Saturday, June 25, 2016

PERLUKAH BERDIRI DAN TAKBIR UNTUK SUJUD TILAWAH DI LUAR SOLAT?



Soalan :

Dalam bulan Ramadhan, kita banyak membaca al-Quran. Apabila kita sampai kepada ayat al-sajdah, kita disunatkan sujud tilawah. Demikian juga dalam bulan-bulan lain apabila kita membaca al-Quran dan sampai kepada ayat al-sajdah.


1. Adakah kita perlu berdiri seperti hendak solat dan mengangkat takbir sebelum sujud?

Ataupun kita boleh sujud terus tanpa mengangkat tangan dan menyebut الله أكبر sebelum sujud?

2. Adakah kita perlu menutup aurat sepenuhnya seperti dalam solat untuk melakukan sujud tilawah. Adakah wanita berpakaian biasa tanpa telekung boleh sujud tilawah?

Jawapan :

Para ulama' mu'tabar membahaskan secara panjang lebar tentang persoalan Sujud Tilawah. Imam Bukhari membuat bab khusus dalam Sahih Bukhari iaitu Abwab Sujud al-Quran.


🔴 Sujud tilawah ialah sujud yang dilakukan dengan sebab kita membaca ataupun mendengar satu ayat daripada ayat-ayat sujud dalam al-Quran.

🔴 Sujud tilawah ada kelebihannya yang tersendiri. Kelebihan ini dinyatakan oleh Nabi Muhammad saw dalam sebuah hadith yang sahih yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah.





Maksudnya : 

"Apabila seorang insan membaca ayat al-sajdah lalu sujud, syaitan lari sambil menangis dan berkata, 'Celaka sungguh. Dia diperintahkan sujud lalu dia sujud, maka baginya syurga. Aku pula diperintahkan sujud tetapi aku ingkar, maka bagiku neraka."

(Sahib Muslim, Kitab al-Iman, Bab Bayan Itlaq Ism al-Kufr 'ala Man Taraka al-Solah)

Selain kelebihan khusus, sujud tilawah sangat digalakkan untuk mendapatkan fadilat amalan sujud secara umum yang boleh meningkatkan darjat dan menghapuskan dosa. 


🔴 Hukum Sujud Tilawah

Dari segi hukum sujud tilawah, sebenarnya terdapat perbezaan pandangan di kalangan para ulama'.

1. Wajib.

Sebahagian ulama' berpandangan bahawa apabila kita sampai kepada ayat al-sajdah, kita wajib sujud tilawah. Antara ulama' yang berpandangan sujud tilawah adalah wajib ialah ulama' mazhab al-Thauri, Abu Hanifah, dan Ibn Taymiyyah.

2. Sunat

Majoriti ulama' berpandangan bahawa sujud tilawah adalah sunat, bukan wajib. Ini adalah pandangan mazhab Imam Malik, al-Syafi'i, al-Auza'i, Daud dan Ibn Hazm. Ia juga pandangan para sahabat seperti Umar al-Khattab, Salman, dan Ibn Abbas.

Walaupun kita sendiri mengambil pandangan bahawa Sujud Tilawah itu hukumnya sunat, kita tetap menghormati para ulama' yang mengatakan ia wajib. Paling kurang ia menunjukkan besar kedudukan sujud tilawah itu dalam Islam.

Jikalau tiada apa-apa halangan, sebaiknya kita tidak tinggalkan sujud tilawah. Selain mendapat pahala, sujud adalah amalan yang paling mendekatkan kita kepada Allah swt. 

Lebih-lebih lagi jika kita berada dalam bulan Ramadhan.

🔴 Berapa kali sujud Tilawah?

Para ulama' bersepakat mengatakan bahawa Sujud Tilawah itu sekali sujud sahaja, seperti sujud syukur. Ia tidak seperti Sujud Sahwi, di mana Sujud Sahwi perlu dilakukan dengan dua kali sujud.

🔴 Perlukah mengangkat takbir untuk Sujud Tilawah?

a. Takbiratul ihram. Tidak disyariatkan mengangkat takbiratul ihram untuk sujud tilawah.

Takbiratul ihram tidak disyariatkan takbir bagi melakukan sujud tilawah, begitu juga salam, kerana ia sujud, bukan solat. Boleh terus sujud tanpa mengangkat takbiratul ihram. Antara ulama' yang berpandangan tidak perlu takbiratul ihram sebelum Sujud Tilawah ialah Syeikhul Islam Ibn Taymiyyah.

b. Takbiratul intiqal. Disyariatkan takbir al-intiqal untuk sujud tilawah iaitu dengan bertakbir tanpa mengangkat tangan.

Sebahagian ulama' mengatakan disyariatkan bertakbir sebelum melakukan sujud tilawah. Takbir ini bukan takbiratul ihram, tetapi takbiratul intiqal, iaitu takbir perpindahan antara satu perbuatan dengan perbuatan yang lain. 


🔴 Perlukah berdiri (qiyam) dahulu sebelum sujud tilawah?

Perlukah bangun berdiri dahulu jika kita sedang membaca al-Quran sambil duduk, ataupun boleh terus bertakbir dan terus sujud tanpa bangun berdiri?

Cara yang paling afdal ialah berdiri dahulu sebelum sujud tilawah. Ulama' yang berpandangan lebih afdal berdiri dahulu antaranya ialah ulama' mazhab Hanbali, salah satu pandangan dalam mazhab Syafi'i dan Ibn Taymiyyah.

Mereka mengatakan lebih afdal bangun dahulu berdasarkan ayat :


Kata mereka, kerana خرور dalam ayat ini bermakna rebah tunduk sujud daripada keadaan berdiri. Oleh yang demikian, sebaik-baiknya berdiri sebelum sujud tilawah.

Walau bagaimanapun, para ulama mazhab Syafii mengatakan tiada dalil khusus yang menunjukkan bahawa disyariatkan berdiri dahulu sebelum sujud tilawah di luar solat. Oleh yang demikian, tidak mengapa jika kita membaca al-Quran sambil duduk, kita terus sujud tanpa berdiri terlebih dahulu.

🔴Hukum mengadap kiblat, suci daripada hadath dan menutup aurat ketika sujud tilawah.

Para ulama' berbeza pandangan dari segi kedudukan sujud tilawah itu sendiri, sama ada ia dikira sebagai solat ataupun tidak. Demikian juga dengan sujud syukur.

Para ulama' yang mengatakan sujud tilawah adalah sama seperti solat menjadikan mengadap kiblat, suci daripada hadath dan menutup aurat sebagai syarat sahnya sujud tilawah, sebagaimana wajibnya perkara-perkara itu dalam solat. Jumhur fuqaha' berpandangan begini.

Manakala ulama' Zahiriyyah mengatakan sujud tilawah bukan solat. Oleh yang demikian mereka tidak mensyaratkan suci daripada hadath untuk mengerjakan sujud tilawah. Antara ulama' yang berpandangan begini ialah Ibn Hazm, Ibn Taymiyyah, Imam Bukhari dan Imam al-Syaukani.




Menurut Imam al-Syaukani, hadith-hadith sujud tilawah tidak menunjukkan perlunya orang yang sujud tilawah itu berwudhu'. Pernah orang datang sujud bersama Nabi Muhammad saw dalam majlis tilawah baginda, dan tidak pernah dinukilkan bahawa baginda menyuruh sesiapapun berwudu' terlebih dahulu, jauh sekali jika hendak mengatakan mereka yang hadir itu semuanya berwudhu'. 

Pernah juga orang musyrikun turut sujud bersama Nabi Muhammad saw, sedangkan mereka itu tidak sah (kalaupun) berwudhu'. Imam Bukhari meriwayatkan secara ta'liq bahawa Abdullah bin Umar pernah sujud tilawah tanpa berwudhu'... (Nail al-Awtar, j 4, hlm 24)


🔴 KESIMPULAN CARA MELAKUKAN SUJUD TILAWAH


1. Sebaiknya sujud tilawah dilakukan dalam keadaan berwudhu'. Ketika hendak sujud elok bangun berdiri terlebih dahulu, bertakbir (sebut الله اكبر), lalu sujud dan membaca bacaan biasa yang dibaca semasa sujud dalam solat.



Boleh juga membaca zikir berikut :



2. Tidak perlu memberi salam seusai sujud tilawah.

3. Walau bagaimanapun, sekiranya tidak ada wudhu', janganlah menjadikannya ia sebagai suatu halangan untuk melakukan sujud tilawah kerana ramai juga ulama' yang berpandangan bahawa sujud tilawah boleh dilakukan tanpa wudhu'.  

Pandangan ini sangat sesuai digunakan oleh mereka yang menghadapi masalah مدافعة الحدث, iaitu selalu berhadath kecil.

4. Sujud tilawah juga tetap boleh dilakukan tanpa bangun berdiri terlebih dahulu.

5. Adapun menutup aurat, tutuplah aurat sebaik mungkin ketika melakukan sujud tilawah. Tidak semestinya bertelekung solat, memakai pakaian harian biasa yang menutup aurat pun sudah memadai untuk melakukan sujud tilawah. 

والله أعلم


Rujukan ringkas:



1. Al-Mufassal fi Ahkam al-Mar'ah wa al-Bayt al-Muslim, J1.
2. Sahih Fiqh Sunnah, J1.
3. Nayl al-Awtar, J4.

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Powerade Coupons