Saturday, August 22, 2015

DRAF NOTA MENGAJI SURAH AL-INSAN



KANDUNGAN RINGKAS SURAH

⏰Ayat 1-3
Surah ini dimulakan dengan bicara tentang permulaan kejadian insan, dibekalkan dengan pendengaran dan penglihatan, dan ditunjukkan jalan : kemudiannya insan pun terbahagi kepada dua golongan, yang bersyukur dan yang kufur. Seterusnya diberitakan tentang balasan untuk orang yang bersyukur dan orang yang kufur.



⏰ Ayat 4-6
Bagi yang kufur, diceritakan ringkas balasannya : rantai kaki, belenggu tangan rantainya bersambung ke tengkuk, dan dibakar dengan api neraka.

Sedangkan bagi yang bersyukur,  (kontras dengan yang kufur), mereka dapat minum dalam gelas, minuman yang bercampur dengan kafur, tersedia dalam mata air yang dapat disalirkan ke kediaman mereka mengikut keperluan mereka sendiri.

⏰Ayat 7-11
Kemudian dipuji amalan golongan yang bersyukur itu, amalan yang menjadi sebab mereka mendapat balasan istimewa. Ini kerana mereka :
1. Memenuhi janji kepada Allah untuk taat
2. Takut kepada azab Allah hari kiamat
3. Memberi makan orang lapar kerana Allah

Balasan Allah kepada golongan ini pada hari kiamat itu ialah diberi :
1. Perlindungan daripada kesengsaraan pada hari itu
2. Wajah berseri-seri
3. Jiwa gembira

⏰Ayat 12-22
Diikuti dengan menyebut balasan seterusnya daripada Allah swt, kerana mereka bersabar untuk taat kepadaNya semasa di dunia.
-Syurga
-Pakaian /Persalinan sutera
-Baring di atas sofa sofistikated
-Tidak ada hawa panas, tidak pula terlalu sejuk
-Dinaungi pula teduhan pohon-pohon syurga
-Dapat dipetik buah-buahnya yang rendah bergayutan
-Diedarkan kepada mereka bekas perak dan gelas kristal
-Kristal daripada perak (yang berkilau spt perak dan transparent spt kristal), sehingga pelayan yang menuang dapat mengagak keperluan untuk diisi dengan secukupnya
-Mereka dihidangkan dalam syurga itu, minuman yg bercampur halia, dari mata air syurga salsabila
-Dilayan oleh pelayan muda sentiasa, bak mutiara bertaburan
-Syurga yang penuh nikmat dan kerajaan penuh kebesaran
-Mereka memakai sutera halus hijau dan sutera tebal, gelang perak dan minum minuman bersih.

Dan dikatakan kepada mereka :.Diberikan semua ini kepada kamu sebagai balasan atas usaha kamu yg patut dihargai.

⏰Ayat 23-26
Kemudian diterangkan sumber dari mana turunnya al-Quran, iaitu daripada Allah Tuhan sekelian alam kepada Nabi Muhammad saw. (Dari al-Quran inilah kita dapat tahu asal usul kejadian kita, balasan orang kufur dan balasan orang yang syukur tadi...) 

Kerana tugas menyampaikan ajaran wahyu itu berat dan akan mendapat tentangan, maka disuruh Nabi Muhammad saw : 
1- sabar dan jangan ikut kehendak orang yang berdosa dan kufur/ingkar.
2- selalu sebut dan nama Tuhan pagi dan petang (💡zikir ikut sunnah nabi)
3- solat malam (sujud dan sucikan Allah)

⏰Ayat 27-28
Seterusnya disebut pula sifat orang yang menentang, iaitu cinta dunia yang segera dan tidak hiraukan hari akhirat yang berat. Sedangkan Allah (yang menurunkan al-Quran inilah) yang mencipta mereka dan menguatkan sendi2 mereka. Dan Allah berkuasa gantikan mereka dengan yang lain.

⏰Ayat 29-31
Surah ini diakhiri dengan menegaskan bahawa al-Quran adalah peringatan bagi seluruh manusia, maka sepatutnya manusia mengambil jalan yang dapat membawa kepada (keredaan) Tuhannya. (Kaitkan dengan ayat 3)

Dan semuanya itu sebenarnya kembali kepada kehendak Allah swt yang Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana.

Tamat ringkasan Surah al-Insan

BEBERAPA PENGAJARAN DARIPADA SURAH AL-INSAN

1. Al-Quran adalah sumber paling berautoriti untuk mengetahui tentang apa sekalipun, sebab ia diturunkan oleh Allah yang mencipta kita dan seluruh alamraya ini.

2. Al-Quran mengandungi perkara-perkara penting untuk diketahui oleh manusia.

3. Al-Quran sepatutnya menjadi panduan hidup agar perjalanan kita sebagai manusia akhirnya tamat pada garisan keredaan Allah swt dan mendapat balasan syurgaNya.

4. Surah ini menjadi bukti bahawa tidak benar dakwaan yang mengatakan 'beramal tidak boleh mengharapkan syurga.'
Sebahagian besar ayat dalam surah ini berkisar tentang nikmat2 yang ada di dalam syurga. Ini kalamullah, diberitahu kepada kita manusia oleh Allah swt supaya kita mengharapkannya!

5. Ayat 9 membuktikan bahawa ikhlas adalah puncak amalan jiwa orang beriman, melakukan sesuatu amalan (khususnya pemberian sedekah) tanpa mengharapkan sebarang ganjaran daripada makhluk, hatta ucapan terima kasih sekalipun.

Adab orang yang menerima, ucaplah terima kasih dan جزاك الله خيرا sebagai tanda penghargaan yang tidak terhingga. Itu diajarkan oleh nabi kita, Muhammad saw dalam hadith2 baginda yang thabit. Mengucapkannya adalah salah satu daripada amal soleh. 

Adab jiwa orang yang memberi pula, ingatlah ayat 9 Surah al-Insan ini. Adakalanya insan yang dihulurkan bantuan tidak berikan sebarang ucapan penghargaan, dan adakalanya diucapkan. Sama ada diucap ataupun tidak, orang yang memberi tetap sama perasaannya, tidak jengkel, tidak terkilan, tidak terasa apapun, kerana apa yang diberi itu diterima sebagai amalan soleh di sisi Allah sekiranya ikhlas dan menepati syariat Nabi Muhammad saw, tidak berkait langsung dengan ucapan penghargaan dari makhluk.

(Demikianlah juga halnya seorang pendakwah, ataupun guru. Dalam Mawsu'ah Fiqh al-Qulub Syeikh Muhammad Ibrahim al-Tuwaijri memberikan analogi yang indah, dengan kata-kata yang tersusun indah juga, kata beliau :

وحاجات القلوب في الدنيا إلى التوحيد والإيمان أعظم من حاجة الأبدان من الطعام والشراب، بل لا نسبة بينهما

Menghulurkan makanan kepada orang yang lapar kerana Allah, mendapat penghargaan sedemikian tingginya yang kita baca dalam surah al-Insan ini. Makanan itu keperluan zahir insan, supaya dia dapat hidup dengan sempurna di dunia. Bagaimana pula tingginya penghargaan Allah kepada mereka yang menghulurkan 'tauhid dan iman' bagi mereka yang memerlukan, di mana tauhid dan iman itulah yang akan menjadi keperluan jiwa insan, dan menjadi penentu nasib dalam kehidupan kekal tiada penghujung.

Dalam keadaan mutakhir ini masyarakat sukakan pendakwah 'pop', menjadi kewajipan kita mencari dan menjadi da'ie yang mampu mencegah kemungkaran berdasarkan disiplin ilmu dan kaedah yang benar. Mungkin adakalanya menyebarkan kebaikan dan mencegah kemungkaran tanpa nama dan kesan tinggalan itu yang lebih mujarab. Pendakwah perlu memilih antara dua, hendak popular ataupun hendak pahala. 

Kerja-kerja menyampaikan kebenaran pun, boleh jadi penuh dengan agenda dan maksud untuk mencapai kepentingan diri. 

Meskipun ayat 9 Surah al-Insan menyebut khusus tentang ikhlas memberi makan, pendakwah patut selalu muhasabah diri sendiri, berdakwah sehari semalam, adakah kita tulus mencari وجه الله , adakah sama sahaja keadaan kita jika mendapat ataupun tidak mendapat جزاء ataupun شكور  daripada manusia?

6. Ayat terakhir dalam surah ini menginsafkan kita supaya menanam sifat kehambaan dalam jiwa, mengharapkan limpah kurnia Allah, rahmat belas kasihan Allah dan ketentuan yang baik daripada Allah, supaya memasukkan kita ke dalam golongan yang bersyukur seperti yang disebutkan dalam ayat ini. Kerana golongan ini telah diterima amalan batin dan amalan zahir mereka, sehingga usaha mereka dihargai dan diberi balasan syurga dan segala nikmat yang ada di dalamnya.

Kerana jiwa mereka ikhlas kerana Allah dan zahir amalan mereka mengikut panduan syariat yang diajar oleh Nabi Muhammad saw.

Jika ayat ke-9 mengingatkan kita tentang besarnya peranan ikhlas, ayat ke-30 pula mengingatkan kita supaya jangan 'ujub. 

Inilah antara hikmah besar doa-doa yang diajarkan oleh Nabi Muhammad saw yang mengandungi permohonan supaya Allah membantu kita agar taat kepada-Nya, ditunjukkan dan ditetapkan pada jalan yang lurus malah memohon perlindungan-Nya daripada keburukan perbuatan kita sendiri, sama ada yang kita sedari ataupun tidak kita sedari.

َاللهم أَعِنّي على ذِكْرِكَ وشُكْرِكَ وَحُسْنِ عِبادَتِك

اللهم إني أسألك الهدى والتُقٰى والعَفافَ والغِنٰى

اللهم إني أعوذ بك من شر ما عملت ومن شر ما لم أعمل

اللهم اهدني وسددني


Bersambung, in syaa Allah.

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Powerade Coupons