Wednesday, January 27, 2010

Jangan Minta Mati, Nanti Tuhan Marah


Pada suatu hari, saya berbual-bual dengan 2 anak saya, Arwa (ketika itu 9 tahun), dan Mus’ab (ketika itu 7 tahun). 



Mereka menceritakan semula cerita-cerita yang guru mereka ceritakan di sekolah.  Saya seronok mendengarnya, lebih-lebih lagi cerita-cerita itu diambil daripada sumber yang berautoriti. Rasa berterima kasih yang tidak terhingga kepada guru-guru itu kerana membantu mendidik anak-anak saya.

“Ummi, cikgu kata kanak-kanak yang mati kecil dapat terus masuk syurga!” kata Abang Mus’ab.

Kata Kakak Arwa pula, “Adik Umairah dalam buku ‘Umairah Dan Kuda Putih’ pun mati kecil juga. Tentu dapat masuk syurga.”

Saya sendiri tidak berkesempatan membaca semua buku yang saya belikan untuk anak-anak. Sementelah usia sudah bertambah, kekangan masa dan tanggungjawab, minat juga sudah sedikit berubah, saya rasa keberatan hendak membaca semua buku anak-anak. Saya cuba memilih yang terbaik di antara pilihan yang ada.  Ibu bapa memang bertuah apabila ada pengarang yang kreatif memasukkan unsur pendidikan dalam  karya mereka.

Kata Abang Mus’ab lagi, “Seronoklah jadi budak yang mati kecil. Tidak perlu bersusah payah.  Tidak perlu buat apa-apa, terus dapat masuk syurga!”

Saya masih mendiamkan diri, menantikan apa yang akan diluahkan lagi oleh anak-anak.  Nampaknya mereka sudah faham, mereka perlu bersusah payah jikalau hendak masuk syurga. Perlu sembahyang, perlu berpuasa, perlu berbuat baik dan perlu bersabar supaya tidak melakukan dosa!

“Kalau begitu, saya hendak mati…”

Terkejut saya mendengar luahan Abang Mus’ab. 


Saya cuba menyembunyikan  perasaan itu, jangan sampai terpamer dalam  riak wajah saya. Salah satu tips menjawab soalan anak, cuba fahami apa sebenarnya yang hendak dia sampaikan kepada kita.

Kakak Arwa diam sahaja sejak tadi. Biasanya dia akan ‘membetulkan’ jika konsep yang difahami oleh adik-adiknya silap, terutama adiknya Marwan (5 tahun ketika itu), seperti Allah Maha Besar. Kali ini, barangkali dia pun berasa keliru juga, lantas dia diam sahaja.

“Hendak mati…!” Aduh, Mus’ab mengulangi sekali lagi ‘kehendak’nya.

Melaut syukur saya, kerana ketika itu jawapan yang berkaitan baru sahaja saya garapkan dalam draf buku yang dirancang.  Saya cuba-cuba menjawab dengan tenang.

“Bukan begitu,” saya mencari-cari kata-kata selanjutnya. “Budak kecil yang meninggal dunia memanglah dapat masuk syurga, sebab dia tidak ada dosa.”

“Tapi syurga itu luas dan ada banyak kelas pula. Ada kelas bawah, kelas di tengah-tengah dan ada kelas atas. Nabi-nabi dapat duduk dalam syurga kelas paling atas. Seronoknya duduk dalam syurga kelas atas tidak sama dengan kelas yang di bawah, walaupun dua-dua seronok.”

“Macam di dunia ini, ada rumah kecil, ada rumah teres, ada banglo, ada istana!”

“Orang duduk di pondok kecil sudah beruntung sebab dapat berlindung daripada hujan dan terik matahari. Tetapi dia tentu terliur hendak duduk dalam istana. Tidak panas, ada aircond, ada pelayan, dapat makan sedap-sedap!”

“Orang yang hidup lama, kemudian bersabar mengerjakan suruhan Allah, dapat syurga yang lebih bagus dan cantik. Sebab itu Allah marah orang yang minta hendak mati. Nabi Muhammad melarang kita berdoa supaya Allah matikan kita!”

“Allah beri kita hidup lama supaya kita dapat buat baik banyak-banyak. Lagi lama kita hidup, lagi banyak kita boleh sembahyang. Semakin lama kita hidup, semakin banyak pahala yang dapat kita kumpulkan, dan semakin baguslah jugalah tempat kita dalam syurga. Dapat makan makanan yang sedap-sedap. Gelas-gelas sudah disediakan, tidak perlu dibasuh lagi. Di syurga tidak ada lagi perkara yang susah-susah. Apa sahaja yang kita hendak, Allah akan berikan. Semuanya seronok.”

“Syaratnya, kita sabar ikut perintah Allah, dan jangan minta mati cepat, sebab nanti Allah marah!”

Itulah sahaja yang mampu saya luahkan. Anak-anak diam, tidak bertanya lagi.

Sehingga hari ini, Mus’ab tidak pula mengulangi ‘kehendak’nya itu. Entah kerana sudah lupa akan persoalan tersebut, ataupun benar-benar sudah faham, hanya Allah sahajalah yang tahu. 

Bercakap-cakap dengan anak dapat mengkoreksi banyak perkara. Apa yang anak-anak fahami dan apa yang kita sendiri fahami. Barangkali di lain kali, pada masa-masa yang sesuai  dengan pertanyaan dan perbuatan mereka, saya perlu juga ingatkan anak dan diri sendiri, bahawa Tuhan itu sifatnya al-Halim, maha penyantun, tidak mudah marah dan tidak cepat-cepat menjatuhkan hukuman.

"Khabarkanlah kepada hamba-hambaKu,
bahawa Akulah Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani .(49)
Dan bahawa azabKu,
 adalah azab yang tidak terperi sakitnya." (50)
Surah al-Hijr ayat 49-50.






يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ قُوٓاْ أَنفُسَكُمۡ وَأَهۡلِيكُمۡ نَارً۬ا وَقُودُهَا ٱلنَّاسُ وَٱلۡحِجَارَةُ

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Powerade Coupons