Fahaman Wahabi?
Sebelum ini kita menyangka isu-isu wahabi hanya berlegar di kalangan kaum lelaki.
Maka, kita sentiasa mengelak daripada menulis dan menyentuh topik itu, malah mengelak daripada menyebut kalimah itu. Sementelah tulisan tentang perkara ini pun dirasakan sudah banyak.
Kita juga menyangka ramai umat Islam menerima Syeikh
Muhammad bin Abdul Wahab sebagai tokoh reformis yang memberi sumbangan besar
kepada agama Islam, kerana itulah yang diungkapkan oleh para ulama, dahulu dan juga yang semasa. Itulah yang kita pelajari dan kita fahami selama ini.
Rupa-rupanya tidak.
Keburukan tentang wahabi lebih banyak tersebar dalam
masyarakat. Kaum wanita juga ramai yang mengadu tentang kekeliruan mereka
tentang wahabi. Mereka ditakut-takutkan dengan ajaran wahabi.
Umpamanya, "Jangan pergi ke Madinah, kerana di sana
ramai wahabi!" Saranan yang sangat merugikan, pada pandangan kita.
Apabila kita bertanya kembali, apakah ajaran wahabi itu,
mereka menjawab, "Entahlah, saya pun tidak tahu!"
Soalan-soalan yang dikemukakan adakalanya menyebabkan kita
tersentak dan kemudiannya termenung memikirkan asal usulnya, seperti,
"Harun Yahya itu wahabi kah?"
Barangkali ada hikmahnya. Kerana dari situ mereka mula
mengenali siapa Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab. Apa latarbelakangnya,
bagaimana situasi umat Islam pada zamannya, apa yang diajarnya, dan mengapa
pelbagai tuduhan dilemparkan kepadanya.
Berdisiplin Memilih Bahan
Rujukan
Kita umat Islam diajar supaya mendapatkan maklumat daripada
sumber yang berautoriti, lebih-lebih lagi dalam soal kefahaman agama. Maka, apabila kita diminta menjawab apa sebenarnya 'Fahaman Wahabi', kita sedaya upaya mencari rujukan-rujukan yang menepati disiplin ilmu.
Meskipun tidaklah seketat disiplin menerima dan meriwayatkan
hadith yang diamalkan oleh para ahli hadith dahulu, namun disiplin itu banyak
mengajar kita, agar berhati-hati dalam menerima dan memilih maklumat, apatah
lagi maklumat itu akan menjadi pegangan dan kefahaman kita terhadap agama.
Bimbang kalau-kalau orang yang kita tuduh sebagai buruk
itu, rupa-rupanya dialah yang berjuang mempertahankan kesucian agama yang telah
dicemari dengan pelbagai fahaman yang salah.
Beberapa Rujukan Ringkas
Soalan dan kekeliruan tentang wahabi memang banyak, bukan
baru timbul sekarang, malah sejak dahulu lagi. Bukan di nusantara sahaja, malah
di seluruh dunia. Maka jawapan-jawapan juga telah lama dijawab oleh para ulama
kita, di mana mereka cuba merungkaikan kekeliruan umat Islam tentang wahabi.
Kita lihat apa yang dinyatakan oleh Dr Yusuf al-Qaradawi
tentang wahabi menerusi sumber internet :
Baca artikel lain, dalam bahasa Inggeris. (Klik
English untuk baca dalam bahasa Inggeris. Belum ada terjemahan dalam bahasa
Indonesia.)
Satu lagi, di sini.
Jika kita peminat buku "La Tahzan!", kita pun
patut tahu apa pandangan Dr. 'Aid al-Qarni tentang Syeikh Muhammad bin 'Abd
al-Wahhab.
Antara bacaan yang menarik dan agak lengkap tentang Syeikh Muhammad bin Abd al-Wahab dan ajarannya, dalam bahasa kita, ialah sebuah artikel yang
ditulis oleh Dr. Zakaria@Mahmud Daud dan Dr Ahmad Zaki Hj Ibrahim yang berjudul
:
"Pemikiran Muhammad Bin 'Abd al-Wahab Dan Pengaruhnya Kepada Dunia Islam
Dalam Bidang Akidah Dan Politik."
Artikel ini diterbitkan dalam buku
Tokoh-Tokoh Pemikir Islam. Sayangnya menurut maklumat
yang diterima daripada penulisnya, sehingga kini ia belum lagi diulangcetak.
Dr Zakaria@Mahmud Daud (beliau sekarang adalah pensyarah
KIAS) dan Dr Ahmad Zaki Ibrahim dalam artikel mereka menulis :
'Kedudukan
Masyarakat Najd dan sekitar Sebelum Dakwah Syeikh Muhammad 'Abd al-Wahab
Sebelum
diterangkan mengenai gerakan Muhammad 'Abd al-Wahab, perlu diterangkan dahulu
kedudukan masyarakat Najd pada zamannya. Penduduk di negeri Najd (kawasan
negeri Arab Saudi sekarang) iaitu kawasan tempat beliau tinggal, juga kawasan
berhampiran dengannya, pada keseluruhannya terdiri daripada mereka yang rosak
akhlak, akidah, politik dan sosial. Kezaliman dan pembunuhan selalu berlaku.
Segolongan besar umat Islam tidak faham agama Islam. Mereka mengamalkan
perkara-perkara khurafat, syirik dan bid'ah, yang berlawanan dengan akidah
tauhid yang sebenar. Mereka melakukan pemujaan kepada kubur-kubur wali dan kubur
para sahabat.
Ramai umat Islam
mengunjungi kubur para sahabat dan wali-wali untuk meminta sesuatu, meminta
supaya memberi sesuatu kebaikan dan mengelak sesuatu bala dan bahaya. Contohnya
ramai mereka yang datang ke kubur Zaid bin al-Khattab (seorang sahabat) untuk
meminta sesuatu. Ramai kaum lelaki dan perempuan yang datang meminta hajat
kepada sepohon tamar jantan yang dinamakan (Fahhal) sehingga perempuan yang
lambat mendapat suami atau jodoh, datang meminta kepadanya supaya diberikan
jodoh dengan melafazkan permohonan, "Wahai pokok tamar jantan! Aku mahu
seorang bakal suami sebelum berakhirnya tahun ini."
Di samping itu
tidak kurang juga yang datang untuk meminta berkat supaya dimurahkan rezeki dan
sebagainya.
Di Dar'iyyah
terdapat sebuah gua, kononnya dipercayai seorang puteri raja lari menyelamatkan
diri........Banyak lagi perkara khurafat dan syirik lain yang diamalkan oleh
masyarakat Najd pada zaman itu. (Halaman 114)
Artikel tersebut turut mendedahkan tentang kedudukan dunia
Islam sebelum tercetusnya gerakan dakwah Syeikh Muhammad bin 'Abd al-Wahhab.
Kerosakan dalam bidang akidah, politik dan masyarakat turut menimpa seluruh
Semenanjung Tanah Arab, Basrah, Iraq, Mesir dan lain-lain.
Di Mesir, antara kubur yang dikunjungi untuk meminta hajat
dan menolak bala ialah kubur Ahmad al-Badawi dan Ahmad al-Rafi'i.
Di Iraq, kubur Sayyidina Hussin menjadi tumpuan orang Syiah
Imamiyyah, manakala yang bukan syiah juga meminta hajat di kubur Imam Abu
Hanifah dan 'Abd al-Qadir al-Jilani (yang disebut di tempat kita - Abdul Qadir
Jailani, yang juga dianggap mempunyai keramat itu - penyusun)
Dalam waktu umat Islam dilanda krisis akidah itu, kerajaan
Turki Uthmaniyyah melemah dan dunia Islam berhadapan dengan kemaraan kuasa
penjajah Eropah. Pemikiran yang terbentuk ketika itu tidak mampu membangunkan
ummah, kerana telah banyak terpengaruh dengan aliran tasawwuf yang bukan
membentuk nilai murni dalam masyarakat seperti yang sepatutnya, tetapi lebih
kepada perbahasan falsafah seperti konsep hulul
dan wahdatul wujud yang mengelirukan.
Impak lain ialah, masyarakat menjadi bersifat reda menerima kezaliman, kerana
mereka percaya kononnya kezaliman yang dialami hanya kerana dosa dan
kemungkaran.
Dalam halaman 116, artikel ini menyatakan :
"Ramai
orang mempertikaikan ajaran dan pemikiran tokoh ini. Ada yang mengatakan beliau
membawa ajaran baru yang menyeleweng daripada ajaran Islam. Akan tetapi yang
sebenarnya, ajaran Islam yang ingin dihidupkan kembali oleh tokoh ini ialah
akidah Islam sejati berasaskan al-Quran dan hadith Rasulullah saw....
...Antara
pemikiran beliau yang penting ialah :
1. Mengajak umat supaya kembali kepada Islam sebagaimana yang
dipegangi oleh generasi permulaan
(sahabat, tabi'in dan tabi' al-tabi'in)
2. Membersihkan akidah tauhid daripada sebarang bentuk syirik.
3. Menegah daripada bertawassul dengan perkara yang ditegah oleh
syara' seperti bertawassul dengan wali-wali dan orang-orang saleh yang telah
mati.
4. Menolak sebarang bentuk bid'ah dan khurafat dalam agama.
Tuduhan Terhadapnya
Adalah lumrah jika kebenaran mendapat tentangan. Namun
Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab difitnah dengan fitnah besar oleh mereka yang
membenci ajaran murninya. Beliau difitnah telah merendah-rendahkan martabat
nabi saw, dituduh melarang orang ramai berselawat kepada baginda saw, malah
dituduh membunuh!
Fitnah terhadap beliau bukan sahaja dicanang dalam pidato,
bahkan disebarkan melalui tulisan-tulisan.
Pada halaman 124, artikel tersebut menyatakan. :
"...Ibn
Dahlan pula di dalam kitabnya, Fitnah al-Wahhabiyyah menyebut, "Mereka
itu, pengikut Muhammad 'Abd al-Wahhab, menegah orang ramai berselawat kepada
nabi saw di atas mimbar selepas azan sehingga seorang lelaki saleh yang buta
melakukan azan kemudian berselawat kepadanya, lalu orang buta itu dibawa oleh
pengikut al-syeikh berjumpa beliau. Beliau memerintahkan supaya lelaki itu dibunuhnya,
dan akhirnya dibunuh."
Tuduhan ini adalah tidak benar dan tidak
berasas. Bagaimana beliau dapat melakukan hal sedemikian sedangkan beliau
berpegang kepada al-Quran dan sunnah nabi saw. Allah dan rasulNya menyuruh
orang membanyakkan selawat kepadanya.....
Al-Syeikh
sendiri menolak tuduhan ini dengan katanya, "Jawapan kami terhadap masalah
tersebut : Maha Suci Allah, adalah satu tuduhan karut yang sangat besar.
Sesiapa yang mengatakan perkara itu datang dari kami atau disandarkan kepada
kami, sesungguhnya itu adalah satu pembohongan dan tuduhan yang dilemparkan
kepada kami. Sesiapa sahaja yang melihat keadaan tingkah laku kami dan sesiapa
yang hadir datang ke majlis-majlis kami (di tempat kami mengajar) akan tahulah
bahawa semuanya itu satu tuduhan, sesuatu yang diada-adakan oleh musuh agama
dan saudara-saudara syaitan dengan harapan supaya orang ramai menyeleweng dari
ikhlaskan akidah kepada Allah dan supaya tetap melakukan syirik. Apa yang kami
i'tiqad dan kami pegang ialah bahawa Nabi kita Muhammad saw adalah makluk Allah
yang paling tinggi martabatnya. Baginda hidup di alam barzakh, yang lebih
tinggi daripada hidup para syuhada', dan Nabi Muhammad saw mendengar ucapan
salam yang diucapkan kepada baginda (oleh orang yang memberi salam kepadanya)
dan nabi mensunnahkan kepada umatnya supaya menziarahi kuburnya."
Tersingkap rahsia mengapa ajaran Syeikh Muhammad Abd
al-Wahab begitu ditakuti, iaitu kerana umat Islam mendapat maklumat daripada satu sumber, iaitu sumber yang menentang usaha-usaha beliau.
Jikalau boleh, ingin sahaja penyusun menyalin balik semula
keseluruhan artikel tersebut yang berjumlah 32 halaman. Namun kita tertakluk
kepada undang-undang hakcipta. Menghormati akan hal ini, dan seiring dengan
keperluan umat Islam kepada tulisan-tulisan ilmiah dan berdisiplin seperti ini,
apatah lagi ramai umat Islam tidak dapat membaca dalam rujukan asal yang
berbahasa Arab, maka kita mengharapkan suatu hari nanti artikel ini akan dapat
diakses sepenuhnya di internet, dalam bentuk pdf misalnya.
(Ada satu lagi rujukan yang menarik, yang sedang diusahakan. Tulisan yang membincangkan secara ilmiah para sarjana yang menyokong dan menentang Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab. Apabila membacanya, kita akan mendapat gambaran yang lebih jelas mengapa fitnah berlaku dan menjejakinya sumber-sumbernya. In sya Allah, suatu masa akan kita kongsikan nanti.)
Sebaris
Dengan Tokoh Reformis Islam
Setelah mendapat informasi yang benar tentang sejarah 'fahaman wahabi',
barangkali kita mendapat gambaran sifat golongan yang menyebarkan fitnah
terhadap Syeikh Muhammad bin 'Abd al-Wahab, dan mengapa fitnah itu masih terus
berlegar dalam masyarakat, sehingga ke hari ini.
Terbaru, beberapa bulan yang lepas penyusun mendapati
bahawa ada pihak yang mengajak para wanita di tempat kita ini agar memohon hajat kepada roh para
nabi dan orang-orang soleh yang telah mati, kerana pada mereka, roh-roh itu tetap hidup DALAM
HATI mereka!
Berdasarkan prinsip perjuangan beliau, wajarlah Dr Yusuf
al-Qaradawi meletakkan peribadi Syeikh Muhammad Abdul Wahab, dalam bukunya yang terkenal, Fiqh
al-Awlawiyyat (Fiqh Keutamaan) - Sebagai tokoh para pejuang pembaharuan di era
moden, sebaris dengan Sayyid Jamaluddin al-Afghani, Muhammad 'Abduh dan Hasan
al-Banna!
Sebuah buku yang patut dimiliki oleh semua pencinta agama
Islam. Namun, berapa ramai di antara kita yang berazam ingin memiliki, dan jika
sudah memilki, berapa ramai pula yang sudi membacanya?
Kita sedaya upaya berdisiplin dalam memilih sumber-sumber
di atas. Supaya seandainya tersebar, pembaca mendapat maklumat yang benar, dan
penyusun juga dapat bertanggungjawab apabila ditanya tentang apa yang
disusunnya.
Tidaklah bermakna kita mengatakan beliau, Syeikh Muhammad
bin Abdul Wahhab itu maksum. Seperti manusia dan tokoh lain,
beliau tentu ada salah silapnya. Tetapi menyebarkan fitnah terhadap beliau dan
ajarannya tanpa usul periksa bukankah menempah dosa, meskipun beliau sendiri sudah
lama kembali kepadaNya?
Meskipun sangat sedikit, dan mungkin kurang disenangi, barangkali ada manfaatnya.
Wallahu a'lam.
Tulisan ini dibuat bagi memenuhi permintaan supaya penyusun meringkaskan apa itu Fahaman Wahabi untuk bacaan umum. Penyusun, bila ditanya, hanya memetik di sana-sini, memetik rujukan boleh dibaca oleh semua dalam bahasa kita, yang dirasakan memenuhi pra syarat disiplin ilmu Islam. Permintaan tersebut telah merempuh niat asal penyusun sebelum ini...tidak mahu menulis tentang 'fahaman wahabi.'