Saturday, December 02, 2017

Zikir Dan Istighfar Untuk Memajukan Bisnes?

Pandangan Ringkas Tentang Zikir Dan Istighfar Bagi Melariskan Jualan Dan Memajukan Bisnes

🔸Dalam hadith sahih, disebut bahawa Nabi Muhammad saw memang beristighfar lebih daripada 70 kali sehari. 

عن أبي هريرة : سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول :

والله، إني لأستغفر الله وأتوب إليه في اليوم أكثر من سبعين مرة.

Maksudnya : 

Abu Hurairah ra melaporkan, ‘Saya mendengar Rasulullah saw bersabda, “Demi Allah, saya beristighfar memohon ampun kepada Allah dan bertaubat kepadaNya lebih daripada 70 kali sehari.”

(Sahih al-Bukhari, Kitab al-Da’awaat)
Dalam hadith sahih lain, disebut dengan lafaz 100 kali sehari.

Orang yang mempelajari hadith-hadith sahih dengan cara berdisiplin
akan faham akan kepentingan istighfar, dan ingin beristighfar mengikut cara Nabi Muhammad saw. 

Namun bukan dengan niat menggandakan rezeki, memajukan bisnes dan tujuan-tujuan dunia yang lain.

🔸Cara sesetengah pihak memperkenalkan ‘agama’ kepada masyarakat ada kalanya boleh menghilangkan ‘jiwa’ agama itu sendiri.

Mengaji al-Quran untuk maju bisnes, berzikir untuk bisnes, bersedekah juga untuk bisnes.

🔸Ya, istighfar membuka pintu rezeki. Selawat membuka pintu rezeki. Sedekah juga membuka pintu rezeki. Namun ia mesti diniatkan ikhlas kerana Allah, kemudian barulah Allah swt bukakan pintu rezeki mana yang sesuai untuk kita. 

Allah-lah yang membuka pintu rezeki,  maka beramallah dengan ikhlas dan mengikut sunnah, kemudian mohonlah hajat kita kepada Allah.

Ia jauh berbeza jika kita mula duduk berzikir 100 kali dengan niat semata-mata hendak majukan bisnes, sedangkan tidak faham apa maksud لا اله الا الله, tiada penghayatan semasa sebut استغفر الله dan sebagainya.

🔸Apabila kita faham besarnya erti istighfar di sisi Allah, tidak akan terlintas di benak kita ‘hendak istighfar supaya bisnes kita maju’. 

Apa yang kita ingat semasa beristighfar ialah kita ada dosa kecil dan dosa besar, dan kita mohon Allah ampunkan semua dosa-dosa kita.

🔸Rezeki yang paling dirasai nikmatnya berpanjangan, ialah iman dan ilmu yang sahih.

Meskipun makan berjimat, pakai mana yang ada, tidak begitu ‘trendy’, namun jiwa begitu tenang kerana dapat mengamalkan ajaran al-Quran dan al-Sunnah yang terang, jauh daripada keserabutan maklumat berpunca hadith palsu, amalan khurafat dan sebagainya.

Allah berkuasa memberikan rezeki kepada sesiapa sahaja. Ada banyak rezeki yang Allah kurniakan kepada kita, yang tidak pernah kita minta. 

Barangkali, itu natijah daripada istighfar dan selawat yang kita lakukan dengan ikhlas kerana Allah, dan mengikut sunnah Utusan Allah. 

Barangkali, ia juga natijah daripada kita bantu orang lain dengan ikhlas, tanpa mengharapkan sebarang balasan, melainkan balasan dan kurniaan Allah.

Banyakkan zikir ma’thur, selawat dan istighfar, kerana ia tuntutan terhadap kita sebagai hamba Allah.

Banyakkan mempelajari realiti hidup para sahabat, ada yang kaya, ada yang miskin, namun semua mereka ‘kaya jiwa’.

Apapun keadaan , mereka tetap berpegang kepada al-Quran dan al-Sunnah.

والله أعلم

0 comments:

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Powerade Coupons