Wednesday, September 11, 2013

FAHAMAN WAHABI?

Fahaman Wahabi?

الحمد لله، والصلاة والسلام على رسول الله، وعلى آله وصحبه، ومن اتبعه بإحسان إلى يوم الدين



Sebelum ini kita menyangka isu-isu wahabi hanya berlegar di kalangan kaum lelaki.


Maka, kita sentiasa mengelak daripada menulis dan menyentuh topik itu, malah mengelak daripada menyebut kalimah itu. Sementelah tulisan tentang perkara ini pun dirasakan sudah banyak.

Kita juga menyangka ramai umat Islam menerima Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab sebagai tokoh reformis yang memberi sumbangan besar kepada agama Islam, kerana itulah yang diungkapkan oleh para ulama, dahulu dan juga yang semasa. Itulah yang kita pelajari dan kita fahami selama ini.

Rupa-rupanya tidak.

Keburukan tentang wahabi lebih banyak tersebar dalam masyarakat. Kaum wanita juga ramai yang mengadu tentang kekeliruan mereka tentang wahabi. Mereka ditakut-takutkan dengan ajaran wahabi.

Umpamanya, "Jangan pergi ke Madinah, kerana di sana ramai wahabi!" Saranan yang sangat merugikan, pada pandangan penyusun.

Apabila kita bertanya kembali, apakah ajaran wahabi itu, mereka menjawab, "Entahlah, saya pun tidak tahu!"

Soalan-soalan yang dikemukakan adakalanya menyebabkan kita tersentak dan kemudiannya termenung memikirkan asal usulnya, seperti, "Harun Yahya itu wahabi kah?"

Barangkali ada hikmahnya. Kerana dari situ mereka mula mengenali siapa Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab. Apa latarbelakangnya, bagaimana situasi umat Islam pada zamannya, apa yang diajarnya, dan mengapa pelbagai tuduhan dilemparkan kepadanya.

Berdisiplin Memilih Bahan Rujukan

Kita umat Islam diajar supaya mendapatkan maklumat daripada sumber yang berautoriti, lebih-lebih lagi dalam soal kefahaman agama. Maka, apabila kita diminta menjawab apa sebenarnya 'Fahaman Wahabi', kita sedaya upaya mencari rujukan-rujukan yang menepati disiplin ilmu.

Meskipun tidaklah seketat disiplin menerima dan meriwayatkan hadith yang diamalkan oleh para ahli hadith dahulu, namun disiplin itu banyak mengajar kita, agar berhati-hati dalam menerima dan memilih maklumat, apatah lagi maklumat itu akan menjadi pegangan dan kefahaman kita terhadap agama.

Bimbang kalau-kalau orang yang kita tuduh sebagai buruk itu, rupa-rupanya dialah yang berjuang mempertahankan kesucian agama yang telah dicemari dengan pelbagai fahaman yang salah.

Beberapa Rujukan Ringkas

Soalan dan kekeliruan tentang wahabi memang banyak, bukan baru timbul sekarang, malah sejak dahulu lagi. Bukan di nusantara sahaja, malah di seluruh dunia. Maka jawapan-jawapan juga telah lama dijawab oleh para ulama kita, di mana mereka cuba merungkaikan kekeliruan umat Islam tentang wahabi.

Kita lihat apa yang dinyatakan oleh Dr Yusuf al-Qaradawi tentang wahabi menerusi sumber internet :


Baca artikel lain, dalam bahasa Inggeris. (Klik English untuk baca dalam bahasa Inggeris. Belum ada terjemahan dalam bahasa Indonesia.)


Satu lagi, di sini.


Jika kita peminat buku "La Tahzan!", kita pun patut tahu apa pandangan Dr. 'Aid al-Qarni tentang Syeikh Muhammad bin 'Abd al-Wahhab.


Antara bacaan yang menarik dan agak lengkap tentang Syeikh Abd al-Wahab dan ajarannya, dalam bahasa kita, ialah sebuah artikel yang ditulis oleh Dr. Zakaria@Mahmud Daud dan Dr Ahmad Zaki Hj Ibrahim yang berjudul : 


"Pemikiran Muhammad Bin 'Abd al-Wahab Dan Pengaruhnya Kepada Dunia Islam Dalam Bidang Akidah Dan Politik." 


Artikel ini diterbitkan dalam buku Tokoh-Tokoh Pemikir Islam. Sayangnya menurut maklumat yang diterima daripada penulisnya, sehingga kini ia belum lagi diulangcetak.






Dr Zakaria@Mahmud Daud (beliau sekarang adalah pensyarah KIAS) dan Dr Ahmad Zaki Ibrahim dalam artikel mereka menulis :

'Kedudukan  Masyarakat Najd dan sekitar Sebelum Dakwah Syeikh Muhammad 'Abd al-Wahab

Sebelum diterangkan mengenai gerakan Muhammad 'Abd al-Wahab, perlu diterangkan dahulu kedudukan masyarakat Najd pada zamannya. Penduduk di negeri Najd (kawasan negeri Arab Saudi sekarang) iaitu kawasan tempat beliau tinggal, juga kawasan berhampiran dengannya, pada keseluruhannya terdiri daripada mereka yang rosak akhlak, akidah, politik dan sosial. Kezaliman dan pembunuhan selalu berlaku. Segolongan besar umat Islam tidak faham agama Islam. Mereka mengamalkan perkara-perkara khurafat, syirik dan bid'ah, yang berlawanan dengan akidah tauhid yang sebenar. Mereka melakukan pemujaan kepada kubur-kubur wali dan kubur para sahabat.

Ramai umat Islam mengunjungi kubur para sahabat dan wali-wali untuk meminta sesuatu, meminta supaya memberi sesuatu kebaikan dan mengelak sesuatu bala dan bahaya. Contohnya ramai mereka yang datang ke kubur Zaid bin al-Khattab (seorang sahabat) untuk meminta sesuatu. Ramai kaum lelaki dan perempuan yang datang meminta hajat kepada sepohon tamar jantan yang dinamakan (Fahhal) sehingga perempuan yang lambat mendapat suami atau jodoh, datang meminta kepadanya supaya diberikan jodoh dengan melafazkan permohonan, "Wahai pokok tamar jantan! Aku mahu seorang bakal suami sebelum berakhirnya tahun ini."

Di samping itu tidak kurang juga yang datang untuk meminta berkat supaya dimurahkan rezeki dan sebagainya.

Di Dar'iyyah terdapat sebuah gua, kononnya dipercayai seorang puteri raja lari menyelamatkan diri........Banyak lagi perkara khurafat dan syirik lain yang diamalkan oleh masyarakat Najd pada zaman itu. (Halaman 114)

Artikel tersebut turut mendedahkan tentang kedudukan dunia Islam sebelum tercetusnya gerakan dakwah Syeikh Muhammad bin 'Abd al-Wahhab. Kerosakan dalam bidang akidah, politik dan masyarakat turut menimpa seluruh Semenanjung Tanah Arab, Basrah, Iraq, Mesir dan lain-lain.

Di Mesir, antara kubur yang dikunjungi untuk meminta hajat dan menolak bala ialah kubur Ahmad al-Badawi dan Ahmad al-Rafi'i.

Di Iraq, kubur Sayyidina Hussin menjadi tumpuan orang Syiah Imamiyyah, manakala yang bukan syiah juga meminta hajat di kubur Imam Abu Hanifah dan 'Abd al-Qadir al-Jilani (yang disebut di tempat kita - Abdul Qadir Jailani, yang juga dianggap mempunyai keramat itu - penyusun)

Dalam waktu umat Islam dilanda krisis akidah itu, kerajaan Turki Uthmaniyyah melemah dan dunia Islam berhadapan dengan kemaraan kuasa penjajah Eropah. Pemikiran yang terbentuk ketika itu tidak mampu membangunkan ummah, kerana telah banyak terpengaruh dengan aliran tasawwuf yang bukan membentuk nilai murni dalam masyarakat seperti yang sepatutnya, tetapi lebih kepada perbahasan falsafah seperti konsep hulul dan wahdatul wujud yang mengelirukan. Impak lain ialah, masyarakat menjadi bersifat reda menerima kezaliman, kerana mereka percaya kononnya kezaliman yang dialami hanya kerana dosa dan kemungkaran.

Dalam halaman 116, artikel ini menyatakan :

"Ramai orang mempertikaikan ajaran dan pemikiran tokoh ini. Ada yang mengatakan beliau membawa ajaran baru yang menyeleweng daripada ajaran Islam. Akan tetapi yang sebenarnya, ajaran Islam yang ingin dihidupkan kembali oleh tokoh ini ialah akidah Islam sejati berasaskan al-Quran dan hadith Rasulullah saw....

...Antara pemikiran beliau yang penting ialah :

1.    Mengajak umat supaya kembali kepada Islam sebagaimana yang dipegangi oleh generasi permulaan  (sahabat, tabi'in dan tabi' al-tabi'in)

2.    Membersihkan akidah tauhid daripada sebarang bentuk syirik.

3.    Menegah daripada bertawassul dengan perkara yang ditegah oleh syara' seperti bertawassul dengan wali-wali dan orang-orang saleh yang telah mati.

4.    Menolak sebarang bentuk bid'ah dan khurafat dalam agama.

Tuduhan Terhadapnya

Adalah lumrah jika kebenaran mendapat tentangan. Namun Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab difitnah dengan fitnah besar oleh mereka yang membenci ajaran murninya. Beliau difitnah telah merendah-rendahkan martabat nabi saw, dituduh melarang orang ramai berselawat kepada baginda saw, malah dituduh membunuh!

Fitnah terhadap beliau bukan sahaja dicanang dalam pidato, bahkan disebarkan melalui tulisan-tulisan.

Pada halaman 124, artikel tersebut menyatakan. :

"...Ibn Dahlan pula di dalam kitabnya, Fitnah al-Wahhabiyyah menyebut, "Mereka itu, pengikut Muhammad 'Abd al-Wahhab, menegah orang ramai berselawat kepada nabi saw di atas mimbar selepas azan sehingga seorang lelaki saleh yang buta melakukan azan kemudian berselawat kepadanya, lalu orang buta itu dibawa oleh pengikut al-syeikh berjumpa beliau. Beliau memerintahkan supaya lelaki itu dibunuhnya, dan akhirnya dibunuh."

 Tuduhan ini adalah tidak benar dan tidak berasas. Bagaimana beliau dapat melakukan hal sedemikian sedangkan beliau berpegang kepada al-Quran dan sunnah nabi saw. Allah dan rasulNya menyuruh orang membanyakkan selawat kepadanya.....

Al-Syeikh sendiri menolak tuduhan ini dengan katanya, "Jawapan kami terhadap masalah tersebut : Maha Suci Allah, adalah satu tuduhan karut yang sangat besar. Sesiapa yang mengatakan perkara itu datang dari kami atau disandarkan kepada kami, sesungguhnya itu adalah satu pembohongan dan tuduhan yang dilemparkan kepada kami. Sesiapa sahaja yang melihat keadaan tingkah laku kami dan sesiapa yang hadir datang ke majlis-majlis kami (di tempat kami mengajar) akan tahulah bahawa semuanya itu satu tuduhan, sesuatu yang diada-adakan oleh musuh agama dan saudara-saudara syaitan dengan harapan supaya orang ramai menyeleweng dari ikhlaskan akidah kepada Allah dan supaya tetap melakukan syirik. Apa yang kami i'tiqad dan kami pegang ialah bahawa Nabi kita Muhammad saw adalah makluk Allah yang paling tinggi martabatnya. Baginda hidup di alam barzakh, yang lebih tinggi daripada hidup para syuhada', dan Nabi Muhammad saw mendengar ucapan salam yang diucapkan kepada baginda (oleh orang yang memberi salam kepadanya) dan nabi mensunnahkan kepada umatnya supaya menziarahi kuburnya."

Tersingkap rahsia mengapa ajaran Syeikh Muhammad Abd al-Wahab begitu ditakuti, iaitu kerana umat Islam mendapat maklumat daripada satu sumber, iaitu sumber yang menentang usaha-usaha beliau.

Jikalau boleh, ingin sahaja penyusun menyalin balik semula keseluruhan artikel tersebut yang berjumlah 32 halaman. Namun kita tertakluk kepada undang-undang hakcipta. Menghormati akan hal ini, dan seiring dengan keperluan umat Islam kepada tulisan-tulisan ilmiah dan berdisiplin seperti ini, apatah lagi ramai umat Islam tidak dapat membaca dalam rujukan asal yang berbahasa Arab, maka kita mengharapkan suatu hari nanti artikel ini akan dapat diakses sepenuhnya di internet, dalam bentuk pdf misalnya.

(Ada satu lagi rujukan yang menarik, yang sedang diusahakan. Tulisan yang membincangkan secara ilmiah para sarjana yang menyokong dan menentang Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab. Apabila membacanya, kita akan mendapat gambaran yang lebih jelas mengapa fitnah berlaku dan menjejakinya sumber-sumbernya. In sya Allah, suatu masa akan kita kongsikan nanti.)

Sebaris Dengan Tokoh Reformis Islam

Setelah mendapat informasi yang benar tentang sejarah 'fahaman wahabi', barangkali kita mendapat gambaran sifat golongan yang menyebarkan fitnah terhadap Syeikh Muhammad bin 'Abd al-Wahab, dan mengapa fitnah itu masih terus berlegar dalam masyarakat, sehingga ke hari ini.

Terbaru, beberapa bulan yang lepas penyusun mendapati bahawa ada pihak yang mengajak para wanita di tempat kita ini agar memohon hajat kepada roh para nabi dan orang-orang soleh yang telah mati, kerana  pada mereka, roh-roh itu tetap hidup DALAM HATI mereka!



Berdasarkan prinsip perjuangan beliau, wajarlah Dr Yusuf al-Qaradawi meletakkan peribadi Syeikh Muhammad Abdul Wahab, dalam bukunya yang terkenal, Fiqh al-Awlawiyyat (Fiqh Keutamaan) - Sebagai tokoh para pejuang pembaharuan di era moden, sebaris dengan Sayyid Jamaluddin al-Afghani, Muhammad 'Abduh dan Hasan al-Banna!

Sebuah buku yang patut dimiliki oleh semua pencinta agama Islam. Namun, berapa ramai di antara kita yang berazam ingin memiliki, dan jika sudah memilki, berapa ramai pula yang sudi membacanya?



Kita sedaya upaya berdisiplin dalam memilih sumber-sumber di atas. Supaya seandainya tersebar, pembaca mendapat maklumat yang benar, dan penyusun juga dapat bertanggungjawab apabila ditanya tentang apa yang disusunnya.

Tidaklah bermakna kita mengatakan beliau, Syeikh Muhammad bin Abdul Wahhab itu maksum. Seperti manusia dan tokoh lain, beliau tentu ada salah silapnya. Tetapi menyebarkan fitnah terhadap beliau dan ajarannya tanpa usul periksa bukankah menempah dosa, meskipun beliau sendiri sudah lama kembali kepadaNya?

Meskipun sangat sedikit, dan mungkin kurang disenangi, barangkali ada manfaatnya.


Wallahu a'lam.


Tulisan ini dibuat bagi memenuhi permintaan supaya penyusun meringkaskan apa itu Fahaman Wahabi untuk bacaan umum. Penyusun, bila ditanya, hanya memetik di sana-sini, memetik rujukan boleh dibaca oleh semua dalam bahasa kita, yang dirasakan memenuhi pra syarat disiplin ilmu Islam. Permintaan tersebut telah merempuh niat asal penyusun sebelum ini...tidak mahu menulis tentang 'fahaman wahabi.'