BILAKAH SOLAT BOLEH DI JAMA’ SECARA TAMAM/SEMPURNA RAKAAT TANPA QASAR?
Jawapan Ringkas :
🔴 A. SOLAT QASAR UNTUK ORANG MUSAFIR SAHAJA, SOLAT JAMA’ UNTUK MUSAFIR DAN BERMUKIM
Qasar dan jama’ adalah 2 bentuk keringanan yang Allah kurniakan kepada hamba-hambaNya dalam beribadah. Qasar ialah memendekkan solat fardhu 4 rakaat menjadi 2 rakaat. manakala jama’ ialah menghimpunkan 2 solat fardhu dalam satu waktu, iaitu solat Zuhur dehgan Asar, ataupun solat Maghrib dengan ‘Isya’.
Solat qasar hanya dikhususkan kepada orang bermusafir sahaja.
Manakala solat jama’ disyariatkan kepada orang bermusafir dan juga orang bermukim.
Ini bermakna, orang musafir boleh qasar dan jama’ sekaligus, berdasarkan dalil, antaranya hadith Nabi Muhammad saw :
أنَّ رَسولَ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عليه وسلَّمَ جَمع بيْنَ الصَّلَاةِ في سَفْرَةٍ سَافَرَهَا في غَزْوَةِ تَبُوكَ، فَجَمع بيْنَ الظُّهْرِ وَالْعَصْرِ، وَالْمَغْرِبِ وَالْعِشَاءِ
قالَ سَعِيدٌ: فَقُلتُ لاِبْنِ عَبَّاسٍ: ما حَمَلَهُ علَى ذلكَ، قالَ: أَرَادَ أَنْ لا يُحْرِجَ أُمَّتَهُ.
Abdullah bin ‘Abbas melaporkan bahawa Rasulullah saw menghimpunkan solat fardhu dalam satu perjalanannya dalam Perang Tabuk, baginda himpunkan solat Zuhur dengan Asar (dalam sayu waktu), dan solat Maghrib dengan ‘Isya’ (dalam satu waktu.
Kata Sa’id (perawi hadith), saya bertanya kepada Ibn Abbas, ‘Apa yang mendorong baginda buat begitu?’ Jawab Ibn ‘Abbas, ‘Baginda tidak mahu menyukarkan umatnya.’
(Sahih Muslim)
🔴 B. ORANG BERMUKIM BOLEH SOLAT JAMA’ TAMAM APABILA ADA KESUKARAN MENDESAK
Orang bermukim boleh jama’ sahaja tanpa qasar hanya apabila ada KESUKARAN yang tertentu.
Hikmah dibenarkan jama’ solat kepada orang bermukim ialah untuk menghilangkan KESUKARAN MENDESAK YANG DIHADAPI KETIKA ITU . Ini selari dengan maksud ayat al-Quran :
لقوله تعالى : ( يريد الله بكم اليسر ولا يريد بكم العسر ) ، ولقوله : ( وما جعل عليكم في الدين من حرج ).
Kesukaran mendesak itu luas maknanya termasuklah sakit, musafir, hujan lebat yang menyebabkan banjir lumpur, cuaca terlalu sejuk, tugas yang tidak boleh ditinggalkan kerana melibatkan nyawa insan dan sebagainya yang berkaitan dengan KESUKARAN MENDESAK.
Ini dijelaskan oleh hadith Nabi Muhammad saw, antaranya :
عن عبد الله بن عباس رضي الله عنهما ( أن النبي صلى الله عليه وسلم جمع بين الظهر والعصر ، وبين المغرب والعشاء في المدينة من غير خوف ولا مطر ) قالوا : ما أراد إلى ذلك ؟ قال : ( أراد أن لا يحرج أمته )
Abdullah bin Abbas melaporkan bahawa Nabi Muhammad saw pernah menghimpunkan solat Zuhur dengan Asar, dan solat Maghrib dengan ‘Isya, semasa baginda saw berada di Madinah, bukan dengan sebab takutkan musuh dan bukan juga sebab hujan.
Ditanyakan kepada Abdulllah bin ‘Abbas sebagai sahabat perawi hadith, “Apa tujuan baginda saw jama’ kan solat itu?’ Jawab Ibn ‘Abbas : ‘Baginda tidak mahu menyukarkan umatnya.’
(Sshih Muslim)
Hadith ini menunjukkan jama’ solat dibenarkan jika ada kesukaran mendesak, tidak semestinya kerana hujan yang menyekat jalan ke masjid, ataupun kerana takutkan musuh.
🔴 C. Hukum Orang Jama’ Solat Tanpa Keuzuran/Kesukaran Yang Dibenarkan
Para ulama’ mengatakan bahawa :
الجمع بين الصلاتين من غير عذر من الكبائر.
‘Jama’ 2 solat dalam 1 waktu tanpa keuzuran termasuk dalam kategori dosa besar.’
Jama’ solat tanpa kesusahan ataupun keuzuran yang dibenarkan syara’ adalah seperti orang yang sengaja tidak solat fardhu dalam waktu yang diwajibkan. Hukumnya berdosa besar.
Ini kerana setiap solat fardhu itu wajib dilakukan pada waktunya yang telah ditentukan. Allah swt berfirman :
إِنَّ الصَّلَاةَ كَانَتْ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ كِتَابًا مَوْقُوتًا ﴾ [النساء: 103]
Maksudnya : “Sesungguhnya solat itu menjadi kewajipan ke atas orang-orang beriman dalam waktu yang telah ditentukan.”
Al-Nisa : 103
Oleh kerana setiap solat ada waktu tersendiri, seseorang itu tidak boleh himpunkan 2 solat dalam satu masa kecuali dengan sebab syar’i iaitu wujud kesukaran yang mendesak, bukan sebab yang diada-adakan.
CONTOH KEADAAN TIDAK BOLEH JAMA’ :
Sekadar hujan biasa
Sekadar cuaca sejuk
Sekadar mahu cepat ke tempat kerja
Sekadar sibuk bekerja
Sekadar sakit yang masih boleh bergerak ke sana ke mari
Sekadar waktu Isya’ masuk lewat
🔴 D. Bolehkah Jama’ Solat Bagi Mereka Yang Tinggal di Kawasan Solat Isya’nya Masuk Terlalu Lewat Malam?
Salah satu perkara yang dibincangkan oleh para ulama’ dalam bab ini ialah bolehkah jama’ solat apabila waktu Isya’ terlalu lewat di negara-negara tertentu.
Sama seperti sebab-sebab lain yang bergantung kepada situasi dan tahap kesukaran yang dihadapi dalam sesuatu masa, demikianlah juga dalam hal ini.
Misalnya :
Doktor
Bukan semua doktor pembedahan boleh jama’ solat apabila terlibat dengan pembedahan.
A Dan B Dilanda Banjir
Jika A berada di tempat yang dilanda banjir, dan dia boleh solat di tingkat atas rumahnya, maka A tidak boleh jama’ tamam.
JIka B berada di tempat sama yang dilanda banjir, rumahnya ditenggelami air sampai ke atap, dan dia sedang menunggu bantuan di atas bumbung rumahnya, maka B boleh solat jama’ tamam.
W, X, Y dan Z Di Kawasan Isya’ Lewat Malam
W menghadapi masalah hendak menunggu Isya’ yang masuk jam 11.00 malam kerana dia perlu keluar bekerja jam seawal 2.30 pagi. Maka W dibenarkan untuk melakukan jama’ taqdim.
X berada di tempat yang sama iaitu mengalami waktu solat ‘Isya lewat, namun dia tidak bekerja, dia boleh tidur sebentar pada waktu siang, dan dia tidak ada keperluan mendesak untuk solat jama’ tamam. Maka X adalah orang yang perlu solat Isya’ apabila masuk waktu ‘Isya.
Y juga berada di tempat yang sama, bekerja sampai petang jam 5.00, kemudian selepas Maghrib jam 9.00 malam dia boleh bertahan untuk menunggu Isya’ malah boleh berjemaah dengan ahli keluaganya.
Ketika Y mengantuk, dia tidur sebentar kira-kira sejam, kemudian jam 11.00 dia bangun untuk solat Isya’, maka dia tidak ada keperluan mendesak untuk jama’ tamam.
Y perlu solat Isya’ dalam waktunya, bukan dalam waktu Maghrib.
Y boleh jama’ taqdim pada hari dia terlalu penat ataupun sakit dan tidak mampu menunggu waktu Isya’ pada hari tersebut.
Rumah Z di sebelah masjid. Imam masjid di sebelah rumahnya menunaikan solat Maghrib dan Isya’ secara jama’ taqdim tamam, bersama golongan yang ada keperluan mendesak untuk jama’ solat kerana mereka balik lewat petang dan keluar bekerja awal pagi. Z sendiri bekerja di rumah dengan masa yang fleksibel, dan masa Isya’ yang lewat langsung tidak menganggu apa-apa.
Z boleh berjemaah Maghrib di masjid namun dia tidak boleh jama’ Maghrib dengan Isya’ kerana dia tiada keperluan mendesak untuk jama’ solat.
Z boleh solat berjemaah di rumah dengan ahli keluarganya, ataupun dengan ahli jemaah lain yang tidak jama’ solat.
Jika tiada, maka Z solat sendirian.
* Soalan Tambahan :
Selama 3 tahun lamanya Z telah solat jama’ taqdim Maghrib dan ‘Isya’ secara berjemaah, kerana dia menyangka dia juga berhak untuk jama’kan solat walaupun dia tiada keperluan mendesak. Adakah dia perlu mengulangi solat di atas ketidaktahuannya tentang hukum jama’ tanpa keperluan?
Jawabnya :
Tidak perlu mengulangi kerana Z melakukannya atas sebab kejahilannya tentang hukum hakam.
Z perlu bertaubat dengan memenuhi 5 syarat (yang tidak melibatkan kesalahan dengan orang lain) iaitu :
a. Ikhlas
b. Tinggalkan kesilapannya, jangan teruskan
c. Menyesal
d. Azam tidak mengulangi
e. Taubat dalam waktu masih dibenarkan
Taubat maknanya kembali mentaati perintah Allah selepas melakukan kesilapan. Semoga Allah merahmati Z di atas usahanya menjadi hamba Allah yang baik.
🔴 Kesimpulan Ringkas :
Asas yang perlu diambil perhatian dalam jama’ tamam ini ada 3 iaitu :
- Wajib tunaikan solat dalam waktu yang telah ditetapkan.
- Jama’ tanpa keuzuran umpama meninggalkan solat yang wajib dilakukan dalam waktunya, hukumnya berdosa besar.
- Boleh jama’ ketika ada kesukaran mendesak, dan tahap kesukaran berbeza-beza walaupun berada di tempat yang sama.
اللهم اهدنا وسددنا
والله أعلم
والله الموفق
Isnin
10 Rejab 1445 H
22 Januari 2024
0 comments:
Post a Comment