Thursday, July 29, 2010

HENDAK KE MANA LAGI


Aduh.



Apa sahaja yang kita lalui, senang ataupun susah, kaya ataupun miskin, gembira ataupun sedih, kita tetap akan mati. Kita tidak dapat berusaha supaya tidak mati sampai bila-bila, dan tidak boleh berdoa supaya tidak mati sampai bila-bila. Kita juga tidak dapat berusaha supaya tidak hidup semula di akhirat nanti.

Apabila kita membaca al-Quran, kita dapati banyak ayat mengingatkan kita tentang mati. Dalam surah al-Rahman ayat 26 dan 27, Allah menegaskan, semua perkara yang ada di bumi ini akan binasa. Dan kekallah Allah, Tuhan yang memiliki segala keagungan dan kemuliaan.

Dalam surah al-Nisa' ayat 78 pula Allah mengatakan, walau di manapun kita berada, mati pasti akan tetap menjumpai kita, sekalipun kita bersembunyi dalam benteng yang tinggi dan kuat.

Walau apapun usaha dilakukan, tidak ada seorangpun manusia dapat lari daripada mati. Kita tidak dapat bersembunyi di dalam lubang dan tidak dapat lari ke gunung tinggi. Kita tidak dapat berlindung dalam bangunan yang dibuat dengan dengan bahan apa sekalipun. Sains boleh mencipta bahan yang kalis api, kalis air, kalis bunyi, kalis cahaya dan kalis peluru, tetapi tidak akan ada satu bahan pun yang kalis mati.

Orang yang menyedari akan hakikat yang perlu mereka lalui tidak akan berdiam diri, ataupun bergoyang kaki. Sebabnya, mereka tidak dapat memastikan, adakah masa yang berbaki buat mereka masih panjang ataupun sudah suntuk. 

Saya baru sedar, patutlah orang-orang yang soleh sentiasa bergerak maju ke hadapan, tidak menoleh lama kepada pujian mahupun kritikan. Mereka menunjukkan teladan yang baik kepada kita. Perbaikilah mana yang silap, tambahlah bekalan, pasang kemaskan semula 'skru' niat, kemudian mari kita teruskan perjalanan sebagai seorang hamba, seorang manusia, seorang khalifah.

Yang penting, kita berdoa agar Tuhan menunjukkan kita jalan yang lurus, dan menetapkan kita pada jalan itu. 

اللهم اهدني وسددني

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Powerade Coupons