Monday, December 04, 2017

ISLAM, MA’RIFATULLAH DAN ITTIBA’ SUNNAH RASULULLAH SAW

🔸Allah swt  menurunkan agama yang lengkap dan bersistem, menerusi Nabi Muhammad saw. Setiap suruhan dan larangan mengandungi hikmah yang mendalam. 

🔸Agama yang Allah turunkan itu dipelihara Allah swt dalam disiplin ilmu yang kemas. 

Allah swt memelihara al-Quran daripada sebarang tokok tambah, dan Allah memelihara hadith Nabi saw daripada campur tangan manusia. 

Setiap kali tersebar hadith palsu misalnya, akan ada ulama’ yang mendalami ilmu al-Quran dan al-Sunnah akan menepis dan memperingatkan akan kepalsuannya. 

🔸Allah swt Maha Mengetahui akan tabiat dan sikap hamba-hambaNya, sama ada mereka bernama ulama', ustaz, ustazah, kiyai, tok guru, murid ataupun orang awam.

Semua hamba Allah, tidak kira siapa mereka, Allah perintahkan agar kembali kepada ajaran Allah dan RasulNya, yakni al-Quran dan al-Hadith, apabila timbul di kalangan mereka perselisihan dan pertikaian tentang sesuatu dalam agama ini.

Firman Allah swt :

فَإِن تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِن كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ۚ ذَٰلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلًا (59)
Surah al-Nisa' ayat 59.

Oleh yang demikian :

🔸Akidah dan kepercayaan mesti dikembalikan kepada Allah dan Rasul. Barulah akidah itu benar-benar bertepatan dengan akidah sebenar yang Allah perintahkan.

Jangan mereka-reka sesuatu terhadap Allah swt, ataupun meremehkan janji Allah seperti syurga dan neraka, kerana Allah Maha Mengetahui keperluan dan fitrah hamba ciptaanNya. Allah janjikan syurga untuk mereka yang beriman dan beramal saleh, maka jangan  ikut dakwaan yang mengatakan insan tidak boleh beramal untuk mendapatkan syurga. 

Allah tahu sifat dan keinginan hambaNya, maka Allah janjikan neraka bagi mereka yang ingkar dan syirik kepadaNya. 

Inginkan syurga dan takut dilempar ke dalam neraka adalah manifestasi tauhid, iman,  cinta, takut dan harap kepada Allah. Inginkan syurga dan takut balasan neraka adalah  sebahgagian daripada ma’rifatullah.

🔸Syariat, ibadat dan fiqah mesti dikembalikan kepada Allah dan Rasul. Barulah ibadah yang kita amalkan itu bertepatan dengan ibadah sebenar yang Allah perintahkan.

Allah swt utuskan Nabi Muhammad saw supaya mengajar manusia bagaimana jendak TAUHIDKAN ALLAH. Maka daripada  Nabi saw kita belajar cara solat, cara zikir, cara puasa, cara uruskan jenazah, cara membersihkan jiwa, cara berurusniaga, cara berkeluarga dan lain-lain.

Semuanya mesti dipelajari dengan disiplin yang betul, pastikan datang daripada sumber yang betul. 

Misalnya zikir, pastikan ia ajaran Nabi saw dan amalan para sahabat. Ada golongan yang cuba menipu orang ramai dengan mendakwa zikir menari misalnya diamalkan oleh sahabat, dengan mengelirukan istilah ‘sanad’ dan sebagainya. 

Zikir yang diajarkan oleh Nabi saw sudah jelas caranya, jumlahnya dan lafaznya dalam hadith-hadith yang sahih. 

🔸Tazkiyah al-nafs, iaitu penyucian jiwa ataupun akhlak zahir dan batin, juga mesti dikembalikan kepada Allah dan Rasul. 

Barulah usaha kita menyucikan jiwa bertepatan dengan kehendak Allah swt, dan memuaskan hasilnya!

Nabi Muhammad saw diutuskan untuk memberishkan jiwa-jiwa manusia, sepertimana yang dinyatakan dalam firman Allah swt :

لَقَدْ مَنَّ اللَّهُ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ إِذْ بَعَثَ فِيهِمْ رَسُولًا مِّنْ أَنفُسِهِمْ يَتْلُو عَلَيْهِمْ آيَاتِهِ وَيُزَكِّيهِمْ وَيُعَلِّمُهُمُ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ وَإِن كَانُوا مِن قَبْلُ لَفِي ضَلَالٍ مُّبِينٍ (164)

Surah Ali ‘Imran ayat 164.

Dalam apa sahaja lirik ciptaan manusia, seperti nasyid, qasidah, syair, sajak, burdah, pantun, barzanji, gurindam dan lain-lain hendaklah menepati roh al-Quran dan al-Hadith. 

Apa sahaja yang menyalahi prinsip akidah, prinsip syariat dan prinsip tazkiyatunnafsi hendaklah dibersihkan. Termasuklah dakwaan dan kisah palsu tentang Nabi Muhammad saw.

Ramai yang salah sangka bahawa menyucikan jiwa mesti dengan bersuluk, berzikir dalam gelap, berzikir berjamaah dengan dipimpin syeikh dan sebagainya.

Sebenarnya, menyucikan jiwa mestilah dimulai dengan memahami erti tauhid dan kepentingan mengikut sunnah Nabi saw.  

Fahami makna bacaan kita dalam solat, amalkan zikir dan doa dalam hadith-hadith yang sahih. Berwudhu’ dengan baik dan hayati doa selepas wudhu’. Semua amalan yang dianjurkan oleh Rasulullah saw dalam hadith sahih boleh membersihkan jiwa. Apa yang tidak diajarkan oleh Rasulullah saw tidak akan membersihkan jiwa, walaupun didakwa ‘ada sanad’.

Tuntutan mengembalikan semua perkara di atas kepada al-Quran dan al-Hadih adalah terpikul di atas bahu para ulama' rabbani yang ikhlas dan benar-benar menguasai disiplin ilmu. 

Contoh : Konsep Nur Muhammad bertentangan dengan ajaran al-Quran dan al-Hadith. Nabi Muhammad saw seorang manusia, keturunan Adam alaissalam, bukan dicipta daripada cahaya. 

🔸Dalam usaha mendalami ilmu agama, perlu kita selalu memohon kepada Allah agar ditunjukkan jalan yang lurus. Mohon dikurniakan ilmu yang bermanfaat dan mohon diberikan kefahaman yang baik.

Antara doa penting dimohon kepada Allah ialah 2 doa berikut. 

Pertama dibuat sebelam malam, iaitu sebagai doa iftitah/istiftah pada rakaat pertama solat qiyamullail, manakala doa kedua diamalkan siang setiap selepas Solat Subuh. 

اللَّهُمَّ رَبَّ جِبْرِيلَ وَمِيكَائِيلَ وَإِسْرَافِيلَ فَاطِرَ السَّمَوَاتِ وَالْأَرْضِ عَالِمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ أَنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ اللَّهُمَّ اهْدِنِي لِمَا اخْتُلِفَ فِيهِ مِنْ الْحَقِّ بإذْنِكَ إِنَّكَ تَهْدِي مَنْ تَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ

Maksudnya : 

Wahai Tuhan malaikat Jibril, Mikail, Israfil, Pencipta langit dan bumi, Maha Mengetahui perkara ghaib dan nyata, Engkaulah yang memutuskan perkara yang diperselisihkan di kalangan hamba-hambaMu.

Tunjukilah daku kebenaran dalam perkara yang diperselisihkan itu, sesungguhnya Engkau membimbing orang yang Engkau kehendaki ke jalan yang lurus.
(Sahih Muslim)

اللَّهُمَّ إني أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، عَمَلًا مُتَقَبّلًا.

Ya Allah, aku mohon kepadaMu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik, dan amalan yang diterima (di sisiMu).

(Sunan Ibn Majah. Al-Albani dalam Sahih Ibn Majah - hadith hasan)

0 comments:

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Powerade Coupons