🔴 SOALAN :
Assalamualaikum.
A. Mohon penjelasan ustazah, bilakah waktu bermula solat sunat bulan Rejab?
B. Mohon terangkan juga, apakah amalan yang perlu dilakukan dalam bulan Rejab dan ganjarannya?
C. Adakah kita disunatkan berdoa :
اللهم بارك لنا في رجب وشعبان، وبلغنا رمضان؟
🔴 JAWAPAN RINGKAS :
✍🏻A. Tidak ada solat sunat bulan Rejab.
Dalam bulan Rejab, kita diperintahkan supaya solat wajib dan solat sunat sepertimana yang sedia ada seperti dalam bulan-bulan lain.
✍🏻B. Semua hadith yang menyebut tentang kelebihan amalan tertentu dalam Rejab adalah hadith palsu, sama ada solat Rejab, puasa Rejab, istighfar Rejab dan lain-lain.
Jikalau puan mahu banyakkan ibadah dalam bulan Rejab :
a. Banyakkan dan tingkatkan kualiti amalan solat sunat rawatib - qabliyyah dan ba’diyyah dengan lengkap, baik muakkadah mahupun ghayr muakkadah.
b. Banyakkan dan tingkatkan kualiti solat sunat nawafil seperti Dhuha dan Witir.
c. Tingkatkan solat berjemaah jika belum istiqamah solat berjemaah sebelum ini.
d. Puasalah sunat Isnin Khamis dan hari-hari putih sepanjang bulan Rejab.
e. Banyakkan berdoa dengan doa yang diajarkan oleh Nabi Muhammad saw dan menghayatinya.
f. Tingkatkan bacaan dan tadabbur al-Quran.
g. Tingkatkan bertaubat dan beristighfar, khususnya lafaz penghulu istighfar.
h. Perbaiki akhlak dalaman dan luaran kita.
Akhlak dalaman misalnya takut kepada Allah, sentiasa merasakan pengawasan Allah, ikhlas kepada Allah, malu kepada Allah, dan cintakan cara ibadah yang diajarkan oleh utusan Allah.
Akhlak luaran misalnya banyakkan senyuman,
i. Tutup aurat dengan lebih sempurna.
j. Menuntut ilmu yang sahih.
Ini kerana menuntut ilmu adalah suatu bentuk jihad yang memerlukan komitmen dan kesungguhan. (Menuntut ilmu dengan disiplin yang betul berbeza dengan mendapatkan info secara santai seperti menonton video dan melayani Tiktok)
Meningkatkan amalan perlu berdasarkan ilmu, seiring dengan makna ayat 2 Surah al-Mulk yang menekankan soal amalan yang lebih baik, bukan sekadar lebih banyak semata-mata.
Ringkasnya, pada bulan Rejab kita tingkatkan amalan yang sedia ada dalam bulan lain dan tingkatkan kualitinya, kerana tidak ada amalan khusus untuk bulan Rejab sahaja walaupun ia adalah salah satu daripada bulan haram.
✍🏻C. اللهم بارك لنا في رجب وشعبان، وبلغنا رمضان
Hadith tentang doa yang puan tanyakan di atas ini adalah hadith daif.
Jika puan mahu berdoa begini, anggaplah ia sebagai doa puan sendiri, bukan doa yang diajarkan oleh Nabi Muhammad saw.
اللهم أعنا على ذكرك وشكرك وحسن عبادتك
١ رجب ١٤٤٥ ه
0 comments:
Post a Comment