Friday, May 01, 2015

BELAJAR TASAWWUF DAN MASUK TAREKAT



Soalan :

Assalamualaikum.

1. Apa pandangan ulama' tentang tasawwuf dan tariqat. Patut kita jauhi ataupun kita pilih.

2. Wajibkah kita bertariqat?

3. Adakah dengan bertariqat ini kita dapat mendekatkan diri kepada Allah?

4. Dari segi zikirnya bagaimana, adakah tidak cukup kita zikir munajat seperti biasa dan tidak ikut zikir tariqat?

Harap ustazah beri pencerahan. Saya benar-benar keliru.

Jawapan :

 1. Persoalan pertama : Pandangan ulama' tentang tasawwuf dan tariqat

Istilah

Dalam istilah ulama' mu'tabar, sebenarnya mereka tidak menggunakan istilah tariqat ataupun tasawwuf. Sebaliknya mereka menggunakan istilah tazkiyah al-nafs. Ulama' hadith menggunakan istilah al-zuhd (kurang minat kepada dunia) dan al-riqaq (melembutkan hati).

Dari sudut istilah lagi, kita rasa kurang berkenan, kerana istilah ini telah membuka banyak pintu kepada banyak kepercayaan dan amalan yang bertentangan dengan prinsip akidah dan syariat Islam. Perkara ini telah berleluasa di negara-negara umat Islam, sehingga mereka meninggalkan ajaran Islam yang sebenar.

Siapa Ahl al-Suffah Sebenarnya?

Adalah tidak tepat mengaitkan tasawwuf dan ahli sufi dengan ahl al-suffah yang duduk tinggal di pinggiran masjid nabi saw pada zaman baginda. 

Ahl al-suffah itu bukan ahli sufi. Sebenarnya ahl al-suffah yang tinggal di masjid nabi saw itu terdiri daripada pelbagai latarbelakang dan sifat mereka, serta silih berganti orangnya. Mereka tinggal di situ sebagai tempat transit apabila berhijrah ke Madinah, sementara mendapat kediaman dan kehidupan yang lebih baik. Oleh yang demikian, sejarah mencatatkan bahawa tiada orang Ansar di kalangan ahlu al-suffah itu.

Di kalangan ahl al-suffah itu pula ada yang tetap beriman, malah ada juga yang murtad dan memerangi nabi saw. 

Beberapa Perkara Yang Menyimpang

Para ulama' juga mendapati ada banyak unsur yang tidak menepati ajaran al-Quran al-sunnah dalam tasawwuf dan tariqat. Tariqat-tariqat yang wujud tidak boleh kita samakan dengan mazhab-mazhab dalam fiqh dalam ahl al-sunnah waljamaah. Antara fahaman yang wujud dalam ajaran tasawwuf dan tariqat ialah : 

1. Percaya bahawa Nabi Khadir masih hidup. Mereka juga menyeru namanya jika dalam kesusahan. Dalam Islam, 'istighathah' ataupun seruan kepada suatu kuasa untuk memohon pertolongan mesti dilakukan kepada Allah sahaja, serukan nama Allah sahaja. 

2. Percaya syeikh mereka yang mempunyai maqam yang tinggi (selepas melepasi pelbagai halangan) boleh bertemu dengan Rasulullah saw dalam jaga. Mereka salah faham terhadap maksud hadith nabi saw.

3. Banyak menggunakan hadith daif dan palsu, serta salah dalam memahami ayat al-Quran.

4. Mempercayai kejadian alam ini bermula dengan Nur Muhammad, sedangkan pegangan mereka itu diasaskan dari sebuah HADITH PALSU.

5. Mempercayai alam ini bersatu dengan pencipta, ataupun hakikat semua alam ini adalah pencipta alam itu sendiri, iaitu kepercayaan wahdatul wujud. Para ulama' sejak zaman berzaman mengingatkan kita bahawa fahaman ini berasal dari agama lain, dan ia bertentangan dengan akidah Islam.

Ada banyak tulisan para ulama' yang menegur perbuatan ahli sufi/tasawwuf. Para ulama' yang menegur itu telah berpengalaman melihat, menyaksikan, dan menerima aduan tentang kemuncak amalan dan kepercayaan ahli sufi yang bercanggah dengan ajaran Islam, yang telah berlaku di negara mereka masing-masing pada zaman mereka hidup.

Antaranya ialah kitab :

a. Madarij al-Salikin Baina Manazil Iyyaka Na'budu wa Iyyaka Nasta'in.
مدارج السالكين بين منازل اياك نعبد واياك نستعين.

Kitab ini ditulis oleh Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah. (691-751H)

b. Al-Furqan baina Awliya' al-Rahman wa Awliya' al-Syaitan. Kitab ini ditulis oleh Ibn Taymiyyah rahimahullah. Beliau adalah guru kepada ramai ulama' besar dan dihormati, termasuk Ibn Qayyim dan juga Ibn Kathir.

Apabila kita membaca sendiri kitab ini, kita dapati beliau sangat berdisiplin, sangat alim, menekankan soal pembersihan jiwa yang benar mengikut jalan yang diredai Allah, dan berpesan agar jangan terpedaya dengan tipuan syaitan dan nafsu dalam mengejar 'kedudukan' yang mulia di sisi Allah.

Apabila kita baca sendiri kitab ini, kita akan memahami, mengapa para ulama' muktabar selalu merujuk kepadanya, dan selalu menyebut namanya. 

c. Talbis Iblis oleh Ibn al-Jauzi. (Tipudaya Iblis)
Dalam kitab ini, Ibn al-Jauzi ada menyentuh tentang perbezaan antara zuhud dengan tasawwuf. 

Para ulama' lain juga mengingatkan tentang bahaya ahli sufi dan tasawwuf. Antaranya Imam Malik, Imam Syafi'i, Imam al-Qurtubi, Ibn Qudamah dan Imam al-Syaukani.

Para ulama' ini (dan lain-lain) bukan menentang usaha penyucian jiwa dan ihsan, kerana ia memang intipati agama. Yang diperingatkan oleh ulama' ialah pentingnya mengikut jalan syariat yang ditetapkan oleh Rasulullah saw dalam  penyucian jiwa, kerana mereka-reka amalan yang tiada dalam agama sangat disukai syaitan, dan telah menggelincirkan ramai manusia dari jalan yang lurus.

Para ulama' ini mendapat tentangan daripada ahli sufi, bukan semudah seperti yang kita sangkakan. Tetapi mereka tetap menyampaikan, kerana menyampaikan kebenaran, menyampaikan ajaran Islam dalam wajah asal yang dibawa oleh Nabi Muhammad saw menjadi tangggungjawab mereka. Jika bukan orang yang alim mengingatkan, ilmu yang benar akan hilang, sedangkan ilmu yang benar itulah Islam yang bakal membawa rahmat ke seluruh alam. Mereka memilih untuk berkata benar meskipun mendapat tentangan pada zaman mereka. 



Apabila amalan syirik iaitu meminta sesuatu dengan penghuni kubur dihiaskan dengan pelbagai istilah agama seperti tawassul, taqarrub dan lain-lain, itu tandanya syaitan  berjaya menipu manusia atas nama agama. Jika perkara sebesar itu dilabelkan 'bid'ah hasanah', bayangkanlah bahaya yang boleh merosakkan agama yang suci dan menepati fitrah manusia ini.

Kerana manusia beragama inginkan 'maqam yang tinggi', manusia boleh menjadi mangsa kepada tipuan nafsu dan syaitan. Tidak nampak kebenaran lagi, kerana mengejar kelebihan, keanehan, kewalian yang tidak pernah dianjurkan dalam syariat Nabi Muhammad saw.

Sedangkan MAQAM YANG TERTINGGI bagi seorang hamba Allah ialah mendapat KEAMPUNAN ALLAH swt. Oleh kerana itu, istighfar-lah zikir yang paling banyak diulangi oleh Nabi Muhammad saw sendiri yang ma'sum, dan itulah yang sangat dianjurkan kepada kita umatnya yang tidak ma'sum. 

Doa terakhir buat seorang jenazah, juga mengandungi istighfar. Keampunan Allah adalah kemuncak permohonan dan keinginan seorang mu'min, kerana dengan keampunan dia akan mendapat kemuliaan, rahmat dan nikmat yang baik daripada Allah.

2. Persoalan kedua : Adakah wajib masuk tariqat? 

Oleh kerana ulama' telah mengenalpasti bahawa tariqat-tariqat yang diperkenalkan dalam ilmu tasawwuf itu telah bercampur dengan elemen asing dari ajaran nabi saw seperti zikir-zikir pelik yang tidak diajar oleh nabi saw, selawat yang direka dan ditukarganti dari masa ke semasa, juga ada unsur ajaran syiah, maka tidak wajib ikut tariqat. 

Malah apabila sudah nyata bersalahan dengan prinsip akidah dan syariat, maka haram pula hukumnya. 

Ilmu yang wajib dipelajari ialah ilmu untuk membersihkan jiwa seorang muslim, iaitu ilmu tazkiyah al-nafs. Memahami dan menghayati makna ikhlas, sabar, syukur dan lain-lain yang mahmudah, serta menjauhi riya', 'ujub, sum'ah, hasad dan lain-lain yang mazmumah. Semuanya itu tidak perlu kepada masuk tariqat, zikir yang pelik ataupun melakukan bid'ah dalam ibadat. Selain bermujahadah dan selalu muhasabah diri, kita boleh berdoa agar mendapat jiwa yang bersih dari segala bentuk syirik, dan selalu memohon keampunan kerana kita memang selalu melakukan kesalahan, baik dari sudut fizikal mahupun kesalahan niat. 

Kita boleh mengambil contoh daripada Umar bin al-Khattab ra, bagaimana beliau selalu memohon agar beliau ikhlas kepada Allah.




3. Persoalan ketiga : Adakah tariqat dapat mendekatkan diri kepada Allah? 

Mendekatkan diri kepada Allah dan membersihkan hati perlu ikut jalan nabi saw, kerana nabi saw diutuskan kepada manusia untuk mengajar cara-cara beribadat dan mendekatkan diri kepada Allah.

Oleh yang demikian, mendekatkan diri kepada Allah bagi ahlu al-sunnah wal jamaah ialah dengan mengerjakan ibadat wajib dan ibadat sunat dengan penuh penghayatan, serta mematuhi perintah Allah dan menjauhi larangan Allah dalam kehidupan seharian.

Semuanya itu memerlukan ilmu, mujahadah dan niat yang ikhlas.

Mana mungkin hati dapat dibersihkan dengan melakukan perkara bid'ah, sedangkan nabi saw melarang bid'ah. Tiada siapa yang berhak membid'ahkan, melainkan pembawa syariat, iaitu Nabi Muhammad saw. Bagindalah yang melarang bid'ah.  Hikmah larangan itu boleh dilihat sekarang apabila syariat sebenar terhijab dengan adanya bid'ah dalam agama. 

Jalan sebenar bagi membersihkan jiwa ialah dengan mengikut petunjuk Nabi Muhammad saw dalam mengerjakan ;

- ibadat fizikal seperti solat, puasa, tadabbur ayat al-Quran, jaga pandangan dari perkara haram, dan lain-lain.
- ibadat hati/jiwa seperti ikhlas, sabar, serta jauhi hasad dengki, takabbur, 'ujub, riya' dan lain-lain. 

Meletakkan dahi kita ke tempat sujud semasa solat misalnya, jika hadir jiwa kita semasa melakukannya, dapat membersihkan jiwa dari sifat kesombongan serta menghadirkan rasa kehambaan dan kehinaan diri kepada Allah. Kita akan insaf bahawa kita ini datang daripadaNya, dan kita akan kembali kepadaNya.



Memberikan hadiah, ucapan tahniah dan penghargaan kepada seseorang yang mendapat kurniaan lebih daripada kita, sama ada harta, pencapaian, ilmu dan sebagainya, dapat membersihkan jiwa dari hasad dengki, sekaligus kita reda dan akur terhadap kurniaan Allah yang Dia berikan kepada hamba-hambaNya.

Berzikir dan berdoa dengan zikir dan doa yang diajar satu persatu oleh nabi saw, jika kita amalkan dengan kesedaran bahawa zikir itu memang diajarkan khusus oleh baginda kepada umatnya,juga dapat membersihkan jiwa kita dari sifat takabbur. Cinta kepada zikir dan doa-doa yang diajar oleh nabi saw bermakna kita menghargai dan meletakkan ajaran seorang Utusan Allah di tempat yang penting dalam kehidupan kita. Kita akan merasakan betapa pentingnya perkara-perkara yang disuruh nabi saw supaya kita memohonnya daripada Allah. 

Kita yang kerdil merasakan sangat bertuah kerana Allah mengutuskan rasul-Nya untuk mengajarkan kita perkara penting dalam hidup di dunia dan perkara ghaib yang bakal kita tempuhi di alam akhirat. Kedatangan nabi saw yang membawa ajaran al-Quran itu adalah suatu rahmat. Itulah yang pernah didoakan oleh Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail setelah mereka selesai membina Kaabah dahulu.




Yang penting cara membersihkan jiwa itu mesti ikut syariat, iaitu melalui ibadat-ibadat yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah saw, dan mesti hadir jiwa semasa melakukannya. 

Ibadat ataupun amalan fizikal dan amalan hati mesti dipadukan, tidak boleh dipisahkan antara keduanya. Asas kepada amalan hati dalam sebarang ibadat ialah ikhlas kepada Allah. Asas kepada amalan badan dalam sebarang ibadat ialah mengikut sunnah Rasulullah saw.


4. Persoalan keempat : Tidak cukupkah zikir yang kita amalkan selama ini, sehingga perlu amalkan zikir tariqat?

Zikir terbaik ialah membaca al-Quran disertai dengan tadabbur makna ayat-ayatnya dengan disiplin yang betul. Diikuti dengan zikir-zikir yang diajar oleh nabi saw. Ada banyak disebut dalam hadith-hadith yang sahih. 

Sudah cukup banyak jika kita selalu mengaji al-Quran dan amalkan zikir-zikir yang diajarkan oleh Nabi saw, antaranya seperti yang dihimpunkan dalam al-Ma'thuraat misalnya, dengan pemahaman dan penghayatan penuh.

Apabila bangun di tengah malam, pada saat mustajab doa itu, penting bagi kita untuk selalu berdoa dengan doa (doa juga adalah zikir) yang diajar oleh Rasulullah saw. Antaranya seperti berikut :




.والله أعلمُ

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Powerade Coupons