Thursday, June 18, 2015

BERTAYAMMUM SELEPAS SUCI DARIPADA HAID

Assalamualaikum.


Soalan

Saya menjalani pembedahan appendix semasa dalam penghujung haid. Selepas pembedahan, saya suci dan ingin mandi wajib. Namun doktor tidak benarkan saya mandi selama 2 hingga 3 hari.

Bagaimana sebenarnya cara yang patut saya lakukan untuk bersuci? Bagaimana dengan solat dan puasa saya.

Jawapan

Saudari mungkin berada pada salah satu daripada 2 keadaan ini ;

Pertama : Pesakit tidak dibenarkan mandi sama sekali. 

Kedua : Pesakit boleh mandi kerana tempat jahitan telah ditampal ataupun  dibalut.



Keadaan pertama

Tidak dibenarkan mandi langsung, kerana tiada tampalan pada luka.

Saudari perlu lakukan seperti berikut :

1. TAYAMMUM

- Saudari perlu tayammum bagi menggantikan mandi.

- Tayammum disyariatkan bagi menggantikan WUDU' dan MANDI ketika ketiadaan air, atau berkeuzuran untuk gunakan air.

- Apabila saudari melakukan tayammum dengan niat untuk mengangkat hadath besar, hadath kecil sudah dikira terangkat sekaligus. 

Saudari tidak perlu mandi wajib lagi setelah setelah doktor membenarkan mandi. Saudari sudah suci sempurna daripada hadath besar dengan bertayammum sebelum sembuh itu.

- Setelah suci daripada hadath besar dengan tayammum, oleh kerana tempat pembedahan itu tiada kaitan dengan anggota wudhu', saudari bolehlah berwudu' seperti biasa untuk mengerjakan solat-solat yang seterusnya.

Cara tayammum :

Cara 1. 

Niat untuk tayammum mengangkat hadath besar. Tepuk 2 tapak tangan sekali pada debu tanah (apa sahaja jenis tanah), kemudian sapu ratakan pada kedua belah tangan (tapak tangan dan belakang tangan), seterusnya sapu ratakan pada muka.

Ini berdasar hadith nabi saw yang panjang, akhirnya Nabi saw bersabda ;

إِنَّمَا كَانَ يَكْفِيكَ أَنْ تَصْنَعَ هَكَذَا فَضَرَبَ بِكَفِّهِ ضَرْبَةً عَلَى الْأَرْضِ ثُمَّ نَفَضَهَا ثُمَّ مَسَحَ بِهِمَا ظَهْرَ كَفِّهِ بِشِمَالِهِ أَوْ ظَهْرَ شِمَالِهِ بِكَفِّهِ ثُمَّ مَسَحَ بِهِمَا وَجْهَهُ 

Maksudnya :

"Lakukan begini sahaja sudah cukup :
Beliau pun menepuk tapak tangannya sekali ke tanah. 
Setelah mengebaskan tangannya, beliau menyapu kedua2 tapak tangan itu : dengan menyapu belakang tangan (kanan)nya dengan tapak tangan kirinya, dan menyapu belakang tangan (kiri)nya dengan tapak tangan kanannya. 
Kemudian beliau menyapu muka dengan kedua2 belah tangannya."

Sahih Bukhari, Kitab Tayammum, Bab Bertayammum Dengan Sekali Tepuk.

Inilah cara mengikut cara Imam Bukhari berdasarkan hadith sahih yang diajarkan oleh Nabi Muhammad saw.

Cara 2.

Niat. Tepuk sekali pada tanah, kemudian sapu pada muka. 

Tepuk kali kedua, kemudian sapu tapak tangan kiri pada belakang tangan kanan sampai siku, kemudian pusing, sapu bahagian depan tangan dari atas (siku) sampai hujung tapak tangan. 

Kemudian sapu tapak tangan kanan dengan cara yang sama pada tangan kiri pula.  

Inilah cara mengikut mazhab syafi'i yang biasa diamalkan di tempat kita.


2. SOLAT JAMA' (tidak boleh qasar, sebab qasar hanya untuk org musafir sahaja)

Dengan satu tayammum, saudari boleh jama'kan solat. Maknanya, setelah tayammum untuk bersuci drpd haid tadi, saudari boleh terus jama'kan solat. 

Cthnya saudari suci dari haid jam 2.00 petang. Selepas tayammum, saudari boleh jama' taqdim Zuhur dan Asar.

Kemudian, untuk waktu Maghrib dan 'Isya, saudari boleh berwudhu' pada jam 9.00 mlm untuk tunaikan solat jama' ta'khir.

Saudari boleh pilih 3 cara jama' seperti berikut :

a. Jama' taqdim
-Kerjakan Solat Zuhur 4 rakaat dan Solat Asar 4 rakaat dalam waktu Zuhur. 
-Kerjakan Solat Maghrib 3 rakaat dan Solat 'Isya' 4 rakaat dalam waktu Maghrib

b. Jama ta'khir
-Kerjakan Solat Zuhur 4 rakaat dan Solat Asar 4 rakaat dalam waktu Asar. 
-Kerjakan Solat Maghrib 3 rakaat dan Solat 'Isya' 4 rakaat dalam waktu 'Isya'

c. Jama' Suri - الصوري
Saudari kerjakan solat Zuhur dalam waktunya tetapi lewat, contohnya dlm jam 4.15, dan bila masuk waktu Asar jam 4.25, saudari boleh terus solat Asar.

Begitu juga Maghrib dengan 'Isya'.

3. DIBOLEHKAN BUKA PUASA ATAUPUN MENINGGALKAN PUASA BAGI ORANG SAKIT

Orang sakit, baru menjalani pembedahan, perlukan ubatan dan tempoh penyembuhan. Saudari dibenarkan tidak berpuasa tetapi wajib menggantikannya nanti. 

Saudari juga TIDAK PERLU mandi wajib semula apabila tiba masa saudari sihat untuk berpuasa. 

Keadaan kedua

Boleh mandi tetapi ada balutan atau tampalan pada jahitan atau tebukan laparoscopy.

Saudari boleh mandi wajib seperti biasa, dengan membiarkan air mengalir seperti biasa pada tempat tampalan pembedahan tersebut.

TIDAK PERLU bertayammum lagi untuk menggantikan kawasan berbalut yang tidak kena air tersebut. 

Tentang solat dan puasa, saudari boleh lakukan seperti keadaan pertama jika keadaan memerlukan.
والله أعلم

Khamis 
1 Ramadhan 1436 H

Rujukan utama :
Sahih Fiqh Sunnah
Fiqh Sunnah
Al-Mufassal Fi Ahkam al-Mar'ah wa al-Bait al-Muslim

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Powerade Coupons