Wednesday, August 05, 2020

Assalamualaikum.

🔴 Dalam pengajian, teks/buku/kitab adalah keperluan yang penting.

Orang dahulu, mereka menggunakan pelbagai medium untuk mencatat pengajaran guru. Ada yang menggunakan wax tablet, clay tablet, papan batu, papirus dan sebagainya. Catatan itu untuk mengikat ilmu dengan tulisan, kemudian diharapkan kekal dalam ingatan setelah tulisan terpadam.

Sumber Gambar : Wikipedia

Ada juga yang terpadam semuanya bersama tulisan!

Orang sekarang ada banyak kemudahan, dengan pelbagai jenis buku, alatulis, tablet, gajet dan sebagainya. Tinggal lagi adakah kita mahu memanfaatkannya dan bagaimana kita memanfaatkannya.

🔴 Kuliah ‘ilmu wahyu’ kita akan dimulakan semula, in syaa Allah.

Wahyu yang diterima oleh Nabi Muhammad saw tersimpan kemas dalam bentuk teks al-Quran dan al-Hadith. Allah memelihara keduanya sehingga jika ada al-Quran palsu ataupun hadith palsu, pasti dapat dikesan dengan cepat.

🔴 Puan-puan yang masih belum memiliki boleh bersiap sedia dengan al-Quran Terjemahan dan kitab/teks Terjemahan Riyad al-Solihin. Mudah didapati di mana-mana kedai buku dan boleh pilih mana-mana terbitan. 

Jika ada kekeliruan dari sudut perbezaan terjemahan misalnya, kita akan huraikan makna yang paling menepati maksud asal dalam ayat al-Quran dan matan hadith berkaitan.

Demikian juga nanti kita akan jelaskan isu-isu hadith daif dan kita akan sama-sama memahami kesan hadith palsu dan hadith daif apabila tiba pada hadith yang berkaitan.

🔴 Kita sudah memilih kitab terbaik untuk pengajian. Harganya memanglah mahal jika kita tidak biasa beli buku yang tebal. Susah pula mahu dibawa ke kuliah, maklumlah agak besar saiznya. Namun dilihat dari sudut kredibiliti pengarang - Imam Nawawi- dan bilangan hadith sahih di dalamnya, rugilah sesiapa yang sayang duit untuk memilikinya.

🔴 Zaman COD ini, bagi sesetengah orang, RM100 seminggu adalah nilai yang dianggap murah untuk membeli pelbagai makanan bukan ruji, kuih, aiskrim, coklat dan kerepek aneka rasa. Semuanya luak, hilang lenyap setelah dinikmati.

Malang jika RM100 dianggap mahal pula untuk sebuah buku yang baik, mungkin kerana merasakan semua maklumat boleh didapati di hujung jari. 

Merasakan cukup peralatan untuk membuat perbandingan sendiri, tanpa mengikuti disiplin pengajian. 

Akibatnya pelbagai sebaran tulisan dan video kita dapati, diceduk sesedap rasa dan diolah sesuka hati, termasuklah perkara-perkara ghaib tentang malaikat dan syaitan, berbohong pula atas nama  Nabi Muhammad saw. 

🔴Teks yang kita gunakan tidak sampai pun RM100, tidak pula luak apabila kita nikmati. Nikmat dan manfaatnya berpanjangan, bergantung kepada cara kita mempelajarinya.

Al-Quran dan al-Hadith kekal sehingga hari kiamat. Namun keduanya perlu difahami dengan disiplin ilmu. Berapa banyak teks yang dimiliki tetapi disalahfahami isinya.  Berapa banyak pula yang diwakafkan namun langsung tidak dibuka, sekadar menjadi perhiasan almari. Berapa banyak pula teks yang mengandungi hadith palsu namun dihadamkan dan diamalkan semua sekali!

Selalulah berdoa kepada Dia Yang Maha Mengurniakan :
اللهم إنا نسألك علما نافعا

🔴Tidak mudah seorang muslimah menghadiri kuliah agama berkala. Tidak ramai yang sabar meneliti satu persatu ayat dan satu persatu hadith dalam judul tersendiri. Namun bagi yang merasai nikmatnya disiplin pengajian, syukur kepada Allah kerana Dia-lah yang memudahkan urusan kita semua. 

Semoga usaha kita bersama dapat memartabatkan 2 pusaka tinggalan Nabi Muhammad saw, dikurniakan ikhlas dalam memburunya, dipayungi malaikat semasa menuntutnya, disayang Allah kerana mengamalkannya, dan seterusnya menjadi amalan soleh yang memberatkan timbangan di akhirat kelak.

Ya Allah
Mohon terima sedikit amalan kami
Mohon ampunkan dosa-dosa kami.

ربنا تقبل منا إنك أنت السميع العليم
وتب علينا إنك أنت التواب الرحيم.
Dr Nabilah Hasan

0 comments:

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Powerade Coupons