Wednesday, November 12, 2025

PERLUKAH BERLAMA DI MADINAH UNTUK MENDAPAT SOLAT 40 BERTURUT-TURUT

Assalamualaikum.


Saya hendak mengerjakan umrah dalam masa terdekat. 

Adakah saya perlu memilih pakej yang berlama-lama di Madinah bagi mendapatkan peluang solat 40 kali berturut-turut di Masjid Nabawi? 

Benarkah siapa solat di sana 40 kali berturut-turut terselamat daripada api neraka dan sifat munafiq?

Waalaikumussalam.


Syukur kerana Allah memberikan peluang kepada kita untuk menunaikan satu ibadah besar, yang bukan semua orang mampu melakukannya.


Umrah adalah ibadah yang mahal kerana jaraknya jauh, maka perkara penting ialah persediaan ilmu sebelum ke sana dan mendapatkan pakej ataupun mutawwif-mutawwifah yang menekankan kesahihan amalan sepanjang beribadah di sana nanti. 


Lokasi ibadah umrah semuanya melibatkan Makkah, tiada ibadah umrah yang berkaitan dengan Madinah. Namun kerana rata-rata jemaah umrah datang dari jauh, maka kesempatan menunaikan umrah di Makkah adalah peluang terbaik untuk ziarah dan solat di Masjid Nabawi di Madinah. 


Menjawab soalan puan, berikut adalah penjelasan ringkas :


🔘 TIADA hadith sahih menyebut kelebihan khusus apabila solat 40 kali berturut-turut di Masjid Nabawi.


Hadith yang tersebar tentang hal ini sebenarnya adalah hadith tidak sahih- daif-munkar. Hadith tersebut mendakwa sesiapa yang solat 40 kali berturut-turut di sana terselamat daripada neraka, azab dan nifaq. 


Sekali lagi ditegaskan, ia adalah daif-munkar. Hadith itu didapati bertentangan dengan hadith yang sahih.


🔘Fadilat sebenar yang dinyatakan dalam hadith thabit ialah :


a. Fadilat solat 40 waktu berjemaah dengan mendapat takbiratul ihram DI MANA-MANA MASJID.


: عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ 

: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ 

مَنْ صَلَّى للهِ أَرْبَعِينَ يَوْمًا فِي جَمَاعَةٍ يُدْرِكُ التَّكْبِيرَةَ الأُولَى "

".كُتِبَتْ لَهُ بَرَاءَتَانِ بَرَاءَةٌ مِنْ النَّارِ وَبَرَاءَةٌ مِنْ النِّفَاقِ 


Maksudnya : “Sesiapa solat kerana Allah 40 hari berturut-turut secara berjamaah, dengan mendapat (sempat) takbiratul ihram (bersama imam), dituliskan kepadanya 2 pelepasan - pelepasan daripada api neraka dan daripada sifat nifaq-munafiq.”

Jami’ al-Tirmidhi. Hadith hasan.


Kelebihan ini diperolehi apabila seseorang itu melaksanakannya dengan penuh keikhlasan kepada Allah, walaupun dia solat di masjid berdekatan dengan rumahnya di tanahair. Jika dia melaksanakannya di Masjid Nabawi, kelebihan umum ini akan ditambah dengan kelebihan khusus bagi Masjid Nabawi iaitu :


b. Fadilat solat di Masjid Nabawi pahalanya lebih baik daripada seribu solat di masjid lain (kecuali Masjidil Haram).  


: عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ 

: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

صلاةٌ في مسجدِي هذا خيرٌ من ألفِ صلاةٍ في ما سواه إلا المسجدَ الحرامَ، وصلاةٌ في المسجدِ الحرامِ أفضلُ من مائةِ صلاةٍ في مسجدِي هذا


Maksudnya : “Solat di masjidku ini lebih baik daripada 1,000 solat di masjid lain, kecuali Masjidil Haram. Solat di Masjidil Haram lebih baik daripada 100 solat di masjidku ini. ”

Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim.


🔘 Ringkasnya, adakah perlu diusahakan tinggal lama di Madinah untuk mendapat 40 solat berjemaah berturut-turut - jawabnya ialah bukanlah suatu keperluan. Jika ada yang mengusahakannya dan memberatkan jemaah umrah supaya melakukannya, ia adalah amalan yang tidak menepati kehendak sebenar agama. 

Masa permusafiran yang sangat terhad hendaklah dibahagikan mengikut kepentingan berdasarkan hadith sahih, yang mentetapkan bahawa solat di Masjidil Haram tetaplah mendapat kedudukan paling utama.

Semoga Allah memberikan kita ilmu yang bermanfaat, serta membantu kita semua dalam mengingatiNya, mensyukuri nikmatNya dan mengerjakan ibadah dengan cara yang terbaik kepadaNya.


والله الموفق

0 comments:

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Powerade Coupons