🔴Assalamualaikum, ustazah.
🔴Waalaikumussalam, Nurul 'Aini.
Apakah doa dan amalan yang paling sesuai diucap dan diamalkan apabila kita tiba-tiba teringat kepada seseorang yang sudah lama meninggal dunia.
🔸Pada awal kematian, keluarga si mati tentulah sudah menunaikan hutang si mati kepada Allah swt, seperti bayaran fidyah puasa yang tidak sempat dibayar semasa hidup, ataupun hutang si mati sesama kenalannya. Ringkasnya, apabila teringat kepada si mati yang sudah lama meninggal dunia, ada dua perkara yang boleh dilakukan iaitu :
Pertama, doakan mereka, khususnya keampunan dan rahmat buat mereka.
Kedua, bersedekah (harta) untuk mereka.
Penjelasan lanjut :
🔸Dari sudut psikologi, soalan ini mengandungi makna ingin melakukan sesuatu kebaikan buat si mati sudah lama meninggal dunia, ketika tiba-tiba kita teringat kepadanya.
Kebaikan yang diperlukan oleh si mati mestilah ada petunjuk dan jaminan daripada nas al-Quran dan al-Hadith, kerana kita sendiri tidak tahu apakah sebenarnya perkara yang bermanfaat bagi mereka.
Amalan dari petunjuk Nabi Muhammad saw itulah kebaikan yang paling bermanfaat buat si mati.
🔸Amalan paling utama yang thabit daripada al-Quran dan hadith-hadith Nabi Muhammad saw ialah mendoakan mereka, khususnya memohon keampunan dan rahmat buat mereka.
Bagi menghayati besarnya erti keampunan dosa buat orang yang sudah meninggal dunia, kita orang hidup mesti terlebih dahulu perlu menghayati akan besarnya erti keampunan dosa dan rahmat bagi diri kita sendiri yang masih hidup.
Realiti kehidupan hari ini, keampunan dan rahmat bagaikan kurang nilai, tidak menjadi hasrat utama untuk mendapatkannya, kerana merasakan ada terlalu banyak hajat dan perkara lain yang ingin dipohon.
Apabila kita memerhatikan doa-doa yang ma'thur daripada Nabi Muhammad saw, kita akan dapati bahawa istighfar memohon ampun menjadi amalan baginda saw. Baginda beristighfar memohon ampun sehingga 100 kali sehari. Istighfar itulah yang dianjurkan kepada kita pada bila-bila masa dan sebanyaknya.
Malahan, bacaan semasa duduk di antara dua sujud juga dimulakan dengan memohon ampun dan memohon rahmat.
....رب اغفرلي وارحمني
Demikian juga doa terakhir yang patut dipanjatkan seorang insan kepada Tuhannya apabila sudah dekat dengan ajalnya, diajarkan baginda supaya kita berdoa :
اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِى وَارْحَمْنِى
وَأَلْحِقْنِى بِالرَّفِيقِ الأعلى
“Ya Allah! Ampunkan saya, kasihanilah saya, dan masukkan saya bersama kumpulan teman rapat (yang tertinggi, bersama para nabi, siddiqin, syuhada’ dan salihin.)”
Baca lanjut di sini.
Keampunan dan rahmat Allah jugalah yang menjadi permohonan utama bagi si mati yang sudah meninggal dunia.
Kedua-duanya jelas menjadi isi permohonan dalam solat jenazah buat si mati, sebagaimana termaktub dalam doa ma'thur, yang diajarkan oleh Nabi Muhammad saw kepada kita.
Ertinya, sangat penting keampunan dan rahmat buat insan, baik yang masih hidup, mahupun yang sudah meninggal dunia.
اللهم اغفرلي وارحمني
اللهم اغفرله وارحمه
اللهم اغفرلها وارحمها
🔸Selain mendoakan, khususnya mohon keampunan dan rahmat buat mereka, kita boleh bersedekah (harta) untuk (bagi pihak) mereka.
Niatkan sedekah itu untuk si mati, mudah-mudahan ada manfaat baginya kerana Nabi Muhammad saw membenarkan amalan sedekah untuk si mati.
🔸Bacaan ayat al-Quran dan zikir tidak termasuk dalam kategori sedekah, tidak sebagaimana yang difahami oleh masyarakat umum.
Imam Syafi'i mengatakan bahawa bacaan al-Quran tidak sampai kepada si mati. Ini kerana tiada hadith Nabi Muhammad saw menyuruh kita menghadiahkan bacaan al-Quran untuk si mati, baik al-Fatihah ataupun selainnya.
Jika ia penting, pasti ada suruhan dan saranan baginda saw dalam hadith-hadith yang sahih. Pasti baginda terlebih dahulu melakukannya kepada ahli keluarga baginda yang sudah meninggal dunia.
Tidak ada riwayat para sahabat baginda saw menghadiahkan bacaan al-Quran kepada ahli keluarga mereka yang sudah meninggal dunia, kerana merekalah generasi terbaik dalam mempraktikkan ajaran Nabi Muhammad saw.
Sebaik-baik petunjuk, adalah petunjuk Nabi Muhammad saw.
🔸Para ulama' yang mempelajari dan mengkaji fiqh perbandingan dan fiqh sunnah, memahami konsep 'rajih marjuh' berdasarkan dalil al-Quran dan al-Hadith, mereka memang akan mentarjihkan pandangan Imam Syafii dalam perkara ini.
Apa yang dinyatakan dengan terang dalam dalil hadith itulah yang bermanfaat untuk si mati.
Jikalau hendak dikira, perkara wajib yang mesti dibuat kalau ibubapa 'tidak sempat buat', ialah qada' solat. Namun tidak disyariatkan anak qada' solat yang ditinggalkan oleh ibubapa. Yang disyariatkan ialah melaksanakan ibadah haji untuk mereka, jika mereka meninggal dunia dalam keadaan cukup syarat wajib haji tetapi tidak sempat menunaikannya.
Perkara sunat pun begitu juga.
Lakukan apa yang ditunjukkan dalil, tinggalkan apa yang tiada dalil. Itulah maksud tersirat pandangan Imam Syafi'i, apabila beliau mengatakan bacaan al-Quran tidak sampai kepada si mati.
Oleh itu, selain doa, lunaskan perkara wajib yang disyariatkan iaitu hutang harta (termasuk zakat yang belum sempat ditunaikan), haji dan puasa yang perlu diqada'.
🔸 Manakala perkara sunat yang boleh dilakukan selain doa ialah sedekah harta, kerana ia disebut dalam hadith nabi saw. Tidak perlu dibuat majlis khusus dan mewarwarkan atas nama arwah. Jikalau mahu berikan dalam bentuk jamuan kepada orang ramai, boleh diberikan dalam bentuk umum seperti jamuan selepas kuliah Tafsir al-Quran, jamuan selepas gotong royong membersihkan masjid, ataupun menaja makanan untuk kem-kem pelarian.
Carilah ruang untuk melakukan sedekah jariah, ataupun membantu orang susah lebih-lebih lagi dalam menyelamatkan nyawa dan iman. Carilah institusi dan pengajian yang memelihara ketulinan agama, supaya sedekah kita menjadi asbab ilmu yang benar bersumberkan al-Quran dan al-Hadith tidak hilang sebaliknya terus terpelihara.
Maknanya, cukup dengan sedekah senyap, sebaiknya sedekah jariah, dengan niat untuk al-marhum ataupun al-marhumah.
والله أعلم
Sabtu
25/2/17
25/2/17
0 comments:
Post a Comment