Konsep ketuhanan berdasarkan wahyu adalah konsep Allah sebagai Rabb al-‘Alamin, konsep Allah sebagai Ilaah yang mesti disembah semua makhluk dan konsep nama serta sifat Allah. Dia memperkenalkan diriNya kepada kita melalui ciptaanNya yang menakjubkan, serta melalui nama dan sifatNya yang ada dalam al-Quran dan hadith yang sahih.
Bahasa mudahnya begini :
Belajar tauhid berdasarkan wahyu adalah dengan mempelajari dan menghayati Allah Rabb al-‘Alamin, iaitu Allah adalah Tuhan yang mencipta dan mentadbir seluruh alam. Belajar tentang Allah sebagai Ilaah, satu-satuNya Tuhan yang mesti disembah semua makhluk, termasuk Nabi Muhammad saw, kerana Nabi Muhammad saw itu adalah makhluknya yang bernama manusia, dicipta daripada tanah dan kembali kepada tanah. Belajar menghayati nama-nama dan sifat-sifatNya yang Dia perkenalkan diriNya menerusi nas al-Quran dan hadith yang disebut oleh utusanNya. Ini termasuklah ayat kauniyyat yang menuntut kita memerhatikan ciptaan Allah, seterusnya dapat menghayati nama-nama dan sifat-sifat yang ada dalam nas.
Akidah pegangan kita mesti berdasarkan ayat al-Quran dan hadith yang sahih. Setiap muslim dan muslimah, paling kurang yang menghayati ayat 2 surah al-Fatihah, ayat terakhir dalam surah al-Qasas dan ayat 68 Surah al-Nahl akan memahami konsep ini.
Hal ini berbeza dengan konsep wahdatul wujud yang datang daripada falsafah agama lain. (Bayangkan jika saudara baru memeluk Islam, kemudian cuba menyesuaikan ajaran agama lamanya ke dalam agama Islam yang baru dianutinya!) Konsep wahdatul wujud daripada agama lain ini permah cuba diasimilasikan ke dalam agama Islam, antaranya dengan cara mencipta hadith palsu untuk menyokong konsep tersebut.
Wahyu Allah yang diturunkan kepada Nabi Muhammad saw sampai kepada kita hari ini dalam bentuk al-Quran dan hadith yang sahih. Itulah asas dan sumber agama kita baik dari sudut akidah, syariat mahupun tazkiyah al-nafs.
Namun umat Islam diuji dengan kewujudan hadith palsu yang telah masuk dalam pemikiran, teks malah pegangan. Berbohong atas nama baginda saw telah termaktub sebagai satu bentuk kemunkaran yang dilakukan insan, dan menjadi salah satu sebab mengisi kuota dalam neraka.
Beruntung sesiapa yang meninggalkan kepercayaan yang berpunca daripada pendustaan atas nama Nabi Muhammad saw.
Beruntung sesiapa yang mengambil kepercayaan jernih yang datang daripada wahyu Tuhan sekalian alam.
اللهم إنا نسألك علما نافعا
DNH
Isnin
3 Julai 2023
0 comments:
Post a Comment