Wednesday, June 10, 2026

SAYA DIKIRA SEBAGAI MUSAFIR ATAUPUN TIDAK?

SOALAN :


Saya bekerja di Kuala Lumpur manakala isteri masih bertugas di Kedah. Rutin kami bergilir sebagai musafir, namun saya yang lebih banyak ke Kedah, berbanding isteri ke Kuala Lumpur.


Selama ini saya menunaikan solat secara Jama’ dan Qasar apabila saya balik ke Kedah, sebab saya anggap saya bermukim di Kuala Lumpur, manakala isteri pula bermukim di Kedah buat sementara waktu ini. Begitu juga dengan isteri saya, dia akan melaksanakan solat secara Jama’ dan Qasar apabila ke rumah kami di Kuala Lumpur. Biasanya saya berada di Kedah hujung minggu selama 2 hari sahaja, demikian juga dengan isteri, dia akan berada selama 2 hari sahaja jika ke Kuala Lumpur. 


Mutakhir ini saya diberitahu jama’ solat tidak dibenarkan jika seorang suami pulang ke rumah isterinya. Menurut sumber tersebut, rumah yang didiami oleh ahli keluarga, lengkap dengan perabot dan kemudahan lain milik sendiri tidak dikira sebagai tempat musafir, tetapi dikira sebagai tempat menetap.



Satu perkara lagi, bagaimana pula apabila kami pulang ke kampung, di Terengganu? Adakah kami tidak boleh jama’ dan qasar solat, tetapi dikira balik ke rumah sendiri, sedangkan kami hanya pulang selama dua hari dan melakukan perjalanan jauh, pergi dan kembali?


Mohon penjelasan lanjut dalam perkara ini, didahulukan dengan terima kasih.


JAWAPAN  :


Bismillah.


📚 PERTAMA : JAMA’ DAN QASAR DUA PERKARA BERBEZA


Jama’ solat maksudnya menghimpunkan dua solat fardhu ke dalam satu waktu, melibatkan 4 solat sahaja dengan pasangan masing-masing, iaitu Zuhur dengan Asar, dan Maghrib dengan Isya’. 


Jama’ solat dilaksanakan dengan cara :


a. menunaikan solat Zuhur dan solat Asar (secara berasingan) di dalam satu waktu. Dinamakan Jama’ Taqdim apabila solat Zuhur dan Asar ditunaikan dalam waktu Zuhur. Dinamakan Jama’ Ta’khir apabila solat Zuhur dan Asar ditunaikan dalam waktu Asar. 


b. menunaikan solat Maghrib dan solat Isya’ (secara berasingan) di dalam satu waktu. Dinamakan Jama’ Taqdim apabila solat Maghrib dan Isya’ ditunaikan dalam waktu Maghrib. Dinamakan Jama’ Ta’khir apabila solat Zuhur dan Asar ditunaikan dalam waktu Asar. 


Qasar solat pula maksudnya memendekkan solat 4 rakaat menjadi 2 rakaat sahaja. Hanya solat 4 rakaat sahaja yang boleh dipendekkan menjadi 2. Maksudnya, apabila cukup syarat untuk qasar solat, hanya Zuhur, Asar dan Isya’ yang rakaatnya 4 boleh dipendekkan menjadi dua sahaja. 


Solat Maghrib tidak boleh dipendekkan lagi.


📚 KEDUA : SIAPA DIBENARKAN JAMA’ SOLAT?


Jama’ solat hanya dibenarkan kepada orang yang berada dalam situasi kesusahan dan terdesak seperti :


a. Hujan lebat (Jama’ Maghrib dan ‘Isya’ sahaja)

b. Bencana alam seperti banjir, tanah runtuh dsb

c. Sakit berat yang memerlukan penjagaan dan bantuan

d. Musafir dalam perjalanan

e. Pekerjaan menyelamatkan nyawa, jika ditinggalkan boleh sebabkan kematian seperti doktor bedah yang melakukan pembedahan yang lama.


Menghimpunkan 2 solat dalam satu waktu tanpa keuzuran adalah haram, kerana solat asalnya wajib dikerjakan dalam waktu masing-masing yang telah ditentukan oleh Allah. 


📚KETIGA : SIAPA DIBENARKAN QASAR SOLAT?


Qasar solat dibenarkan kepada orang musafir sahaja. 


Para sahabat berasa kagum dengan keringanan yang diberikan kepada musafir sehingga mereka berterusan boleh memendekkan solat 4 rakaat menjadi 2 rakaat, walaupun mereka dalam keadaan aman، tiada lagi peperangan. Apabila ditanyakan hal tersebut kepada Nabi Muhammad saw, baginda bersabda  :


صدقةٌ تصدَّقَ اللهُ بها عليكم فاقبلوا صدقتَه

“(Qasar solat) adalah (umpama) sedekah yang Allah sedekahkan kepada kalian, maka kalian terimalah sedekahNya.”

(Sahih Muslim)


Oleh itu, orang sakit walau bagaimanapun sakitnya, hanya dibenarkan memilih posisi yang sesuai dengan kemampuannya untuk menunaikan solat, seperti solat sambil berbaring, dan dibenarkan juga jama’ solat apabila terdesak memerlukan, namun TIDAK BOLEH QASAR kerana qasar hadiah khusus untuk oang musafir.


📚 KEEMPAT : QASAR SOLAT TIDAK SEMESTINYA BERGANDING DENGAN JAMA’, KERANA JAMA’ DILAKUKAN APABILA PERLU SAHAJA


Nabi Muhammad saw pernah solat qasar dan jama’ sekaligus, dan pernah juga qasar solat sahaja, tanpa jama’. Apabila kita mula keluar untuk bermusafir pada jam 3.00 petang misalnya, kita solat Asar sahaja secara qasar, tidak jama’, maksudnya kita tidak bawa solat Zuhur untuk dilaksanakan dalam waktu Asar.


Demikian juga apabila kita berstatus musafir, tetapi suatu ketika perjalanan kita penuh kerehatan tanpa sebarang kesusahan, eloklah kita laksanakan solat qasar sahaja tanpa jama’, kerana asalnya solat itu mesti dikerjakan dalam waktunya, melainkan ada sebab yang mendesak.


Sebagai contoh, Puan A bermusafir ke rumah ibu saudaranya yang tinggal seorang diri. Jika puan A melaksanakan solat qasar sahaja bagi Zuhur dan Asar, Puan A boleh solat berjemaah bagi kedua-dua waktu solat itu dengan ibu saudaranya. Dengan demikian, Puan A dan ibu saudaranya mendapat beberapa manfaat. Pahala solat berjemaah, pahala menunaikan solat dalam waktunya, dan Puan A tetap menerima hadiah qasar daripada Allah swt. (Syaratnya ialah Puan A yang qasar solat mesti menjadi imam, kerana ma’mum tidak boleh selesai solat mendahului imam.)

Jika Puan A menghadapi kesusahan dalam perjalanannya seperti kesuntukan masa, sukar mencari tempat berhenti, terlalu kepenatan, menaiki kapalterbang yang melibatkan perjalanan yang lama, ataupun sebagainya, Puan A ketika itu boleh gabungkan qasar dan jama’ sekaligus.


Begitulah kita dalam permusafiran.


📚 KELIMA : ADAKAH PERJALANAN JAUH DARI TEMPAT TINGGAL HARIAN KE RUMAH AHLI KELUARGA DIKIRA SEBAGAI BERMUSAFIR?


Ya. 


Melakukan perjalanan jauh ataupun ‘travelling’, ada ulama’ yang mensyaratkan melebihi 2 marhalah, ataupun 81 @ 83 @ 85 km. Perjalanan jauh ini melayakkan seseorang mendapat status sebagai musafir. Sepanjang perjalanan itu dia boleh qasar solat kerana qasar solat adalah pemberian khusus Allah swt kepada orang musafir. 


Dia juga boleh jama’ solat jika perlu, kerana perjalanan jauh adalah sesuatu yang menyukarkan.


📚 KEENAM : ADAKAH RUMAH AHLI KELUARGA ATAUPUN RUMAH ISTERI YANG TINGGAL BERJAUHAN DIKIRA SEBAGAI SEBAGAI TEMPAT TINGGAL HARIAN? 


Para ulama’ berbeza pandangan dalam hal ini. 


Pandangan 1


Sebahagian ulama’ mengatakan rumah yang ada ahli keluarga ataupun isteri di dalamnya dikira sebagai tempat bermukim. Oleh yang demikian, jika menurut pandangan mereka, jika A tinggal di Kuala Lumur, tetapi pergi ke rumah isteri pada hujung minggu selama dua hari, A tidak dikira sebagai musafir apabila sampai di rumah isterinya di Kedah. A hanya boleh qasar solat dalam perjalanan sahaja. Apabila sampai di Kedah, status sebagai musafir gugur dan wajib solat semprna seperti biasa, walaupun hanya sehari berada di Kedah.


Pandangan 2


Imam Syafi’i pula berpandangan bahawa orang yang bermusafir ke rumah keluarga ataupun ke rumah isterinya  tetap berstatus musafir, bukan bermukim.


Katanya :


وإن سافر رجل من مكة  إلى المدينة  وله فيما بين مكة  والمدينة  مال ، أو أموال ، أو ماشية ، أو مواش فنزل بشيء من ماله كان له أن يقصر ما لم يجمع المقام في شيء منها أربعا وكذلك إن كان له بشيء منها ذو قرابة ، أو أصهار ، أو زوجة ولم ينو المقام في شيء من هذه أربعا قصر إن شاء قد قصر أصحاب رسول الله صلى الله عليه وسلم معه عام الفتح وفي حجته وفي حجة أبي بكر  ولعدد منهم بمكة  دار ، أو أكثر وقرابات منهم أبو بكر  له بمكة  دار وقرابة وعمر  له بمكة  دور كثيرة وعثمان  له بمكة  دار وقرابة فلم أعلم منهم أحدا أمره رسول الله صلى الله عليه وسلم بالإتمام


Jika seorang bermusafir dari Mekah ke Madinah, dan di antara Mekah dan Madinah itu dia mempunyai harta, kekayaan, atau binatang ternakan, lalu dia singgah di mana-mana tempat hartanya itu, dia berhak untuk mengqasarkan solat selagi mana dia tidak berniat untuk menetap di mana-mana tempat tersebut selama empat hari.


Begitu juga hukumnya jika dia mempunyai kaum kerabat, ipar duai, atau isteri di mana-mana tempat tersebut; selagi mana dia tidak berniat untuk menetap di mana-mana tempat ini selama empat hari, dia boleh qasar solatnya jika dia mahu.


Para sahabat Rasulullah ﷺ telah qasar solat bersama baginda pada tahun Pembukaan Kota Mekah (Fathu Makkah), semasa Haji Wada' (Haji Perpisahan), dan juga semasa ibadah haji pada zaman Abu Bakar. Padahal, sebahagian daripada mereka mempunyai sebuah rumah atau lebih daripada itu. Mereka juga memiliki ahli keluarga di Mekah. Sebagai contoh, Abu Bakar mempunyai rumah dan ahli keluarga di Mekah, Umar mempunyai banyak rumah di Mekah, dan Uthman mempunyai rumah serta ahli keluarga di Mekah. Namun, saya tidak mengetahui seorang pun dalam kalangan mereka yang diperintahkan oleh Rasulullah ﷺ supaya sempurnakan solatnya (solat penuh empat rakaat)."


Dalam kitab al-Umm, jelas bahawa pandangan Imam Syafi’i berbeza dengan pandangan pertama.


📚KETUJUH : KESIMPULAN RINGKAS KES


💠 Bagi kes rutin berulangalik hujung minggu ke Kedah rumah isteri yang bekerja di sana, ataupun ke Kuala Lumpur ke rumah suami yang bekerja di sana :


a. Jika ambil kira pandangan 1, anda hanya boleh qasar dalam perjalanan sahaja. 


Apabila anda sampai di rumah isteri, anda tidak lagi boleh qasar. Jika ada keperluan mendesak yang membenarkan jama’, anda hanya boleh jama’ atas sebab perkara lain yang membenarkan jama’, tetapi bukan kerana musafir. Ini kerana pandangan pertama menganggap anda bukan lagi musafir setelah sampai di rumah isteri.


b. Jika ambil kira pandangan 2, iaitu pandangan Imam Syafi’i, anda tetap dikira sebagai musafir walaupun sudah sampai di rumah isteri di Kedah, sebab anda hakikatnya bukanlah bermukim di sana.  Oleh itu, anda tetap boleh qasar walaupun sudah sampai di Kedah, dengan syarat tidak niat hendak bermukim di sana lebih daripada 4 hari. Dan boleh jama’ bila ada keperluan seperti terlalu penat dan sebagainya atas tiket anda sebagai musafir.


💠 Demikian juga bagi kes balik kampung, yang menjadi persoalan dan perbahasan evergreen. Bagi kita, boleh qasar, dan boleh jama’ apabila perlu, dengan mengambil kira pandangan kedua. Apabila tiada keperluan, ataupun lebih 4 hari di kampung, solatlah secara sempurna dalam waktunya, mengambil kira pandangan pertama.


Bagi semua situasi, galakan solat berjemaah tetap berterusan semasa bermusafir. Perbezaan antara pahala solat sendirian dengan pahala solat berjamaah tetap berlangsung. Oleh itu, sama ada kita qasar sahaja, ataupun kita qasar dan jama’ sekaligus kerana ada keperluan, lakukan semuanya sedaya upaya secara berjamaah.


💠 Pandangan kedua daripada Imam Syafi’i ini menjadi pilihan kita bagi kes suami isteri yang berulang alik secara mingguan, kerana hujah Imam Syafi’i dalam Kitab al-Umm yang kita nukilkan di atas sangat jelas dan menenangkan. Selari dengan sabda Nabi Muhammad saw :


السَّفَرُ قِطعةٌ مِنَ العَذابِ، يَمنَعُ أحَدَكُم طَعامَه وشَرابَه ونَومَه


Maksudnya : “Perjalanan jauh (safar) itu salah satu daripada kesusahan yang berat, menghalang kalian daripada makan, minum dan tidur (seperti biasa)…”

(Sahih al-Bukhari)


Perjalanan jauh biasanya memang memenatkan apatah lagi secara rutin. Apabila ada dua pandangan, dan di antara keduanya ada pandangan yang :


i) lebih menepati hadith ataupun amalan nabi Muhammad saw dan para sahabat, 

ii) lebih mudah, 


…maka itulah yang menjadi pilihan kita.


Ini menepati :


a.  hadith nabi Muhammad saw :


يَسِّروا ولا تُعَسِّروا، وبَشِّروا ولا تُنَفِّروا.


Maksudnya : Make things easy and do not make them difficult, cheer people up and do not drive them away.”

(Sahih al-Bukhari)


b. hujung ayat 59 Surah al-Nisa’ :



والله الموفق


Rabu

24 Zulhijjah 1447H

10 Jun 2026M

2.51 pm


0 comments:

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Powerade Coupons