Friday, October 28, 2011

KOTAK-KOTAK KEHIDUPAN - KOTAK RUMAHTANGGA


Dunia penuh dengan kotak-kotak.




Rumahtangga adalah salah satu kotak di antara kotak-kotak kehidupan yang lain. Kotak politik, kotak isu-isu global, kotak ekonomi, kotak dunia akademik dan pelbagai lagi kotak-kotak yang berserakan dalam ruang kehidupan dunia.

Meskipun kehidupan ini tampak seperti satu, ia tetap berada dalam kotak sendiri. Ada ketua pasukan dan ada pemainnya sendiri.

Ini bukan soal sekularisasi.

Ini, mungkin, soal organisasi.

Semakin banyak kita mendengar luahan, meniti fasa-fasa dalam kehidupan, kita akan akur, banyak cabaran rumahtangga yang tidak dapat diselesaikan.

Penyelesaian utama bukan di pejabat Qadhi ataupun di mahkamah syariah. Penyelesaian utama, sebelum menjadi lebih kronik ialah penyelesaian di kalangan pemainnya sendiri. Seperti masalah dalam organisasi, ia semakin kronik apabila ketua pemain tidak mengendahkan masalah yang ada.

Seperti membiarkan anai-anai di dalam rumah.

Isu leadership dalam organisasi mungkin dinggap tabu, bagi sesetengah organisasi. Leadership dalam organisasi boleh jadi pemain utamanya adalah seorang lelaki, dan boleh jadi juga dia seorang wanita. 

Isu leadership dalam rumahtangga rasanya tidak boleh menjadi tabu. Pemain utamanya pula pasti. Jarang pula kedengaran kemahiran brainstorming yang digunakan dalam kotak syarikat dan kotak organisasi itu dibawa pulang untuk diaplikasikan ke dalam kotak rumahtangga.

Malang sekali sekiranya syarikat, jabatan dan organisasi berdiri megah, namun sebelah malam pulanglah para pemainnya ke kotak rumahtangga masing-masing, yang goyah menanti rebah. Tidur dan rehat barang sekejap, pagi esoknya kembali lagi ke kotak lain.

Sehingga anak-anak semakin membesar. Tetapi hati dan jiwa pemainnya kuncup layu tidak berkembang. Komunikasi hambar dan tawar. Lebih baik diam daripada bersuara. Lebih baik bercakap dengan kawan dan teman daripada pasangan.

Walhal, rumahtangga dan pasangan sepatutnya menjadi sumber ketenangan.

Kembali kepada agama itu ada dua bahagian. Kembali kepada syariat Allah, dan kembali kepada sunnah Allah. 

Bukankah burung terbang dengan 2 sayap?

Credit: Free images from acobox.com

Baik lelaki mahupun wanita, elok kita merenung ke dalam diri tentang sabda Nabi Muhammad saw :

خيركم خيركم لأهله وأنا خيركم لأهلي

Maksudnya : "Orang yang paling baik di kalangan kalian adalah orang yang paling baik terhadap ahli keluarganya. Aku adalah orang yang paling baik terhadap ahli keluargaku."
Riwayat Al-Tirmdhi dan Ibn Majah.

Selalu 'berfikir di luar kotak' barangkali menimbulkan masalah juga. Ada masanya kita memang  perlu  'berfikir di dalam kotak.' Jikalau SmartDraw boleh membantu menyelesaikan kekusutan perancangan, proses dan komunikasi dalam organisasi, mengapa tidak digunakan SmartDraw itu untuk kebahagiaan rumahtangga?

Setiap pasangan hidup bersama dalam sebuah kotak. Kotak mereka berada dalam kotak lain yang lebih besar, seumpama kotak masyarakat dan kotak negara.


Jikalau kita tidak selesaikan masalah dalam kotak kita, masalah itu tetap akan bersama kita di dalam kotak itu. 

Meskipun kotak-kotak lain di luar sana berubah warna dan kondisinya, kotak kita tetaplah hitam dan kelam, selagi kita tidak nyalakan cahaya di dalamnya.

Jika kita memilih untuk berada dalam kotak sekarang, gunakan segala keupayaan untuk menyinari kotak kita. Melainkan kita memilih untuk keluar daripada kotak sekarang, dan ingin masuk ke kotak lain.

Cuma, nanti dalam kotak lain pun, kita masih perlu bekerja untuk menyinarinya. Malah mungkin lebih keras lagi.

Mengambil keputusan untuk menutup kotak, membuka kotak baru, ataupun membanyakkan kotak kerana keinginan, bukan keperluan, boleh menambahkan kekusutan suasana, sebab dalam kebanyakan kes, bukan kotak yang bermasalah, tetapi tuan kotak tidak mampu menyinari.

Tentunya dengan iman, kemesraan, saling mempercayai dan komunikasi yang baik.
 



وَعَاشِرُوهُنَّ بِٱلمَعرُوفِۚ
 فَإِن كَرِهتُمُوهُنَّ فَعَسَىٰ أَن تَكرَهُواْ شَيـًٔا وَيَجعَلَ ٱللَّهُ فِيهِ خَيرًا ڪثِيرًا (النساء : 19)

Bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik. 
Kemudian jika kamu (merasai) benci kepada mereka (disebabkan tingkah-lakunya, janganlah kamu terburu-buru menceraikannya), kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu). 
(Surah al-Nisa' :19)
  
Maka ramai ulama' yang sangat berhati-hati dalam hal ini, tidak mengambil mudah. Mereka tegar berpegang kepada roh ayat yang sangat jelas dalam al-Quran. 

Ayat yang ringkas, tidak perlu diulas panjang dan mendalam, tetap dapat difahami oleh sesiapa sahaja, lebih-lebih lagi yang memahami akan gelora dan badai setelah melepasi gerbang rumahtangga. 

Menjadi dalil bahawa umumnya satu kotak sudah mencukupi bagi seorang manusia.

Menjadi pegangan orang-orang bertaqwa yang memilihnya, kerana mereka takut tidak dapat mematuhi perintah Allah. 

Mengharapkan balasan yang lebih kekal dan pasti, di akhirat yang menanti.


فَإِنْ خِفْتُمْ أَلَّا تَعْدِلُوا فَوَاحِدَةً
 Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) 
maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja.
(Surah al-Nisa' :3)
  
 درء المفاسد مقدم على جلب المصالح

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Powerade Coupons