Monday, December 15, 2014

MEMBELEK HELAIAN AL-QURAN YANG DIBASAHKAN SEDIKIT DENGAN AIR LIUR


 SOALAN :

Assalamualaikum, 

Benarkah perbuatan membelek helaian al-Quran dengan bantuan air liur itu haram? Apakah dalil yang mengatakan ia haram?

 JAWAPAN :

Waalaikumussalam.

Kata ulama' :

حسن السُّؤَالِ نِصْفُ الْعِلْمِ  

Soalan yang baik / pandai bertanya itu sebahagian daripada ilmu.



بسم الله الرحمن الرحيم

Amalan ini biasa dilakukan oleh orang-orang tua kita dahulu, apabila mereka mengaji al-Quran. Adapun kita sekarang, jarang kita melakukannya, apatah lagi rata-rata kita yang ber'whatsapp' biasanya memiliki al-Quran digital, tidak dibelek helaiannya dengan cara begitu.

Yang pasti, air liur manusia suci, bukan najis.

Persoalan pokok dalam perkara ini ialah : Adakah perbuatan itu tidak sopan terhadap al-Quran?

Tidak ada dalil khusus dari nas dalam perkara ini. Walau bagaimanapun, ulama' mengeluarkan hukum yang berkaitan berdasarkan kaedah dan disiplin dalam ilmu Usul Fiqh.

➡️ Ulama' mazhab Syafi'i mengharuskan penggunaan air liur bagi memadamkan tulisan al-Quran di atas papan tulis (dahulu, orang belajar dengan menggunakan batu/papan tulis).
Bagi mereka, ia tidak haram, dengan syarat, ia bukan dilakukan dengan tujuan menghina al-Quran.

➡️ Ulama' mazhab hanafi juga mengharuskan, dengan syarat tambahan iaitu ayat al-Quran yg dipadamkan itu tidak ada nama Allah. Bagi mereka, haram memadamkan nama Allah yang ditulis pada papan/batu tulis itu dengan air liur.

Kalau kita belajar mengaji Surah al-A'la, ulama' tafsir ada menyebutkan beberapa contoh perbuatan yang termasuk dalam kategori mensucikan nama Allah, dalam tafsir ayat pertama : 

( سَبِّحِ اسْمَ رَبِّكَ الْأَعْلَى )
"Sucikanlah nama Tuhanmu Yang Maha Tinggi."

➡️ Namun Syeikh Ibn Baz ketika ditanya : 
Apa pandangan tuan kepada pendapat yang mengatakan orang yang meletakkan sedikit air liurnya pada jari untuk membelek helaian2 al-Quran, adalah tidak beradab dengan al-Quran?

Beliau menjawab : 

"Boleh, tidak mengapa membasahkan jari supaya mudah membelek helaian al-Quran. Ia bukan perbuatan yang tidak beradab, juga bukan menghina al-Quran. Ia sekadar membantu mengangkat halaman/helaian, tanpa menjejaskan al-Quran. Perbuatan ini tidak memudaratkan al-Quran."

KESIMPULAN

Tiada dalil/nas larangan yang qat'i dalam perkara ini.

Larangan perbuatan menggunakan air liur supaya mudah membelek al-Quran, dibuat berdasarkan ijtihad, agar orang ramai keluar dari khilaf ulama' dan supaya orang ramai menghormati al-Quran.

Walau bagaimanapun, ia tidaklah haram, kerana ia termasuk dalam perkara kebiasaan yang tidak merosakkan al-Quran, tidak menjejaskan kesucian al-Quran serta tidak dilakukan dengan tujuan merendahkan al-Quran dan agama Islam.

والله أعلم

Rujukan ringkas :

http://www.binbaz.org.sa/node/20888

http://fatwa.islamweb.net/fatwa/index.php?page=showfatwa&Option=FatwaId&Id=238438

http://www.ahlalhdeeth.com/vb/showthread.php?t=240448

http://www.sahab.net/forums/?showtopic=120853

12/12/14
2.58 pm

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Powerade Coupons