruan yang timbul apabila perkara bid'ah yang terang diklaim sebagai khilaf. Orang awam menjadi mangsa kerana tidak tahu mana satu perkara khilaf, mana satu bukan, lalu menjadi satu tugas berat dan penting pula untuk menerangkan. 




Membasmi kecelaruan pemikiran dan bid'ah memang patut diletakkan sebagai suatu jihad kerana ia memerlukan banyak persediaan, ilmu yang mantap, peribadi yang mulia dan cekal, serta usaha yang berterusan. Usaha tersebut tentu mendapat pelbagai jenis tentangan dan hujah, malah memang ada yang tidak setuju lalu menimbulkan fitnah.

3. Peranan Ulama' Mutaakhirin Dalam Menperjelaskan Fiqh Dan Mengembalikan Kepada Sumber Asal

Apabila kita melihat perbincangan ulama' mutaakhirin, kita mendapati mereka membincangkan tentang asas fiqh pada zaman Rasulullah saw, diikuti dengan perkembangan pada zaman para sahabat, mengapa para sahabat berbeza pandangan, (antaranya kerana tahap dan komitmen terhadap ilmu yang berbeza), seterusnya fiqh pada zaman tabi'in, sejarah wujudnya mazhab-mazhab fiqh, dan bila mulanya umat Islam menjadi taassub terhadap mazhab (iaitu selepas tahun 400H). 

Malah pada zaman itu ada yang melarang orang bermazhab Hanafi berkahwin dengan orang bermazhab Syafii, dan ada yang menghukum bahawa sesiapa yang keluar dari mazhab fiqh sama seperti keluar daripada ketaatan terhadap Allah dan rasulNya.

Hal yang berlaku sangat bertentangan dengan kehendak dan harapan ulama' yang mengasaskan mazhab itu sendiri.

Situasi ini ada yang berlajutan, sehingga para ulama' seterusnya mengambil pendekatan membawa pandangan-pandangan dari pelbagai mazhab, dan mentarjihkan pandangan yang lebih tepat berdasarkan al-Quran dan al-Sunnah.

Firman Allah swt dalam ayat 59 Surah al-Nisa' :




Seruan ayat di atas sejak dahulu sentiasa disemboyankan oleh para ulama' dalam menangani khilaf fiqh, menasihati dalam masalah amalan turun temurun yang didakwa sebagai ibadat, menggalakkan kajian sains dari perspektif Islam, dalam falsafah, dan lain-lain.

Antara kitab Fiqh Perbandingan yang baik untuk dibaca ialah al-Muhalla (Ibn Hazm al-Andalusi 384-456H ), al-Majmu' (Imam Nawawi 631-676H) dan Nail al-Awtar (al-Syawkani 1173-1250H)).

Ibn Hazm adalah seorang mujtahid mutlak, sama seperti Imam Syafi'i, Imam Ahmad, Imam Abu Hanifah, Imam Malik dan Imam Bukhari. Namun Fiqh Imam Bukhari biasanya disedari dan dipelajari secara khusus oleh mereka yang belajar ilmu secara disiplin yang khusus sahaja.

Satu lagi bentuk kitab fiqh ialah Fiqh al-Kitab wa al-Sunnah. Antara tokoh yang turut sedar akan kepincangan daripada taasub mazhab ialah Imam Hasan al-Banna, lalu beliau menyokong ditulis kitab Fiqh al-Sunnah oleh Syeikh Sayyid Sabiq.

Selepas Fiqh al-Sunnah, ada lagi kitab yang baik untuk kita jadikan rujukan, antaranya Sahih Fiqh Sunnah. 

Hujah dan dalil dari kedua belah pihak yang khilaf dinyatakan dengan jelas, maka tidak timbul isu kita guna sesuatu pendapat tanpa mengetahui hujah dan dalil yang digunakan. 

Ia juga dikutip dan dinukikan secara berdisiplin dan beradab, maka tidak timbul langsung soal menghina ataupun merendahkan mana-mana ulama'.


********************

PERBINCANGAN DUA : SAPU ATAS JABIRAH

a. Menyapu air di atas balutan ada hukumnya sendiri. Pesakit yang dibalut anggota wudu'nya boleh terus berwudu', dibenarkan sapu sahaja atas balutan, dan dikira sah wudu' itu.

Tartib yang sepatutnya dilakukan apabila ada anggota cedera ialah : 
1. Basuh jika tidak memudaratkan
2. Sapu dengan air atas anggota yang sakit itu jika tidak memudaratkan
3. Balut anggota yang sakit dan sapu atas balutan tersebut. Inilah hukum yang sedang kita bincangkan. 

Hukum menyapu atas balutan adalah wajib ketika berwudu' (ataupun mandi wajib) sebagai gantian kepada basuhan anggota yang sakit itu, ataupun gantian kepada menyapu air atas anggota yang sakit itu.

b. Ulama' berbeza pendapat sama ada anggota wudu' yang disapu atas balutan itu perlu digantikan dengan tayammum, ataupun tidak perlu tayammum lagi sebaliknya cukup dengan sapu atas balutan sahaja. 

c. Ia sebenarnya berkaitan dengan topik tayammum secara khusus, iaitu 'Adakah perlu digabungkan antara الأصل (wudu' ataupun mandi) dengan البديل (tayammum).'

Golongan ulama' yang mengatakan tidak perlu digabungkan kedua-duanya dalam satu-satu ketika ialah antara lain kerana pada pandangan mereka, hadith yang digunakan dalam mazhab al-Syafii dan Ahmad sebagai dalil adalah hadith yang daif. (Matan yang terlibat adalah daif, manakala sebahagian matan di atasnya adalah hasan).

Maka, mereka mengatakan cukup wudu' dan sapu atas jabirah sahaja, tidak perlu tayammum lagi.

Dr Abdul Karim Zaidan dalam al-Mufassal fi Ahkam al-Mar'ah tidak menyebut langsung tentang perlunya bertayammum apabila menyapu air atas jabirah. 

Pengarang Sahih Fiqh Sunnah juga mentarjihkan pendapat yang mengatakan tidak perlu tayammum lagi apabila berwudu' dan sapu atas jabirah.

Imam al-Nawawi dalam al-Majmu' mengatakan, Imam al-Syafi'i dalam qawl qadim juga berpandangan tidak wajib tayammum lagi apabila menyapu atas jabirah, sebagaimana tidak wajib tayammum bagi orang yang menyapu di atas khuf.

Kesimpulan ringkas :

Adalah tidak menjadi kesalahan apabila kita mengambil pandangan yang lebih rajih pada pandangan ahli ilmu yang berautoriti, berdasarkan hujah dan dalil jelas daripada al-Quran dan al-hadith yang difahami secara berdisiplin dan benar, serta paling dekat dengan amalan para sahabat dan tabi'in.  Sebaiknya dengan kita mengetahui hujah dan dalil yang mereka kemukakan.

Malah berkaitan persoalan yang dikemukakan ini, sebenarnya pandangan kedua masih dalam lingkungan khilaf dalam Mazhab al-Syafi'i juga. 

والله أعلم

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Powerade Coupons