🔴SOALAN
Mohon pencerahan Ustazah.
Sebagaimana yang kita tahu, doa pada hari ‘Arafah adalah doa mustajab.
Adakah kita di Malaysia dituntut untuk berdoa pada masa para hujjaj (orang-orang yang menunaikan haji) sedang wuquf di ‘Arafah?
Ataupun kita berdoa pada hari ‘Arafah mengikut kalendar kita?
🔴JAWAPAN RINGKAS
📌Sebenarnya ada 2 ibadah khusus pada hari Arafah, yang secara umumnya diperuntukkan kepada 2 golongan yang berbeza iaitu :
1. BERDOA bagi orang yang mengerjakan haji semasa wuquf di Arafah.
2. BERPUASA bagi orang yang tidak mengerjakan haji.
Puasa hari Arafah disunatkan kepada orang yang tidak menunaikan haji sahaja. Bagi orang yang mengerjakan haji, hari itu mereka melakukan ibadah besar yang menjadi rukun utama ibadah haji, iaitu Wuquf di Arafah.
Satu-satunya ibadah khusus semasa wuquf di Arafah ialah BERDOA sepanjang wuquf tersebut.
📌Inilah sebabnya mengapa para ulama’ berbeza pandangan sama ada kelebihan berdoa pada Hari Arafah itu khusus bagi mereka yang menunaikan haji sahaja ataupun umum untuk semua.
Di kalangan mereka ada yang mengatakan bahawa yang rajih, yang lebih tepat ialah umum untuk semua.
Mereka yang wuquf di Arafah dan juga mereka yang berada di negara masing-masing mendapat kelebihan mustajab doa pada Hari ‘Arafah, sama ada kerana kelebihan pada hari Arafah, ataupun kerana doa orang berpuasa itu mustajab.
📌Ulama’ juga menerima perbezaan masa sesuatu tempat sebagai sebab kepada perbezaan tibanya Hari ‘Arafah, ataupun Hari Raya ‘Id al-Adha.
Masa kita berbeza dengan Mekah, lewat 5 jam daripada masa di Mekah. Maka waktu Subuh kita misalnya, tentulah lebih lewat daripada Mekah. Ini bermakna tidak mungkin kita boleh mulakan hari sama dengan Mekah, dan menyebabkan hari Arafah kita lebih lewat.
Oleh yang demikian, masa afdal untuk kita berpuasa hari Arafah dan berdoa pada Hari ‘Arafah ialah mengikut tempat dan masa kita di Malaysia.
Samalah seperti waktu solat dan waktu-waktu lain mustajab doa yang tidak sama waktu kita dengan mereka. Contohnya waktu 1/3 akhir malam mereka berbeza dengan waktu 1/3 akhir malam kita. Oleh kerana itu, waktu tahajjud kita adalah mengikut waktu kita, bukan waktu di Mekah.
Tidaklah pula menjadi kesalahan jika kita mahu membanyakkan doa pada hari Arafah di Makkah, kerana doa secara umumnya tidak terikat dengan waktu seperti puasa. Cuma, jangan sampai memberat-beratkan cara yang tidak pun disyariatkan dalam agama, sedangkan cara yang disyariatkan tidak pula diambil berat.
اللهم اهدنا وسددنا
والله أعلم
0 comments:
Post a Comment