Monday, October 12, 2009

TUHAN YANG MENAMBAH DAN MENAHAN USIA


Penatnya bermusafir balik ke kampung bagaikan masih terasa, walaupun Syawal sudah hampir sampai ke penghujungnya. Menjalani trimester ketiga, dalam usia menjejaki 35 tahun, dalam bulan Ramadan dan Syawal pula, rupa-rupanya satu pengalaman yang mencabar. Juadah lazat hanya mampu dijamah yang terpilih sahaja.


Lumrah hidup di dunia, apabila makan kita menjadi kenyang. Lain pula lumrah hidup di syurga, tidak ada rasa lapar dan apabila makan tidak pula rasa kekenyangan, sebab jika sudah kenyang nikmat makan itu sudah tidak ada, sedangkan juadah syurga begitu banyak terhidang dan tersedia buat dijamah oleh penghuninya pada bila-bila masa.

Aduh, dapatkan kita masuk syurga?

Dan lumrah hidup di dunia juga kita akan menjadi tua. Meskipun terlalu penat pada awal Syawal di kampung, saya menggagahkan diri ikut keluarga menziarahi nenek yang sudah hampir 100 tahun usianya. Pendengarannya adakalanya baik, ada kalanya kurang. Ketika pendengarannya baik, bercakap dengan suara biasa yang perlahan pun dia dapat mendengar dan membalas. Ingatannya juga masih baik.

"Baru sebulan nenek tidak dapat bangun berjalan," kata ibu saudara saya. Lama sudah saya tidak pulang ke kampung.

"Bagaimana mulanya?" saya bertanya.

"Tiba-tiba sahaja suatu pagi dia kata dia rasa sangat letih. Langsung tidak dapat berjalan sejak hari itu."

Semudah itu Tuhan menarik nikmat berjalan. Kami diam memanjang.

"Makannya bagaimana pula?" saya bertanya lagi.

"Masih berselera, tetapi lepas makan dia kata badannya menjadi sangat letih."

Saya memegang tangan tua nenek saya. Seingat-ingat saya, sejak zaman saya kanak-kanak lagi, dia tidak pernah diserang penyakit berat. Semasa mudanya dia memang bekerja kuat. Saya menjamah urat-urat hijau berselirat timbul dari tangan yang kurus itu. Kuku-kuku tangan dan kakinya juga sudah tinggal sedikit, bagaikan sudah mati akarnya, tidak akan tumbuh panjang lagi. Nenek saya tersenyum memerhatikan kami semua yang mengelilinginya. Saya menahan airmata, jangan sampai tertumpah di depan ramai itu.

"Barangkali semua sistem badannya sudah lemah. Apabila makanan dicerna, badan pun turut menjadi letih," saya mengagak.

"Ya, begitulah agaknya. Ada sekali nenek kata dia sudah hendak mati. Katanya, 'Telefon Abang Hasan.'"

Ayahanda saya melawatnya hampir setiap hari. Beliau pun sudah uzur, tetapi jarak Kampung Tiong dengan kampung Kota yang dekat memudahkan beliau berulang alik menziarahi bondanya.

Kami tidak berlama-lama. Kami mahu nenek berehat awal. Kata ibu saudara saya semasa menghantar kami ke pintu, "Kadang-kadang terfikir juga, biarlah dia pergi meninggalkan kita, sebab barangkali mati itu lebih baik baginya."

Ada sebuah kisah yang diceritakan oleh HAMKA semasa menafsirkan ayat 5 dan 6 Surah al-Tin.    

ثُمَّ رَدَدۡنَـٰهُ أَسۡفَلَ سَـٰفِلِينَ (٥) إِلَّا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَعَمِلُواْ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ فَلَهُمۡ أَجۡرٌ غَيۡرُ مَمۡنُونٍ۬ (٦     


Kemudian (jika dia panjang umur sehingga tua atau menyalahgunakan kelengkapan itu), Kami kembalikan dia ke serendah-rendah peringkat orang-orang yang rendah, (5) Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, maka mereka beroleh pahala yang tidak putus-putus. (6)


Kata HAMKA, "...Tentang ini penulis tafsir ini berpengalaman. 'Ammati (saudara perempuan ayahku), Uaik Tuo Aisyah meninggal dalam usia 86 tahun. Sejak beberapa tahun sebelum meninggal beliau telah pekak tuli, sehingga tidak mendengar lagi apa yang kita bicarakan dekat beliau. Tetapi sejak masih gadisnya beliau menuruti ajaran ayahnya, Tuanku Syaikh Amrullah iaitu mewiridkan membaca al-Quran sekhatam-khatam. Dan kalau tidak ada kesempatan, namun surah-surah Yasin, al-Waqi'ah, al-Kahfi, al-Mulk dan beberapa surah lain beliau hafal di luar kepala, dan surah-surah itulah yang selalu beliau baca. Maka meskipun sudah tua dan telinga sudah pekak, namun beliau tidak sampai pikun. Kerja beliau sehari-hari hanya membaca al-Quran sehingga pekaknya tidak jadi rintangan baginya. Setelah dia sakit akan meninggal, mulutnya masih berkomat-kamit membaca al-Quran. Dan beberapa jam lagi dia akan menutup mata masih sempat dengan senyum dia berkata bahawa dia mendengarkan suara-suara yang indah merdu membaca al-Quran. Lalu beliau suruh anak cucu yang mengelilinginya turut berdiam mendengarkan bacaan itu. Padahal bacaan itu tidak didengar oleh mereka. Dan beliau pun meninggal dalam senyum, barangkali dalam suasana mendengar suara merdu membaca al-Quran..."
 
Sekian dari HAMKA yang saya salin secara verbatim.

Jika Ramadan dan Syawal tahun ini umur kita sekian, tahun depan, kalaupun kita hidup, umur kita akan bertambah. Dari tahun ke tahun kita akan tetap semakin tua, walaupun kita sendiri mungkin berasa masih muda. Dari tahun ke tahun kita semakin dekat dengan alam akhirat yang merupakan perkara 'as-sam'iyyat', perkara-perkara yang semata-mata kita dapat tahu melalui kata Tuhan dalam al-Quran dan kata Nabi dalam hadis beliau.


Garis-garis halus di wajah kita tidak akan bertambah halus, apatah lagi menghilang. Garis-garis itu akan bertambah nyata dari tahun ke tahun yang akan datang. Semakin bertambah usia, rezeki anak dan rezeki harta biasanya bertambah-tambah juga. Mudah-mudahan, garis-garis halus itu mengingatkan kita, di dunia ini Tuhan akan sentiasa menambah usia seiring dengan bertambahnya rezeki dan anak-anak kita.

Muda selamanya hanya ada di dalam syurga, sebab hanya di sana Tuhan tahan usia kita, tidak bertambah sampai bila bila.

اللهم أصلح لي ديني الذي هو عصمة أمري
وأصلح لي دنيايا التي فيها معاشي
وأصلح لي أخرتي التي فيها معادي
واجعل الحياة زيادة لي في كل خير
واجعل الموت راحة لي من كل شر

0 comments:

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Powerade Coupons