Wednesday, September 13, 2023

JANGAN SEBAR VIDEO HADITH PALSU

 Assalamualaikum.

Tolong jangan sebar video ini (berkenaan dakwaan Nabi Muhammad saw mengajar zikir baru melalui mimpi). Perbuatan menyebarkan dakwaan ini adalah salah satu bentuk sebaran pendustaan atas nama Nabi Muhammad saw.

Semua jenis zikir (termasuk doa, selawat dan istighfar) ajaran Nabi Muhammad saw sudah termaktub dalam al-Quran dan hadith yang sahih, maka para ulama’ menyusun dan mengumpulkannya dalam kitab-kitab hadith mu’tabar, serta berusaha sedaya upaya mengamalkan dan menyebarkannya.

Zikir-zikir tersebut telah diajarkan baginda saw secara langsung kepada para sahabat, dan dinukilkan dari generasi ke generasi melalui sanad yang sahih. Bukan melalui mimpi!

Perbuatan menambah amalan yang didakwa datang daripada mimpi orang tertentu mengganggu syariat dan petunjuk asal yang dibawa oleh Nabi Muhammad saw.

Ada 2 hadith sahih yang penting diketahui semua tentang larangan berdusta atas nama Nabi Muhammad saw.

🔴Hadith Pertama :

إنَّ مِنْ أفْرٰى الفِرٰى أنْ يُرِيَ عينَهُ ما لَمْ تَرَ
Maksudnya : Sabda Nabi Muhammad s.a.w. :
“Sesungguhnya menipu dengan membuat cerita palsu yang paling besar ialah mendakwa dia melihat sesuatu dalam mimpi yang sebenarnya dia tidak lihatpun perkara itu dalam mimpinya.”

Sahih al-Bukhari, Kitab al-Ta’bir

🔴Hadith Kedua :

وَمَنْ كَذَبَ عَلَىَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ ‏"


Maksudnya : Sabda Nabi Muhammad saw : “Dan sesiapa berdusta atas (nama)ku dengan sengaja, bersiap sedialah untuk mengambil tempatnya dalam neraka.”

Sahih al-Bukhari, Kitab Ahadith al-Anbiya’.

Umumnya berbohong atas nama Nabi Muhammad saw dilakukan menerusi 3 cara :

❌i. Berbohong bahawa baginda bersabda sekian dalam hadith (riwayat dengan matan dan sanad palsu)
❌ii. Berbohong nampak baginda semasa sedar atau jaga, padahal yang dilihat itu bukanlah nabi, lalu mendakwa orang yang didakwa sebagai nabi itu menyampaikan bacaan atau ajaran tertentu untuk diamalkan.
❌iii. Berbohong bermimpi nampak baginda, padahal yang dilihat dalam mimpi itu bukan nabi, lalu mendakwa diajarkan bacaan ataupun amalan tertentu.

Peringatan :

1. Syariat Islam sudah sempurna ditinggalkan oleh Nabi Muhammad saw, dalam al-Quran dan hadith yang sahih/thabit.

Tidak boleh menjadikan mimpi sebagai sumber agama.

2. Syaitan boleh datang kepada manusia dengan merupa ataupun menyamar sama ada dalam keadaan jaga ataupun dalam mimpi demi untuk menjauhkan manusia daripada ajaran sebenar Nabi Muhammad saw.


3. Berusahalah untuk mendalami agama mengikut disiplin yang betul, sebagaimana difahami oleh generasi terbaik para sahabat dan tabi’in, agar kita tidak tertipu dengan hadith palsu dan pelbagai dakwaan.

4. Amalkan semak dan tanya sebelum sebar supaya kita tidak termasuk dalam golongan orang yang berdusta atas nama Nabi Muhammad saw.

5. Sentiasa berdoa mohon jalan yang lurus dan ilmu yang bermanfaat.

اللهم اهدنا وسددنا
27 Safar 1445 H

0 comments:

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Powerade Coupons