Saturday, July 29, 2023

BOLEHKAH MENERUSKAN ‘PUASA’ JIKA DIDATANGI HAID SEMASA BERPUASA?

🔴 Soalan


Assalamualaikum.


Saya berpuasa sunat bersama ahli keluarga. Sejam sebelum berbuka saya didatangi haid.


Bolehkah saya tidak mahu makan kerana mahu berbuka bersama keluarga?

Sunday, July 23, 2023

BOLEH SEDEKAH HARTA BAGI PIHAK SI MATI DALAM BENTUK JAMUAN DAN SEDEKAH KEPADA AHLI KELUARGA YANG MISKIN

 🔴 SOALAN 

Mohon pandangan bagi situasi berikut :


i. Seorang ibu selepas kematian suaminya selalu memasak kuih, kemudiannya sedekahkan kuih muih itu kepada ahli jemaah suaru dan masjid berdekatan. Apabila disuarakan oleh anak-anak, mengapa hendak menyusahkan diri melakukan perkara itu, si ibu menjawab : “Ibu BUKAN buat majlis tahlil. Ibu sekadar buat kuih kerana hendak sedekahkan bagi pihak ayah kamu. Ramai orang beri duit kepada ibu dan ibu mahu niatkan pahala sedekah untuk ayah.” 

Monday, July 03, 2023

BELAJAR TAUHID CARA AL-QURAN DAN AL-HADITH

Konsep ketuhanan berdasarkan wahyu adalah konsep Allah sebagai Rabb al-‘Alamin, konsep Allah sebagai Ilaah yang mesti disembah semua makhluk dan konsep nama serta sifat Allah. Dia memperkenalkan diriNya kepada kita melalui ciptaanNya yang menakjubkan, serta melalui nama dan sifatNya yang ada dalam al-Quran dan hadith yang sahih.

Bahasa mudahnya begini :

Saturday, June 24, 2023

MEMAHAMI PERBEZAAN MAKNA RABB DAN ILLAH

 ✍🏻 Alhamdulillah, segala pujian hanya bagi Allah. Ramai pelajar sangat mudah memahami perbezaan makna antara Rabb dan Ilaah, apabila mereka belajar Surah al-Nas, bertatih dari kalimah ke kalimah, dari ayat ke ayat.

Ramai yang dapat memahami Tauhid Rububiyyah, Uluhiyyah dan Asma’ wa al-Sifat dengan baik. Mereka berdakwah pula kepada orang yang percaya Allah sebagai Rabb itu supaya mereka meninggalkan syirik dan masuk Islam! 

✍🏻Akibat tidak memahami perbezaan makna antara Rabb dengan Ilaah dalam surah al-Nas, maka timbul salah faham. 

Orang yang salah faham akan menyangka bahawa Tauhid Rububiyyah adalah satu konsep yang memasukkan orang kafir yang percaya kepada Rabb itu sebagai ahli tauhid yang sebenar, kerana pada fahamannya,  makna Rabb dan Ilaah itu sama. Jika sudah jadi ahli tauhid rububiyyah, maka menurut kefahamannya, tentulah dikira Islam!

✍🏻 Padahal orang yang kenal perbezaan makna Rabb dan Ilaah  mengatakan bahawa :

“Tidak cukup beriman kepada Allah sebagai Rabb sahaja, iaitu tidak cukup Tauhid Rububiyyah semata. Maknanya, ahli tauhid Rububiyyah masih belum dikira Islam selagi tidak menerima Allah sebagai Ilaah mereka!”

Ini menepati maksud firman Alah swt dalam al-Quran :

✍🏻 Umum mengetahui bahawa syahadah tidak boleh ditukar lafaz asalnya اله kepada رب kerana keduanya membawa makna dan amalan yang berbeza.

Al-Quran menggunakan perkataan yang berbeza untuk menunjukkan makna yang berbeza. Umpamanya, perkataan al-ruh tidak sama maknanya dengan al-nafs. Ramai yang keliru apabila menyamakan keduanya, sedangkan hadith penjelas al-Quran juga terang membezakannya. Oleh itu, jangan sesekali anda samakan makna kalimah Rabb dengan Ilaah, nanti anda kehilangan punca dalam banyak perkara.

✍🏻 Doa dan zikir Nabi Muhammad saw tiada galang gantinya.

Bersama beramal dengannya agar kita kenal kebenaran dan mengikutinya.


‎اللهم اهدنا وسددنا


Dr Nabilah Hasan.                                                                   5 Zulhijjah 1444H

Thursday, June 08, 2023

DAKWAH YANG MANIS DAN BERISI

Dakwah itu manis selagi bertunjangkan keikhlasan dan sukatan perjalanannya menepati ajaran wahyu.


Nabi Nuh as tidak ramai pengikutnya walaupun sangat panjang usia dakwahnya. Namun dirakam al-Quran sejarahnya yang manis. Kisah dakwah terpinggir pada zaman itu dapat pula menyegarkan al-nafs generasi selepasnya, kerana dakwah itu tulus kepada Allah dan kerana Allah, melalui jalan dan cara yang diredai oleh Allah. 


Tuduhan-tuduhan terhadap Nabi Muhammad saw dirakam dalam al-Quran, tentunya pahit ketika di lokasi namun pujukan Allah swt manis dibaca dengan iman. 



Dakwah kita hari ini bukan dakwah para nabi dan rasul, hanya meneruskan baki sahaja. Maka dakwah perlulah mengikut jalan dan sunnah yang dilalui para rasul, khususnya Nabi Muhammad saw. 


Bawa apa yang baginda bawa, bukan selainnya!


Apabila kerja dakwah bercampur dengan keinginan untuk popular, berorientasikan keuntungan, menjaga kepentingan, mempertahankan hadith palsu, meraikan pegangan yang salah, dengki mendengki, memanipulasikan orang lain, ‘twist’ fakta dan keadaan, maka ketika itu, dakwah menjadi tawar dan hambar tiada isi.


Dari satu sudut, umpama peminat Kpop dan yang seumpama dengannya. 


Menjadi pujaan ramai, hingar bingar dan hiruk pikuk online dan offline mempertahankan pujaan. Salahnya jelas namun yang salah itu tetap meraja di jiwa. Jiwa idola pujaan kosong, jiwa-jiwa yang memuja pun kosong. Jalan yang dilalui tidak jelas untuk apa dan tidak tahu hendak ke mana. Berjalan menghabiskan tenaga dan bekalan, tetapi tidak tahu di mana hujungnya dan bila akan sampai.


Menuntut ilmu pada nama tetapi faham yang menjadi inti jauh daripada gapaian. Maka agama menjadi bualan dan pertikaman lidah sahaja. Lancar dihafaz pada lisan, namun lisan yang sama itulah yang berbohong dan menyebarkan pembohongan. Solat tidak sedar apa yang dibaca. Solat tidak terasa hubungan langsung dengan Tuhan. Solat tidak terasa sedang memperhambakan diri kepada Tuhan. Solat tidak menahan perkara munkar pada jiwa dan anggota, kerana solat tidak bermaya, solat cepat-cepat mengejar ‘maqam’, ‘Tiktok’, likes dan followers.


Perkara yang paling Allah tidak suka ialah perbuatan mensyirikkanNya, sama ada secara terang ataupun nyata. 


Para ulama’ memperingatkan bahaya syirik tersembunyi dalam usaha dakwah. Zahirnya tampak berdakwah kepada Allah, batinnya berdakwah kepada diri sendiri. Hal ini mengingatkan kita kepada pentingnya doa yang diajarkan oleh Nabi Muhammad saw :


اللهم ات نفسي تقواها

وزكها أنت خير من زكاها

أنت وليها ومولاها.

Ya Allah! 

Datangkan bagi nafs ku ketaqwaannya.

Bersihkan dia, Engkaulah sebaik-baik yang membersihkannya.

Engkaulah penjaga dan penolongnya.


Dan juga menyedarkan kita mengapa Umar al-Khattab ra berdoa seperti berikut :


اللهم اجعل عملي كله صالحا، 

واجعله لوجهك خالصاً، 

ولا تجعل لأحد فيه شيئا )


Ya Allah!

Jadikan amalanku semuanya amalan soleh.

Jadikan amalanku itu ikhlas kepadaMu semata-mata.

Dan jangan jadikan amalanku itu dibuat kerana orang lain walau sedikitpun. 

Tuesday, May 30, 2023

ADUAN, KEPERCAYAAN DAN DOA

 Assalamualaikum.

🔴 Antara kepercayaan khurafat yang diadukan hari ini 28/5/23 :

  1. Percaya bahawa kononnya  Umar bin Hafiz ada nur.
  2. Percaya kononnya sesiapa yang tidak dapat bertemu Umar bin Hafiz maknanya dia ada dosa.
  3. Percaya kononnya jika berdosa dan mahu bertemu Umar bin Hafiz hendaklah bertaubat terlebih dahulu.
  4. Percaya kononnya Umar bin Hafiz boleh nampak perkara-perkara ghaib.
  5. Percaya kononnya kedatangan Umar bin Hafiz membawa teduh dan hujan.

🔴 Semua di atas adalah kepercayaan khurafat. Asal datang daripada amalan khurafat mengelilingi pkubur yang didakwa Nabi Hud di Yaman. 

 

Kepercayaan dan amalan khurafat adalah perkara yang wajib ditegah dalam agama.


Tiada wali yang lebih tinggi daripada Nabi Muhamamd saw.


Tiada sesiapa sahabat nabi perlu solat taubat dahulu untuk berjumpa dengan baginda saw.


Tiada sesiapa yang tahu perkara ghaib melainkan Allah.


Tiada sesiapa yang boleh mendatangkan manfaat dan mudarat melainkan Allah.


Tidak boleh bersangka baik kepada orang yang terang-terang berdusta atas nama Nabi Muhammad saw dan melanggar perintah nbaginda saw.


🔴 Umat Islam perlu risau apabila menghadap membaca al-Quran, tetapi tidak mendapat nur cahaya daripada al-Quran.


Jiwa yang terhijan tidak mendapat 2 mesej al-Quran :


a. Mesej al-Quran menyuruh mentauhidkan Allah, mematuhi perintah Allah, jangan syirikkan Dia dengan sesiapapun, baik nabi, malaikat, wali, atau sesiapapun, baik secara terang mahupun tersembunyi, 


b. Mesej al-Quran menyuruh agar mengikut al-sunnah, jangan mengada-adakan ajaran agama yang bukan datang daripada batang tubuh Nabi Muhammad saw sendiri, kerana baginda saw. menerima wahyu, sedangkan orang lain tidak.


🔴 Setiap orang akan dihisab secara individu, kerana setiap orang akan bertanggungjawab di atas pilihan dan keputusan yang dibuatnya sendiri semasa hidup di dunia.  


Doa-doa ajaran Nabi Muhammad saw dituntut kepada kita agar mengamalkannya dengan ikhlas.


اللهم إني أسألك علما نافعا

Ya Allah! Saya mohon kepadaMu ilmu yang bermanfaat.


اللهم إني أعوذبك من علم لا ينفع

Ya Allah! Saya mohon perlindunganMu daripada ilmu yang  tidak bermanfaat.


Antara ilmu yang tidak bermanfaat ialah ilmu khurafat, ilmu pendustaan atas nama Nabi Muhammad saw, ilmu akhirat yang dipergunakan untuk mendapatkan dunia dan mendapat ilmu membaca al-Quran tetapi melanggar perintah al-Quran.


Bersama kita mengingati sabda Nabi Muhammad saw :


والقران حجة لك أو عليك

“Dan al-Quran itu boleh menjadi hujah membantu kamu (di akhirat) ataupun hujah melawan kamu.”

Sahih Muslim


اللهم اهدنا وسددنا

PQH

Ahad

28/5/23


Monday, May 15, 2023

Guru, Pelajar Dan Sukatan

A. Khadir dalam nusus itu, ada ulama’ yang mengatakan dia adalah insan, dan ada yang mengatakan dia adalah malaikat. Jika malaikat, maka dia menerima perintah Allah dalam melakukan sesuatu kepada makhlukNya.  Apa hairannya jika malaikat menjadi guru kepada Nabi Musa as. Malaikat Jibril umpama guru kepada Nabi Muhammad saw.

Malaikat tentunya tidak sama dengan manusia. Apa yang dilakukannya tidak tertakluk dengan syariat kepada manusia. Malaikat maut misalnya, memang tugasnya mencabut nyawa!

Tamat.

B. Setinggi mana pun guru, tetap tidak akan menandingi, mangatasi ataupun melewati apa yang telah dibawa oleh Rasulullah saw.


C. Guru yang jujur tahu akan keterbatasannya.

Pelajar yang jujur juga tahu keterbatasan dirinya dan keterbatasan guru.

Dalam dunia ini ada guru yang tidak jujur dan ada pelajar yang tidak jujur, dan kita tidak mahu masuk ke dalam kedua golongan itu.


D. Syarat mendapat ilmu yang baik tidak berada pada pelajar dan guru sahaja, tetapi juga pada sukatan yang datang daripada wahyu kepada nabi terakhir.

Tiada wahyu lagi selepasnya.

Sukatan itulah yang membimbing guru dan pelajar.


E. Seni menyampaikan kebenaran tentang sesuatu adalah perkara lain pula, mesti sesuai dengan penerima dan sesuai dengan situasi semasa.

Adakalanya melalui cara 1, kebenaran dipandang serong dan menimbulkan gegak gempita. Namun melalui cara B penerima terpaksa mengangguk sahaja tanpa dapat berkata apa-apa.

Melainkan jika ada pemfitnah yang mengadu domba, twist di sana sini, maka kebenaran tenggelam dalam lautan kecelaruan dan ketakutan entah kepada apa.


F. Dalam usaha belajar agama, tidak semua orang berpeluang mendapat sukatan yang bagus. Tidak semua juga berpeluang mendapat guru yang bagus. Seringkali terdedah dengan selawat rekaan, guru yang membawa hadith palsu, ataupun guru yang salah hurai, saah faham dan lain-lain.

Ada juga yang berpeluang mendapat sukatan yang bagus, guru yang bagus, tetapi tidak pula mahu mengikut apa yang dia perolehi. Mahu yang dulu-dulu juga walaupun tidak diketahui asal usulnya.

Poin ini menyedarkan kita tentang kepentingan permohonan hidayah dalam setiap rakaat, permohonan hidayah dalam doa istiftah pembuka solat malam, dan kepentingan hidayah dalam doa pendek ajaran Nabi Muhammad saw dalam hadith yang sahih :

اللهم اهدني وسددني

Thursday, April 13, 2023

LAILATUL QADAR (MALAM QADAR) : CIRI DAN KOMPONENNYA

 Nuzul al-Quran Pada Malam Qadar


🔴 Al-Quran Petunjuk


Al-Quran adalah kitab rujukan kita, kitab pegangan kita, kitab yang memberi peringatan kepada seluruh alam. Alangkah ruginya jika seseorang hanya membaca, tetapi tidak mengambil petunjuk daripadanya.


Al-Quran mengajar kita akidah, iaitu perkara-perkara ghaib yang wajib kita yakini dan perkara yang tidak boleh kita percayai. Al-Quran memandu kita berfikir dengan benar.


Al-Quran mengajar kita syariah-fiqh, iaitu perkara-perkara yang perlu kita buat dan perkara yang perlu kita tinggalkan dalam kehidupan.


Al-Quran mengajar kita akhlak yang baik dan melarang kita daripada akhlak yang buruk. Bagaimana akhlak dengan Allah dan rasul-Nya, bagaimana akhlak sesama insan dan bagaimana akhlak dengan alam. Akhlak di luar pada anggota biar menggambarkan akhlak yang tersembunyi di dalam jiwa. 


Al-Quran, permulaannya diturunkan dalam bulan Ramadhan, menjadi petunjuk bagi orang yang hendak mencegah dirinya daripada kemurkaan Allah. 


Berpegang kepada al-Quran dengan penjelasan oleh al-sunnah, dijamin baginda saw tidak akan tersesat, kerana al-Quran yang difahami dengan disiplin yang benar adalah pembeza antara perkara benar dengan perkara yang salah.


🔴 Nuzul al-Quran


Maksud Nuzul al-Quran ialah turunnya permulaan al-Quran, wahyu pertama. 


Wahyu pertama ini turun dalam bulan Ramadhan (Ayat 185 Surah al-Baqarah), secara lebih spesifik Ramadhan itu ialah pada malam qadar (Ayat 1 Surah al-Qadr). Ayat yang diturunkan ketika wahyu pertama itu ialah permulaan Surah al-‘Alaq. 


Ayat 185 Surah al-Baqarah, Surah al-Qadr dan permulaan Surah al-‘Alaq adalah ayat-ayat penting yang memberikan penjelasan maksud penurunan al-Quran dalam bulan Ramadhan, masanya secara lebih spesifik dan ayat al-Quran spesifik yang diturunkan pada malam itu.


Wahyu pertama sangat besar dan penting dalam agama Islam، sehingga turunnya wahyu pertama menggambarkan turunnya al-Quran keseluruhannya.


Nabi saw memberitahu kita bahawa wahyu mula diturunkan kepada baginda pada hari Isnin. Ini berdasarkan hadith ketika baginda ditanya tentang puasa hari Isnin. Jawab baginda saw :


ذَاكَ يَوْمٌ وُلِدْتُ فِيهِ، وَيَوْمٌ بُعِثْتُ، أَوْ أُنْزِلَ عَلَيَّ فِيهِ.


“Itulah hari saya dilahirkan, dan hari saya dilantik menjadi rasul, ataupun hari diturunkan wahyu kepada saya.”

(Sahih Muslim)


Menurut kajian falak, tarikh wahyu pertama turun kepada Nabi Muhammad saw jatuh kepada Isnin 21 Ramadhan bersamaan dengan bulan Ogos tahun 610 Masihi. Maksudnya, malam qadar jatuh pada malam 21 Ramadhan pada tahun turunnya awal Surah al-‘Alaq. (Lihat al-Rahiq al-Makhtum).


Kajian dan penemuan para ulama’ ini mengingatkan kita kepada ayat pertama surah al-Qadr  yang selalu kita baca :


إِنَّا أَنزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ


“Sesungguhnya Kami menurunkannya (al-Quran) pada malam qadr.”


Nabi Muhammad saw. menggesa umatnya supaya mencari malam qadar, malam mulia dan malam ketentuan itu pada 10 malam terakhir. Hadith-sahih menjelaskan bahawa malam qadar jatuh kepada mana-mana 10 malam terakhir Ramadhan pada setiap tahun, termasuklah tahun pertama wahyu diturunkan. 



Golongan Syiah berpegang kepada fahaman yang salah apabila mereka mendakwa Laitatul Qadar jatuh (berlaku) pada malam nisfu Syaaban! 
(Inilah sebab mengapa mereka bersungguh-sungguh menyambut Nisfu Syaaban, kerana riwayat-riwayat palsu tentangnya.) 

Ada juga pandangan-pandangan yang mengatakan bahawa penurunan wahyu pertama berlaku pada malam 7 Ramadhan, ada yang mengatakan 17 Ramadhan, dan ada juga yang mengatakan 18 Ramadhan. Barangkali cuti nuzul di tempat kita asalnya diambil daripada pandangan ini. 

Namun menurut pengarang dan pengkaji Sirah Safiy al-Rahman al-Mubarakfuri, pandangan-pandangan ini tidak menepati hadith Nabi Muhammad saw yang menegaskan bahawa baginda saw diutuskan menjadi rasul dan menerima wahyu pertama pada hari ISNIN, kerana tarikh-tarikh itu tidak jatuh kepada hari Isnin.

Kita sangat gembira dengan hujah kesimpulan pengkaji dan penulis sirah tersebut yang memilih tarikh Nuzul al-Quran wahyu pertama pada 21 Ramadhan bersamaan dengan 10 Ogos tahun  610M. Tarikh 21 Ramadhan bertepatan dengan kenyataan bahawa malam qadar berlaku pada 10 terakhir Ramadhan, dan jelas bahawa malam qadar pada tahun Nabi Muhammad saw jatuh pada 21 Ramadhan.

Inilah juga pandangan pilihan kita.


🔴 Malam Qadar : Ciri Dan Komponennya 


Malam qadar yang ditunggu-tunggu di 10 akhir Ramadhan rupanya berkait rapat dengan banyak perkara penting.


✍🏻Pertama : Nuzul al-Quran.


Malam qadr adalah malam turunnya al-Quran, turunnya permulaan al-Quran yang mulia.


✍🏻Ke-2 : Kemuliaan al-Quran.


Malam qadar mulia kerana al-Quran, kalamullah yang diturunkan kepada Nabi Muhammad saw supaya baginda jelaskan maksud dan tuntutan al-Quran itu.


Maksimumkan penghayatan ayat al-Quran pada 10 malam terakhir, lebih-lebih lagi dalam solat. 


Panjangkan qiyam dengan bacaan ayat al-Quran.


شَهْرُ رَمَضَانَ الذي أُنْزِلَ فِيهِ القرآن هُدًى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِّنَ الهدى والفرقان }


✍🏻Ke-3 : Ramadhan-Puasa


Malam kemuliaan itu berterusan pada tahun berikutnya, sehingga kita dituntut memburunya pada 10 malam terakhir setiap Ramadhan, bulan yang diwajibkan kepada kita berpuasa pada siangnya.

 


✍🏻Ke-4 : Gandaan Pahala


Malam qadar lebih baik daripada seribu bulan. 


Pada 10 malam terakhir dianjurkan dihidupkan semuanya, agar kita ketemu satu malam yang istimewa itu. 


✍🏻Ke-5 : TERSEMBUNYI.


Malam qadar itu tersembunyi, maka diperintahkan kepada kita untuk mencarinya dalam mana-mana 10 malam terakhir Ramadhan.


Ada 2 hikmah Lailatul Qadar itu disembunyikan oleh Allah swt. 


1. Membezakan antara orang yang benar ikhlas dan bersungguh memburu malam qadar, dengan orang yang mencarinya sambil lewa.


Pemburu akan menghidupkan kesemua malam. 


2. Membanyakkan pahala bagi hambaNya.  Oleh kerana malam qadar tersembunyi, peningkatan amalan diusahakan sepanjang 10 terakhir, maka lebih banyak pahala yang diperolehi.


Usaha-usaha mencari tanda fizikal pada malam qadar lebih baik digantikan dengan meningkatkan kualiti dan kuantiti solat, membaca ayat-ayat al-Quran serta memohon keampunan Allah.


✍🏻Ke-6 : Taqwa. 


Malam qadar itu berkaitan dengan memelihara diri daripada kemurkaan Allah, baik pada siang mahupun malamnya. 


Al-Quran yang (permulaannya) diturunkan pada malam qadar itu menjadi petunjuk bagi orang yang bertaqwa.


ذَٰلِكَ الْكِتَابُ لَا رَيْبَ ۛ فِيهِ ۛ هُدًى لِّلْمُتَّقِينَ (2)


Ketika al-Quran, wahyu pertama diturunkan pada malam qadar tahun 610 M, puasa belum lagi disyariatkan. Puasa dalam bulan Ramadhan disyariatkan kepada orang beriman pada tahun 2 H, iaitu 15 tahun selepas wahyu pertama diturunkan. 


Perintah puasa diturunkan pada bulan Syaaban pada tahun 2 H, maka orang beriman boleh bersedia untuk berpuasa wajib sebulan Ramadhan pada tahun tersebut. Perang Badar berlaku pada tahun yang sama, pada hari Jumaat, 17 Ramadhan.*


Puasa sebulan itu disyariatkan kepada kita dengan hikmah disebutkan dalam surah al-Baqarah :

لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ (183)


Malam qadar hanya ditemui dan dimanfaatkan oleh orang bertaqwa. 


✍🏻Ke-7 : Masjid.


Malam qadar berkaitan dengan i’tikaf di masjid, rumah Allah. Disunatkan kepada umat Islam, baik lelaki mahupun wanita, i’tikaf di masjid pada 10 malam terakhir Ramadhan. Bagi wanita, pilihlah masjid yang sesuai dan mesra wanita untuk i’tikaf di sana, dan peliharalah adab-adabnya.


Beruntungnya sahabat-sahabat kita yang berpeluang beri’tikaf di al-Masjid al-Haram dan al-Masjid al-Nabawi pada 10 malam terakhir Ramadhan. 


Namun, tidak i’tikaf di masjid bukan bererti kita terlepas peluang beribadah pada malam qadar. 


قوله تعالى : ( فَاتَّقُوا اللَّهَ مَا اسْتَطَعْتُمْ )


Siapkanlah ‘surau rumah’ kita sebaiknya dan manfaatkan sepenuhnya pada 10 terakhir Ramadhan jika tidak mampu ke masjid rumah Allah.


✍🏻Ke-8 : Maghfirah @ Keampunan


Malam qadar berkaitan dengan pengampunan dosa dan permohonan tulus agar diampunkan dosa. Sabda Nabi saw :


مَنْ قَامَ لَيْلَةَ الْقَدْرِ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ 

رواه البخاري


Maksudnya :

“Sesiapa menghidupkan (berdiri untuk solat) pada malam qadar dengan penuh iman dan mengharapkan pahala di sisi Allah, diampunkan dosanya yang telah lalu.”


(Sahih Bukhari)


Dalam hadith lain, ‘Aisyah bertanya kepada Nabi Muhammad saw, “Wahai Rasulullah. Kalau saya tahu malam itu malam qadar, apakah yang patut saya mohon kepada Allah pada malam tersebut?’


Jawab baginda saw :


‘Berdoalah, 


اللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي


‘Ya Allah! Sesungguhnya Engkau Maha Pemaaf, sukakan kemaafan, maka maafkanlah daku.”


Hadith direkodkan oleh Imam Ahmad.


Boleh mohon keampunan dengan lafaz lain yang lebih sahih, seperti penghulu istighfar.


Kita menghayati kepentingan maghfirah dengan memahami pola doa-doa ajaran nabi Muhammad saw secara keseluruhan, memahami dosa umpama lubang yang sentiasa tergali dan memahami hakikat perjalanan kita sebagai hambaNya di titian yang merentangi api neraka, menuju ke hujungnya - syurga.


✍🏻 Ke-9 : Qiyamullail & Tahajjud 


Malam qadar berkaitan dengan : 


a. Qiyamullail selepas menyempurnakan solat fardhu 


b. Tahajjud, bangun pisahkan diri dari tempat tidur.


Berdiri awal malam, bangun akhir malam dan menghidupkan keduanya dengan menghayati  dan memperbanyakkan solat sunat yang dalam hadith-hadith yang sahih, khususnya solat tarawih dan witir.


Sabda Nabi Muhammad saw :


مَنْ قَامَ لَيْلَةَ الْقَدْرِ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا

 غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ 


Maksudnya : “Sesiapa yang berdiri untuk solat pada malam qadar  (menghidupkan malam qadar dengan solat) dengan penuh iman dan mengharapkan pahala di sisi Allah, pasti diampukan dosanya yang telah lalu.”


Sahih Bukhari. 


Maksimumkan solat malam pada malam qadar dengan menjaga solat berjemaah Isya’ dan Subuh. 


Intipati daripada hadith Nabi Muhammad saw telah memberikan panduan penting kepada kita tentang kelebihan berjemaah bagi 2 solat fardhu ini. Solat Isya’ berjemaah pahala seperti solat separuh malam, manakala solat Subuh berjemaah pahalanya seperti solat sepanjang malam!



✍🏻 Ke-10 : Solat.


Malam qadar berkaitan dengan solat dengan makna dari sudut bahasa dan istilah. 


Malam qadar adalah malam fokus untuk memperhambakan diri kepada Allah, merasai hubungan dengan Allah dan memanjatkan doa permohonan kita kepada Allah dengan penuh adab.


Malam qadar akan berlalu dengan hambar jika kita tidak merasakan kita memperhambakan diri kepada Allah semasa solat, tidak merasai hubungan dengan Allah dan tidak menghayati doa yang dilafazkan sebagai permohon tulus kita kepada Allah.


✍🏻 Ke-11 : Ahli Keluarga.


Malam qadar bukan diburu seorang, tetapi kelebihannya dicari bersama ahli keluarga.


Nabi Muhammad saw mengejutkan ahli keluarganya untuk bersama-sama beribadah pada 10 malam terakhir Ramadhan. 


عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا، قَالَتْ: «كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا دَخَلَ العَشْرُ شَدَّ مِئْزَرَهُ،وَأَحْيَا لَيْلَهُ، وَأَيْقَظَ أَهْلَهُ.


Aisyah ra melaporkan, katanya, : “Nabi saw apabila tiba 10 malam terkakhir Ramadhan, baginda saw mengetatkan ikatan kainnya, menghidupkan malamnya dan membangunkan ahli keluarganya (untuk turut beribadah.)”


(Sahih al-Bukhari)



✍🏻 Ke-12 : Sejahtera & Berkat.


Malam qadar berkaitan dengan kesejahteraan dan keberkatan.


Malam qadar sejahtera sehingga terbit fajar. 


وقوله: ( سَلامٌ هِيَ حَتَّى مَطْلَعِ الْفَجْرِ )


Malam qadar lebih baik daripada seribu bulan, menandakan Allah kurniakan keberkatan yang banyak pada yang sedikit, pada masa dan tempat yang telah ditentukanNya.


اللهم اعنا على ذكرك 

وشكرك وحسن عبادتك.


Siri 4 Puasa 1444H

21 Ramadhan

PQHDNH


NOTA TAMBAHAN  : 


 ✍🏻 Solat 5 waktu disyariatkan pada malam Mi’raj، tiada tarikh tepat dari sudut tahun dan bulan, namun lebih kurang setahun dua sebelum nabi saw hijrah ke Madinah pada tahun 13 kenabian.


✍🏻  Perang Badar memang berlaku dalam bulan puasa. Namun Nabi Muhammad saw memerintahkan para sahabat supaya berbuka apabila hendak menghadapi musuh.


عن أبي سَعِيدٍ الْخُدْرِيَّ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ : ” سَافَرْنَا مَعَ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِلَى مَكَّةَ وَنَحْنُ صِيَامٌ ، فَنَزَلْنَا مَنْزِلًا ، فَقَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: (إِنَّكُمْ قَدْ دَنَوْتُمْ مِنْ عَدُوِّكُمْ، وَالْفِطْرُ أَقْوَى لَكُمْ ) فَكَانَتْ رُخْصَةً، فَمِنَّا مَنْ صَامَ ، وَمِنَّا مَنْ أَفْطَرَ، ثُمَّ نَزَلْنَا مَنْزِلًا آخَرَ، فَقَالَ: ( إِنَّكُمْ مُصَبِّحُو عَدُوِّكُمْ، وَالْفِطْرُ أَقْوَى لَكُمْ، فَأَفْطِرُوا) وَكَانَتْ عَزْمَةً ، فَأَفْطَرْنَا “.

رواه مسلم


✍🏻 Ramai ulama’ yang meneliti ilmu hadith mengatakan bahawa solat tasbih tidak disyariatkan kerana ia datang daripada hadith palsu dan daif. Ramai di kalangan mereka tidak masukkan solat tasbih sebagai solat nawafil dalam kitab mereka. 


Kata Imam Nawawi, ‘Mengatakan solat tasbih itu sunat perlu dicermati semula, kerana hadithnya daif dan padanya ada perubahan pada struktur solat yang telah dimaklumi.’ 


Ibn al-Jawzi pula memasukkan hadith dalil solat Tasbih ke dalam kitab himpunan hadith-hadith palsu.


✍🏻Malam yang dihidupkan menurut al-sunnah ialah 10 malam terakhir Ramadhan. Adapun malam raya, buatlah persiapan untuk hari raya esoknya, cukup sekadar kita bangun bahagian 1/3 akhir malam untuk tahajjud seperti sebelum Ramadhan.


✍🏻 Ambil makanan dan minuman yang berkhasiat dan kurangkan kuantiti semasa berbuka untuk menjaga stamina dan kesihatan pada 10 terakhir yang istimewa. 


✍🏻 TIPS bagi mereka yang ada kekangan syar’i untuk membanyakkan beribadah pada mana-mana 10 malam terakhir :


i) Sabar. Pada saat orang lain sabar melakukan ketaatan kepada Allah, mungkin kita berada dalam situasi sabar meninggalkan larangan Allah, ataupun sabar menerima ketentuan Allah.



ii) Kejar solat Isya’ dan solat Subuh secara berjemaah, sebaiknya di masjid.


عن عثمان بن عفان رضي الله عنه قال: "سمعتُ رسول الله ﷺ يقول: 

رَسولَ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عليه وسلَّمَ يقولُ: مَن صَلَّى العِشَاءَ في جَمَاعَةٍ فَكَأنَّما قَامَ نِصْفَ اللَّيْلِ، وَمَن صَلَّى الصُّبْحَ في جَمَاعَةٍ فَكَأنَّما صَلَّى اللَّيْلَ كُلَّهُ.

 رواه مسلم..”


Maksudnya : 

Uthman bin ‘Affan melaporkan, katanya, 


“Saya dengar Nabi saw bersabda, “Sesiapa solat ‘Isya’ berjemaah, dia seolah-olah solat separuh malam. Dan sesiapa solat Subuh berjemaah, dia seolah-olah solat sepanjang malam.”



iii) Kekalkan dan teruskan niat iaitu azam untuk melakukannya. 


Ya Allah, jika tiada kekangan ini, saya pasti akan melakukannya. 


Rutin yang telah kita lakukan sepanjang Ramadhan akan memelihara kita agar mendapat markah penuh apabila ada keuzuran yang tidak dapat dielakkan. 


Dua syarat mesti dipenuhi bagi mendapat markah penuh apabila tidak mampu melakukan ibadah kerana ada keuzuran : 


1. Niat = azam untuk melakukan jika tiada kekangan.

2. Ada rutin sebelumnya.



iv) Gantikan dengan amalan soleh lain yang boleh kita lakukan ketika berada dalam kekangan tersebut. Paling utama ialah mohon keampunan daripada Allah swt.


v) Zikir harian iaitu zikir pagi dan petang menurut al-Quran dan al-Sunnah banyak peranan membantu kita menghadapi malam 10 terakhir Ramadhan.


أَمْسَيْـنا وَأَمْسـى المُـلكُ للهِ رَبِّ العـالَمـين 

اللّهُـمَّ إِنِّـي أسْـأَلُـكَ خَـيْرَ هـذهِ اللَّـيْلَة 

فَتْحَهـا ، وَنَصْـرَهـا ، وَنـورَهـا وَبَـرَكَتَـهـا ، وَهُـداهـا 

وَأَعـوذُ بِـكَ مِـنْ شَـرِّ ما فـيهـا وَشَـرِّ ما بَعْـدَهـا



 

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Powerade Coupons