Saturday, August 05, 2023

ASYURA’ BUKAN BUBUR

Assalamualaikum.

Apabila kita ditanya tentang bubur Asyura pada bulan Muharram, kita teringat kepada ayat 70-71 Surah al-Ahzab.


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَقُولُوا قَوْلًا سَدِيدًا (70)

  يُصْلِحْ لَكُمْ أَعْمَالَكُمْ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ وَمَنْ يُطِعِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ فَقَدْ فَازَفَوْزًا عَظِيمًا (71) 


“Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah, dan katakanlah perkataan yang tepat benar (dalam segala perkara),


Supaya Dia memberi taufiq dengan menjayakan amal-amal kamu, dan mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah) sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, maka sesungguhnya ia telah berjaya mencapai sebesar-besar kejayaan.”


Ayat ini mengandungi perintah Allah yang mesti dipatuhi, melebihi perintah-perintah manusia.

Tiada sesiapa yang mengacau bubur Asyura di Makkah dan Madinah, tempat dakwah dan perjuangan Nabi Muhammad saw selama 23 tahun.


Nabi dan para sahabat tidak mengacau bubur beramai-ramai pada bulan Muharram, ataupun pada 10 Muharram, tetapi berpuasa beramai-ramai pada hari Asyura’ itu.


‘Asyura’ adalah nama bagi hari ke-10 Muharram. Akibat daripada penyebaran hadith palsu, maka ada umat Islam menyangka mengacau bubur pada hari itu adalah amalan agama. Malah bubur itu diletakkan nama sebagai bubur ‘Asyura’ , iaitu bubur hari ke-10.


Nabi Muhammad saw mengajar kita satu sikap dan pendirian yang perlu diambil mengenai Hari Asyura’ :


  1. Ia bukan hari bersedih.
  2. Ia bukan hari perayaan.
  3. Ia  HARI PUASA SUNAT


Mengaitkan amalan mengacau bubur dengan bulan Muharram adalah perbuatan menambah-nambah dalam agama. Perbuatan ini telah mengganggu syariat asal yang telah disempurnakan oleh Nabi Muhammad saw. Gambaran mengganggu syariat asal ini boleh kita fahami apabila ada orang, termasuk di kalangan saudara baru, menyangka mengacau bubur Asyura pada bulan Muharram adalah anjuran agama Islam, padahal ia bukan begitu.


Bubur itu jikalau ada sepanjang tahun dan dianggap kedudukannya sama taraf dengan dodol dan kuih muih lain,  barulah menepati agama, menepati sunnatullah dan syariatullah.


Malahan bubur itu sebenarnya tidak sesuai dinamakan sebagai bubur Asyura’, kerana ia bermaksud hari yang ke-10. 


Kepada sesiapa yang mahu membuat dan menikmatinya kerana ia adalah makanan yang dirasakan sedap, serta menghidupkan semangat bergotong-royong, maka dicadangkan begini :


a. cuba dibuat di luar bulan Muharram

b. dibuat sepanjang tahun seperti kuih lain - dodol, lempuk, gelembung buaya dan sebagainya.

c. tidak dikaitkan dengan bulan tertentu, tidak dikaitkan dengan ibadah dan kelebihan dalam agama, sama seperti dodol dan kuih lain yang tiada kelebihan khusus dalam agama.

d. ditukar namanya kepada bubur Mahabbah dan lain-lain, kerana nama Asyura’ sangat bertentangan dengan fakta.

e. elakkan berlaku pembaziran, jangan semata-mata mengadakan ‘majlis’ sedangkan ramai yang tidak menjamahnya. 


Menerima sesuatu kebenaran  adakalanya tidak mudah, lebih-lebih lagi ia adalah amalan tradisi setempat. 


Bagi kita, kuih berwarna kelabu asap kehitaman itu tidak bersalah. Rasanya sedap bagi sesetengah orang dan bahannya baik lagi halal. Agar kita tidak termasuk dalam golongan mereka-reka dalam agama yang sudah sempurna, telitilah 5 perkara di atas dengan sebaiknya. 


Jika sekadar mahu merapatkan ukhuwwah sesama kita, barangkali majlis memasak nasi pilaf ataupun nasi lemak beramai-ramai mungkin lebih baik apabila ia dirasakan lebih menepati citarasa dan selera ramai orang.


Mungkin atas faktor kesedaran dan juga permintaan, di negeri tertentu, bubur Malaysia ataupun bubur Mahabbah ini sebenarnya sudah mula dijual di pasar seperti kuih-kuih lain, sepanjang tahun. 


اللهم إني أسألك علما نافعا

ورزقا طيبا

وعملا متقبلا


0 comments:

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Powerade Coupons