Wednesday, July 20, 2011

MENYAMBUT TETAMU

Nanti, Ramadan akan tiba lagi.







Sekiranya kita panjang umur, kita dapat bertemu dengannya. Sahabat-sahabat kita ada yang 'pergi' ketika umat Islam sedang berada di ambangnya.

Biarpun kita tidak pasti, dan kita ini 'biasa-biasa sahaja,' yakni 'bukan baik sangat',  kita tetap patut membuat persiapan untuk menyambutnya.

Seorang da'i ataupun da'iah pun, yang mengajak orang supaya menyambut dan memaksimumkan peluang dalam Ramadan, tidak patut lupa tentang hakikat diri sendiri.

Tidak kira siapapun kita,  kita adalah seorang hamba yang akan keseorangan di dalam kubur. Seorang hamba yang akan berdiri di padang mahsyar. Seorang hamba yang sangat perlukan keampunan Allah.

Jikalau ada sombong sebesar zarah, tiada tempat untuk hamba itu. Sombong itu ialah 'tidak mahu menerima kebenaran dan merendah-rendahkan orang lain.'

Jikalau beramal tiada ikhlas, tiada tempat untuk hamba itu.

Tetapi kita sebagai hamba juga disuruh Tuhan supaya berlumba-lumba melakukan kebajikan.

Ramadan adalah sekolah latihan bagi meninggalkan tabiat buruk-buruk. Umpat keji, membawa mulut, malas, merokok, menindas orang dan lain-lain.

Apabila kita sudah reda hendak masuk ke sekolah Ramadan, buatlah persiapan sebaik-sebaiknya, supaya nanti apabila tiba di sekolah, kita tahu apa yang hendak dibuat dan tahu kelengkapan mana patut kita gunakan. 

Setiap daripada kita menyimpan harapan buat Ramadan kali ini.


Entah sempat, entahkan tidak.

Entah mampu, entahkan tidak. 


لا حول ولا قوة إلا بالله





 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Powerade Coupons